Baru-baru ni kita dikejutkan dengan khabar malang yang menimpa negara jiran kita. Kejadian buruk terbelahnya kapal selam KRI Nanggala-402 ni adalah suatu peristiwa besar dalam sejarah kapal selam sejak tenggelamnya kapal Changcheng 361 milik China pada April 2003. Peristiwa ni jugak memperlihatkan betapa pantasnya negara-negara lain turun membantu Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat termasuklah Malaysia sendiri.
Sempena memperingati peristiwa buruk ni, kami himpunkan kronologi dan butiran-butiran misi pencarian KRI Nanggala-402 dari awal hinggalah keputusan akhir PM Indonesia berkenaan perwira negaranya yang terkorban. Ada yang kata umur kapal tu menjadi faktor kemalangan, manakala ada jugak yang rasakan ni semua dah ketentuan Tuhan.
Nanggala tiba-tiba hilang lepas minta kebenaran lancarkan ujian torpedo, tentera laut Indonesia terus arah cari
Pada 21 April 2021, KRI Nanggala-420 sepatutnya jalankan ujian torpedo di dalam air hanya 95km daripada utara Bali. Mengikut laporan daripada Tentera Nasional Indonesia, Nanggala dah minta kebenaran untuk menyelam dan nak lancarkan torpedo pada jam 3 pagi. Ni hanya rutin semata-mata, dan sepatutnya, merupakan hari-hari biasa untuk 53 kru dalam KRI Nanggala. Malah, ni latihan yang disertai banyak aset Indonesia: 21 kapal TNI, lima pesawat tempur dan satu lagi kapal selam lain. Selepas Nanggala diberikan kebenaran untuk lancarkan ujian torpedo, sepatutnya jugak rutin tersebut dah habis kira sejam dua daripada masa diorang minta kebenaran tadi. Sekurangnya, laporan status pun dah cukup untuk mengakhiri rutin pagi tersebut.
Namun sejam lepas tu, kira-kira jam 4 pagi… Nanggala terputus hubungan. Ikut pandangan wakil tentera ketika ditemui pihak media, sepatutnya jam 4.25 pagi tu pegawainya dah habis lancarkan torpedo nombor 8. Ketua Angkatan Laut (KSAL) Laksamana Yudo Margono kata Nanggala dah lancarkan torpedo hidup dan torpedo ujian sebelum hubungan terakhir gagal disambung semula. Selepas beberapa jam gagal dihubungi, TNI hantar panggilan kecemasan kepada International Submarine Escape and Rescue Liaison Office. Ni adalah organisasi antarabangsa yang biasanya koordinasikan operasi mencari dan menyelamat kapal selam, dan tentunya, maklumat tersebut dipancarkan kepada seluruh dunia.
Menurut maklumat daripada pihak tentera laut Indonesia, ada kemungkinan Nanggala terputus bekalan kuasa sebelum jatuh lebih dalam sehingga 600-700m. Nanggala mampu menyelam sejauh 500m, tetapi kawasan paling dalam yang dicatatkan di Laut Bali adalah lebih 1,500m di bawah paras laut. Maka, boleh jadi jugak anggaran 600-700m tu kedalaman sekitar kawasan Nanggala dipercayai hilang. Dalam kapal selam tersebut, 53 kru terdiri daripada 49 krew, 1 komander dan 3 pakar senjata. Pegawai tertinggi yang berada dalam kapal tersebut adalah Kolonel Harry Setyawan, merangkap komander unit kapal selam Komando Armada II.
Berita masih tak kedengaran lagi. Pada tengah hari 22 April, Laksamana Yudo Margono laporkan bahawa bekalan oksigen di Nanggala hanya cukup bertahan selama 3 hari lepas menyelam. Maksudnya, pada Sabtu 24 April tu, jam 3 pagi… bekalan okisgen akan habis. Tak membantu lagi, ada sumber daripada TNI kata telefon bawah air (UWT) Nanggala mungkin rosak lalu menyukarkan komunikasi antara bot penyelamat di kawasan tersebut.
Selama 3 hari, harapan menemui Nanggala masih teguh. Bukan calang-calang jugak kapal perang Indonesia hantar demi mencari semula Nanggala. Ikut kiraan kami, lebih kurang 11 kapal perang Indonesia dihantar untuk membantu misi mencari dan menyelamat kru kapal selam Nanggala. Kepolisian Negara Republik Indonesia turut menghantar 4 kapal laut polis yang dilengkapi dengan rkenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air
(ROV) dan alat sonar.
Lebih lima negara tawar bantuan, tetapi Nanggala ‘tenggelam’ meninggalkan sejadah
Menurut Kementerian Pertahanan Indonesia, beberapa negara dah sedia tawarkan bantuan untuk bantu cari Nanggala. Australia, Singapura, Malaysia dan India antara negara terawal memberi respon terhadap permintaan Indonesia untuk bantu operasi tersebut. Beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Rusia, Turki dan Thailand turut tawar bantuan dalam misi SAR tersebut.
