Malaysia lancar Dasar Wanita Negara pada Hari Wanita Antarabangsa

f1

Beberapa Menteri dan Timbalan Menteri mengucapkan selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang disambut di seluruh dunia hari ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tema sambutan tahun ini amat bertepatan dalam mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara.

“Wanita hari ini bukan sekadar pelengkap kepada masyarakat, tetapi mereka adalah pencetus perubahan dan pemangkin kemajuan.

“Sejarah telah membuktikan bahawa wanita berperanan besar dalam membangunkan negara. Daripada tokoh kepimpinan, pendidik, ahli ekonomi, pejuang hak asasi, hingga ke barisan hadapan dalam pelbagai sektor, wanita telah menunjukkan kecekalan, keberanian, dan kebijaksanaan dalam menghadapi pelbagai cabaran. Selamat Hari Wanita buat semua wanita di negara ini!,” katanya

Turut mengucapkan selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswathy Kandasami.

Teo dalam catatan di Facebook menyeru semua pihak agar bersama-sama mencipta ruang yang lebih adil untuk wanita, bagi memastikan mereka dapat berkembang serta menyumbang kepada negara tanpa halangan.

“Mengambil contoh kepimpinan dan politik di peringkat Parlimen, kita hanya mempunyai 13.5 peratus Ahli Parlimen wanita dan 16.1 peratus wanita di peringkat Kabinet Kerajaan MADANI. Ini menunjukkan keperluan untuk menarik lebih ramai wanita terlibat dalam pembuatan dasar serta pentadbiran negara.

“Dengan sokongan dan komitmen semua, kita dapat mencapai kesaksamaan gender yang sebenar dan membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya.

Pada masa yang sama, Dasar Wanita Negara diperkenalkan

Dasar Wanita Negara 2025-2030 yang dilancarkan bertujuan memperhalusi dan menambah baik dasar sedia ada serta memperkukuh lagi langkah penguatkuasaan terhadap pelaku keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dasar baharu itu juga bertujuan mengisi kekurangan atau ‘loophole’ yang ada dalam pelaksanaan dasar-dasar sebelum ini, dengan penekanan lebih terhadap aspek perlindungan wanita, terutama dalam konteks keganasan rumah tangga.

photo 2025 03 08 12 58 52 1741410068
Datuk Seri Nancy Shukri

“Paling penting, kementerian ingin membantu wanita terutama mereka yang terkesan oleh keganasan ini kerana kes berkenaan meningkat dari semasa ke semasa.

“Dari segi hukuman itu perlu ditegaskan lagi… kita tidak mahu sebut saja, tetapi perlu ada pelaksanaan dari segi hukuman dan tindakan yang perlu diambil kepada mereka yang melakukan (keganasan rumah tangga),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025

Majllis perasmian sambutan berkenaan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian turut melancarkan Dasar Wanita Negara 2025-2030.

Bagi tujuan memperkukuh tindakan penguatkuasaan, Nancy berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, menyentuh tentang Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 bertemakan “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” itu, Nancy berkata, buat julung kalinya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan aktiviti prasambutan di peringkat zon bagi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.

Beliau berkata, prasambutan itu dilaksanakan secara berperingkat melibatkan Zon Borneo pada 11 Februari lepas, diikuti Zon Timur (18 Februari), Zon Selatan (24 Februari), Zon Tengah (25 Februari) dan diakhiri Zon Utara (26 Februari), dengan anggaran sebanyak 500 hingga 1,000 peserta terlibat dalam setiap sambutan pada peringkat zon.

“Aktiviti utama yang dianjurkan termasuk kempen kesedaran dan advokasi, forum serta sesi dialog bersama-sama pemimpin wanita dan pakar dalam pelbagai bidang, serta diskusi berkaitan aspek kepimpinan, ekonomi dan kesejahteraan wanita,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kasih Wanita kepada empat individu mengikut kategori berdasarkan sumbangan serta jasa mereka terhadap masyarakat.

Penerima Anugerah Kasih Wanita Bakti diberikan kepada Pengasas Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed manakala bekas pesakit skizofrenia, Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lid pula menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal.

Anugerah Kasih Wanita Harmoni diberikan kepada bekas anggota polis Jennifer Atok dan Anugerah Kasih Wanita Komuniti diterima guru Orang Asli Amira Yoke Bes.

Jangan ragu untuk melaporkan sebarang bentuk keganasan rumah tangga

Golongan wanita digesa jangan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mereka menjadi mangsa penderaan mental, fizikal dan keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan wanita tidak perlu takut untuk bangkit melawan keganasan rumah tangga dan perlu memahami hak-hak mereka.

Nancy berkata, tindakan berkenaan perlu susulan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan berlaku di Malaysia setiap tahun.

“Keganasan rumah tangga ini bukan hanya berlaku kepada wanita yang sudah berkahwin, malah wanita yang belum berkahwin juga berisiko. Oleh itu, wanita harus berani untuk membela diri dan mengenali hak mereka. Banyak wanita yang mungkin merasa takut untuk melaporkan keganasan atau penderaan yang mereka alami kerana takut dipukul atau dibuli lebih teruk. Saya sering bercakap dengan wanita yang belum berkahwin – kalau anda belum ada teman lelaki, garang-garang sikit! Walaupun dia ‘handsome’, itu tidak bermakna anda harus menerima perlakuan yang tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu istimewa rancangan bual bicara Borak Bibir Merah anjuran Sinar Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk rekod, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga pada tahun lalu berbanding 2023 dan 2022.

stop domestic abuse couple fight web
Keganasan rumah tangga perlu dihentikan

Pada tahun 2022, sebanyak 6,540 kes telah direkodkan, diikuti dengan 5,507 kes pada tahun 2023 manakala pada tahun 2024, sebanyak 7,116 kes dilaporkan. Justeru, Nancy menegaskan adalah penting bagi wanita sendiri mempunyai kesedaran mengenai hak-hak mereka.

“Wanita tidak sepatutnya membenarkan diri mereka diperlakukan dengan cara yang tidak adil. Kita perlu tahu hak kita sebagai manusia dan wanita. Tiada siapa yang berhak untuk menzalimi kita,” jelasnya.

Tambah beliau, beberapa inisiatif dilaksanakan kementerian tersebut yang bertujuan memberi sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Kini, kita mempunyai undang-undang yang lebih tegas, termasuk Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS), yang membolehkan kes-kes gangguan seksual dan keganasan rumah tangga diselesaikan dengan cepat. Ini memberi ruang bagi wanita untuk mencari perlindungan dan keadilan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *