Sejak dua menjak ni, boleh dikatakan ramai dah gusar dan panik apabila India mengumumkan akan hentikan eksport gandum ke negara-negara lain. Bukan tu je, konflik Ukraine-Rusia jugak dah mula menampakkan kesan apabila harga minyak dunia dan baja pun semakin naik. Perkara ni menghasilkan rantaian harga yang meningkat. Ditambah lagi dengan pandemik, sekatan-sekatan yang semakin dilonggarkan pun tak membantu memulihkan keadaan dengan lebih pantas.
Namun begitu, krisis makanan ni sebenarnya dah lama berlaku. Kita di Malaysia ni mungkin tak rasa sangat, tetapi kat negara lain, realiti diorang amatlah berbeza. Hampir 40 negara di dunia ni mengalami krisis makanan yang teruk. Nasib baik kita tak tersenarai, sebab kita pun ada dasar makanan tersendiri bagi memastikan kita kurang terjejas dengan krisis makanan dunia.
Laporan dunia senaraikan lebih 30 negara, ini beberapa faktor yang buatkan negara diorang terjejas
Mengikut Global Report on Food Crises 2022 yang dikeluarkan baru-baru ni oleh Food Security Information Network, lebih 30 negara yang terjejas dari tahun lalu dan masih lagi rasa impak krisis tersebut pada tahun ni. Dalam senarai tersebut, kita tak termasuk ye… kebanyakan negara yang disenaraikan ni bertempat di sekitar Amerika Latin dan benua Afrika. Ada jugak negara-negara Asia lain seperti Pakistan dan Bangladesh. Dua lagi negara yang kini sedang diperhatikan adalah Lubnan dan Myanmar.
Isu-isu serantau banyak memainkan peranan dalam krisis makanan sesebuah negara. Misalnya kalau kat Afrika Tengah dan Selatan, antara faktor utama adalah konflik setempat, cuaca ekstrim dan kejutan ekonomi akibat Covid-19. Ada sesetengah tempat tu, masih mengalami isu perang saudara sehingga menjejaskan aktiviti perniagaan, akses pengangkutan dan bekalan. Cuaca ekstrim pun main peranan jugak. Ada sesetengah tempat ni menerima taburan hujan yang banyak. Ada pulak menerima taburan hujan yang terlalu banyak , macam angin ribut dan taufan. Ada jugak sebaliknya, sehingga menyebabkan kemarau berpanjangan dan suhu yang tinggi serta tak lagi sesuai untuk tanaman.
Di wilayah Amerika Latin dan Carribbean pula, kejutan ekonomi lebih terasa kesannya akibat pandemik. Pasaran buruh di kawasan tersebut sukar pulih dari kesan pandemik, yang mana 30% hilang kerja pada 2020. Kebanyakan pekerja dalam sektor informal ni hilang kerja, dan sektor nilah menjadi sektor utama bagi sebahagian besar populasi di Honduras, Nicaragua dan El Salvador. Pendapatan yang berkurangan mengehadkan kuasa beli diorang, ditambah lagi dengan peningkatan harga minyak. Harga minyak naik, kos pengangkutan dan baja pun naik jugak.
Dua negara yang kini sedang diperhatikan komuniti dunia adalah Lubnan dan Myanmar. Selepas meletupnya pelabuhan diorang di Beirut, keadaan ekonomi diorang semakin merundum. Diorang semakin sukar nak import makanan kerana kerosakan pelabuhan yang teruk, di samping isu pandemik dan nilai mata wang diorang. Dianggarkan hampir 46% popular Lubnan dah sukar dapatkan makanan. Bagi Myanmar pulak, kekurangan hasil tanaman khususnya padi dikronikkan dengan pengurangan penggunaan baja. Konflik politik diorang pun menjejaskan akses makanan diorang, dan musim monsun yang membawa banjir memusnahkan lebih banyak tanaman pada Julai dan Ogos.
Persoalan baru timbul tatkala Ukraine berperang, sebenarnya dah lama Malaysia cuba bersedia tangani krisis makanan dunia
Ramai baru sedar tentang isu krisis makanan dunia bila Ukraine berperang dan pandemik melanda dunia. Harga makanan dah semakin mahal, kerajaan pun dah kena kecam sebab dilihat tak membantu rakyat kurangkan kos hidup yang semakin tinggi. Sebenarnya isu ni dahpun difikirkan sejak tahun 1950-an lagi. Pada awalnya, dasar makanan untuk negara ni disempitkan hanya pada dasar pertanian untuk keperluan British je khususnya tanaman komoditi. Yang ni semua ditumpukan nak eksport ke luar je.
