Setelah kerajaan kita bertukar Perdana Menteri, sudah tentu banyak perubahan yang diharapkan oleh rakyat Malaysia. Yalah, kalau kita perhatikan; Umno merupakan parti politik yang lantang mengkritik kerajaan ketika Muhyiddin menjadi PM. Mereka bertindak seperti pembangkang dalam kerajaan sehingga ramai yang melihat mereka sebenarnya adalah pembangkang berbanding parti komponen kerajaan. Semasa mengkritik, ada banyak cadangan yang telah dikemukakan oleh Umno untuk menjadikan Malaysia lebih baik. Disebabkan hal ini, ramai yang ingin melihat sejauh mana cadangan-cadangan yang pernah disebutkan ini akan terlaksana.
Ketua Pemuda Umno sudah jumpa PM, masih menuntut i-Citra untuk rakyat Malaysia
Baru-baru ini, pemuda Umno dikatakan akan terus menuntut pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) sebanyak RM10,000. Menurut ketua Pemuda mereka, Asyraf Wajdi Dusuki, perjuangan tu bukan untuk membangkitkan sentimen rakyat seperti yang telah dikritik oleh beberapa entiti politik dan masyarakat awam. Tuntutan pengeluaran i- Citra sebanyak RM10,000 berkadaran dengan baki simpanan dalam akaun 1 dan 2 KWSP pencarum merupakan salah satu perjuangan pemuda Umno sejak kerajaan Perikatan Nasional memerintah.
“Ada yang perlekehkan usaha ini kononnya Pemuda Umno hanya mahu bangkitkan sentimen rakyat. Dulupun masa Pemuda Umno bangkitkan pasal pengeluaran simpanan KWSP, macam-macam tuduhan dikenakan. Tapi bila kerajaan akhirnya akur dengan perkenalkan i-Sinar dan i-Lestari ada pula yang ‘claim credit’ walaupun awalnya perlekehkan cadangan ini,” – Asyraf Wajdi, melalui hantaran Facebooknya
Sebelum ini, pemuda Umno ada mengemukakan lima cadangan penambahbaikan skim i-Citra selepas menerima banyak rungutan berkenaan pelaksanaan inisiatif itu. Antara keluhan yang diterima termasuk dari golongan M40 yang mempunyai simpanan lebih RM100,000 yang amat terkesan kerana rata-rata mempunyai komitmen jauh lebih besar daripada B40, namun mengalami nasib serupa dengan pendapatan terjejas akibat terkurung tiga bulan.
Dia turut mengatakan rakyat tak akan mengemukakan tuntutan itu jika rakyat berada dalam keadaan selesa.
Sedikit berbeza dengan nada KP UMNO, Shahril Hamdan rasa kerajaan perlu perkenalkan job bank
Walaupun Pemuda Umno mengatakan keperluan untuk mengeluarkan wang persaraan, lain pula nadanya dengan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mengatakan kerajaan perlu segera mewujudkan inisiatif skim jaminan pekerjaan atau Job Bank (bank pekerjaan) sebagai usaha kelangsungan ekonomi negara buat jangka masa panjang.
Dia yakin dengan pelaksanaan bank pekerjaan ini, kerajaan tak akan bergantung kepada peluang pekerjaan di sektor swasta semata-mata. Dia percaya sambil merancang pembukaan dan kelonggaran pelbagai sektor, kerajaan mesti memerangi pengangguran dengan dasar tuntas.
Dia konsisten mengesyorkan sekali lagi skim jaminan pekerjaan atau Job Bank di mana kerajaan tidak mengharapkan swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan, tetapi dalam jangka pendek dan sederhana kerajaan beraksi lebih terus yakni menyediakan dan membiayai peluang pekerjaan yang sepatutnya. Dia juga percaya, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksanakan segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
Tambahnya lagi, strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh ketika negara bakal berdepan ke fasa endemik kerana menyedari bantuan wang tunai hanya bersifat sementara.
“Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil. Seramai 4.5 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM5,000. Selesai selesai i-Citra, tidak mustahil lebih sejuta pencarum tinggal hampir RM0. Lebih 750,000 orang menganggur dan kebanyakannya orang muda. Mereka tidak menolak wang tunai atau kampit beras, tetapi mereka lebih mahukan peluang kerja dan peluang berniaga,” – Shahril Hamdan, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Kita harus berbincang tentang isu meningkatkan wang persaraan rakyat
Kami sebenarnya kerap memberi peringatan kepada kerajaan tentang bahaya meminta rakyat untuk mengeluarkan tabung persaraan mereka. Wang dalam tabungan ini amat diperlukan setelah rakyat Malaysia bersara. Disebabkan masalah keselamatan sosial di negara kita yang cukup lemah, kita dapat melihat ramai orang-orang tua yang sepatutnya berehat bersama keluarga kembali bekerja.
Lebih malang, kami tak lihat lagi ada perbincangan yang serius tentang bagaimana untuk meningkatkan tabung persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang telah mengambil sebahagian besar wang persaraan. Sepatutnya, pada waktu-waktu sukar seperti ini, kerajaan adalah pihak yang bertanggungjawab untuk berbelanja demi kebajikan rakyat.