Kita menghantar sebuah kapal pencari dan penyelamat kapal selam, MV Mega Bakti. MV Mega Bakti tiba sejam lebih awal daripada yang dijadualkan lepas belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada 22 April lalu. Ketika ni, Panglima TNI Hadi Tjahjanto kata Nanggala diletakkan statusnya daripada ‘submissed’ (kapal selam hilang) kepada ‘menuju fasa tenggelam’ (subsunk). Macam kami sebutkan tadi, masa semakin suntuk untuk terus berharap apabila bekalan oksigen dijangka habis pada Sabtu pagi.
Sementara tu, kumpulan para penyelam berharap diorang akan dapat jumpa klu dimana keberadaan sebenar Nanggala. Mula-mula, diorang harap dapat jumpa bot kecemasan dari Nanggala. Tetapi, yang timbul adalah beberapa serpihan dan barangan dipercayai komponen kapal selam serta kesan tumpahan minyak. Kesan tumpahan minyak tu dikesan pada 21 April menerusi carian aerial, dan SAR terus tertumpu dalam sektor tersebut. Antara lain, beberapa barangan peribadi yang ditemukan ialah bekas pelaras torpedo, paip pendingin, botol berwarna jingga, sejadah dan gris/pelincir periskop pada 24 April.
Sisa tinggalan ni, berserta serpihan tersebut hanya menguatkan mimpi buruk para pencari dan penyelamat; Nanggala dah tenggelam. Yudo Margono kata kapal selam tersebut dah jatuh sejauh 850m, sedangkan Nanggala cuma bertahan sehingga 500m. Bila dah terlebih dalam, kemungkinan besar Nanggala akan berkecai. Pada 25 April, ROV daripada Swift Rescue (kapal SAR Singapura) menunjukkan Nanggala dah terbelah tiga, dalam kedalaman 838m. 53 kru disahkan terkorban, dan kini proses evakuasi jenazah diorang dimulakan. Mengikut Yudo lagi, diorang akan disemadikan di Surabaya. Pada 26 April, Presiden Joko Widodo umumkan kerajaan akan beri anugerah Bintang Jalasena kepada 53 mangsa korban tersebut.
Belum pasti apa puncanya, ada anggap penyesuaian terdahulu tak berkualiti
Mengikut pandangan Yudo Margono, serpihan daripada Nanggala menunjukkan bahawa ia tak meletup. Sebaliknya, ia merekah perlahan-lahan apabila semakin dalam ia jatuh ke dasar laut. Semakin jauh kedalaman laut, semakin tinggi tekanan dalam air tu. Kerana tulah, Nanggala tak berjaya selamat daripada tekanan dalam laut yang begitu tinggi. Ramai jugak yang hairan; kenapa kru kapal tu tak berenang keluar je terus ketika Nanggala dah tenggelam? Terdapat beberapa sebab mungkin:
- Pintu kapal selam tak macam pintu kecemasan yang mudah dibuka. Kunci utamanya adalah untuk halang air daripada mengalir ke dalam, jadi tentunya ia lebih kompleks dari pintu biasa
- Peluang nak selamat sebenarnya banyak bergantung kepada berapa kedalaman diorang masa tu. Manusia biasa hanya boleh tahan dalam tekanan 4 atm (40 meter) je. 700 meter? Macam kena dihempap 100 ekor gajah sekaligus.
- Cara nak selamat ketika tu hanyalah dengan berusaha nak apungkan kapal selam tu. Namun dengan terputusnya bekalan elektrik, ni menyukarkan usaha kru kapal untuk selamatkan diri.
Bekas jeneral TNI Tubagus Hasanuddin kata, boleh jadi jugak semasa operasi penyesuaian semula kapal tersebut pada 2012 oleh sebuah syarikat Korea Selatan; diorang tak buat betul-betul. Dakwanya, kapal selam tersebut dah pernah gagal ujian torpedo dan mengorbankan tiga kematian. Selain tu, Nanggala dah terlebih kapasiti penumpang, iaitu 38 orang je. Yang naik, 53 orang pulak. Hal ni dibantah oleh Yudo Margono.
Dia kata kapal selam tu dah bersedia dan ada sejarah latihan menembak yang baik. Ada jugak ahli Parlimen lain kata ni menyedarkan negara tersebut bahawa persenjataan Indonesia masih lagi tak begitu moden, lagi-lagi apabila melihatkan kapal selam Nanggala tu dah dikira tua. Nanggala dibeli pada 1977 dan mula digunakan setahun lepas tu… maka usia Nanggala sepatutnya dah 44 tahun.
Usia Nanggala walaupun begitu, tak dilihat sebagai punca utama Nanggala tenggelam. Ramai berpandangan usia 44 tahun tak terlalu tua untuk sebuah kapal selam. Bahkan, aset perang sepatutnya tahan lama. Jadi 44 tahun berkhidmat, dengan sejarah pernah disesuaikan semula pada 2012 bukanlah penyumbang kepada insiden buruk ni. Ini diyakini sendiri oleh bekas ketua bilik enjin Nanggala, Frans Wuwung.
Sementara lebih banyak perbincangan dan siasatan lanjut akan dilakukan kelak, kami nak ambil kesempatan ni untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan seluruh warga Indonesia yang tengah berduka bersama. Sesungguhnya peristiwa ni memberi teladan kepada semua negara untuk memberi lebih perhatian terhadap modenisasi persenjataan masing-masing.