Selepas kita mencapai kemerdekaan, dasar sekuriti makanan diletakkan sebagai satu objektif penting. Kita mulai menjurus pada penanaman beras, memandangkan ia merupakan makanan ruji penduduk Malaysia. Dalam tempoh 1980 hingga 2012, peralihan pucuk pimpinan membawa kepada beberapa perubahan besar dalam strategi pembangunan kerajaan. Dasar pertanian tak lagi tertumpu kepada sara diri je; kini dah berpegang kepada konsep kebergantungan kendiri.
Bila kita dah bertukar tumpuan, kebanyakan negara yang amalkan konsep kebergantungan makan ni akan ambil pendekatan sokong proses liberalisasi pasaran dan utamakan pertanian berorientasikan eksport. Sokongan pasaran domestik turut dikukuhkan melalui pembaharuan infrastruktur fizikal dan kemudahan kredit. Namun begitu, ada kritik Malaysia terlalu fokus pada pengeksportan. Hasilnya, kerajaan masih lagi pilih nak kekal jadi pengimport bersih beras dan makanan lain.
Perubahan semasa negara meletakkan Malaysia dalam pola penuruan pengeluran sektor pertanian secara umum. Pertumbuhan sektor makanan yang kurang memberangsangkan dan peningkatan pergantungan import makanan kekal berterusan dari tahun ke tahun. Kalau nak diikutkan, tahap sekuriti makanan dalam negara masih tak terjamin. Ini dapatan kajian pada 9 tahun lalu.
Sekarang ni, kita ada beberapa dasar yang diharapkan mampu mengurangkan kesan krisis makanan. Salah satunya adalah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030. Dasar ni fokus untuk modenkan dan kembangkan sektor agromakanan supaya sekuriti makanan negara bertambah. Kalau tengok laporan Parlimen Dasar Agromakanan Negara, kita nak capai Imbangan Perdagangan Makanan sehingga 2.9% pada tahun 2030.
Beberapa jenis makanan lain turut disebut. Antara jenis makanan lain yang akan jadi fokus negara dalam mengatasi krisis makanan ni adalah daging, ikan, beras, buah-buahan dan sayur-sayuran. Bila kita faham dasar negara, kita dah boleh bayangkan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan. Oleh demikian, dakwaan dan tanggapan segelintir orang bahawa negara tak berdaya membendung krisis makanan memang dah jauh menyimpang.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee turut sebut beberapa langkah yang dahpun negara lakukan. Susulan isu India larang eksport gandum ke pasaran global termasuk Malaysia, kerajaan sedang uruskan masalah tersebut dengan mencari alternatif lain. India cuma sebuah negara pengeksport. Banyak lagi negara pengeksport gandum lain nak ambil peluang ni untuk menempatkan diorang sebagai pilihan baharu.
“Sebagai contoh, bekalan ayam pada ketika ini harga siling ditetapkan pada kadar RM8.90 sekilogram (kg) yang mana kerajaan mengeluarkan subsidi bagi menampung kos pengeluaran yang ditanggung pihak industri. Kita mengimport baja serta komponen makanan haiwan dari luar dan peningkatan kos pengangkutan serta pengeluaran memberi kesan kepada kenaikan harga produk makanan (ayam dan sayur-sayuran).
Tetapi kita tidak membiarkan rakyat bersendirian. Apa yang membezakan kita dengan negara lain adalah cara kita menguruskan impak kenaikan kos dan harga barang disamping memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro
https://www.youtube.com/watch?v=TBC_QPefQt8&ab_channel=HarianMetro
Walaupun isu krisis makanan ni memang buat mencetuskan rasa risau, tapi pada masa yang sama, masih banyak harapan dan ruang untuk kita kendalikan krisis ni dengan lebih baik. Malaysia mungkin kurang rasa terjejasnya berbanding negara-negara lain kerana mekanisme pengurusan yang diletakkan untuk mengelak kesan buruk krisis makanan tu mencengkam minda kita sehingga rasa panik, takut dan khuatir terhadap kesejahteraan negara.