Kestabilan politik, dasar ekonomi Madani yang jelas dan langkah memudahkan perniagaan antara faktor yang menarik pelabur datang ke negara ini, sehingga mampu mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi diluluskan dalam sejarah negara tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejayaan itu membabitkan sumbangan semua jentera kerajaan, diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Luar, yang bukan hanya mampu dicapai dengan beberapa kunjungan ke negara luar.
“Pelabur, sama ada domestik atau asing, apabila mereka nak datang, mereka nak tengok jelas atau tidak (dasar). Kita ada pelan perindustrian, transisi tenaga, transformasi digital dan program keselamatan makanan yang jelas.
“Mereka tahu sebelum bertemu kita, beberapa kerangka kebijakan ekonomi yang kita jelaskan.
“Selain itu, ia juga disumbang kepantasan kelulusan yang mendapat teguran sebelum ini, sama ada di peringkat Persekutuan, negeri dan perbandaran. Di peringkat Persekutuan, kita tumpukan satu agensi di MITI untuk menyelaraskannya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai bagaimana Malaysia mampu mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi dan memastikan momentum itu berterusan.
Menjawab soalan sama ada Malaysia terjejas atau mendapat manfaat daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui ia memberi kesan kepada negara pengeksport ke China, termasuk Malaysia.
Bagaimanapun katanya, ada negara seperti Jerman mengambil langkah mengurangkan kebergantungan hanya kepada China dan turut memilih Malaysia sebagai hab dagangan.
“Dalam beberapa bulan ini, dapat kita lihat MITI menerima kehadiran Menteri Perdagangan (dari luar) dan kita juga masih mendapat pelawaan daripada kesungguhan Arab Saudi dan Qatar, yang dulunya juga melabur tapi agak rendah.
“Jika kita terus beri tumpuan dan latihan (kepada bakat tempatan) kerana kelemahan kita adalah latihan matematik dan sains, TVET (Pendidikan Teknikal dan Vokasional), kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI) peringkat tertinggi, kita mampu lakukan kalau berikan tumpuan serta peruntukan tambahan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai syarikat dari Australia dan Jerman yang akan melabur di Malaysia, masing-masing berjumlah RM24.5 bilion dan RM45.4 bilion dan sektor industri yang akan dibangunkan, Anwar berkata, pelaburan daripada Australia merangkumi sektor pusat data, alat, peranti perubatan, industri keluli dan pembuatan makanan, yang dijangka membantu Malaysia memperkukuh ekosistem ekonomi digital dan tenaga boleh baharu serta mewujudkan sekurang-kurangnya 1,200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Lawatan beliau ke Australia juga menjana potensi jualan eksport produk Malaysia ke Australia sebanyak RM962.1 juta bagi bagi barangan kayu, baja, makanan dan minuman dan komponen elektrik.
Bagi lawatan rasmi sulungnya ke Jerman, yang turut mengandungi program Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan anjuran MITI, pelaburan meliputi industri tenaga dan pelbagai industri pembuatan termasuk semikonduktor, aeroangkasa, produk kimia, peranti perubatan dan sektor automotif.
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, prestasi perdagangan negara menunjukkan trend peningkatan untuk dua bulan pertama tahun ini, dengan mencatatkan pertumbuhan 8.3 peratus kepada RM446.43 bilion, berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Eksport pula meningkat 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion dan ini turut mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion,” katanya.
Kestabilan politik adalah kunci kepada pelaburan negara
Dalam usaha menarik kalangan pelabur dan perniagaan Australia dan Asean untuk mempertimbangkan Malaysia secara serius bagi melabur, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kestabilan politik, kejelasan dasar serta tadbir urus baik dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelaburan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Sejajar misi meraih perhatian pelabur dan perniagaan Australia serta Asean di acara Persidangan Invest Asean di sini pada Khamis, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata di bawah kepimpinan beliau, Malaysia berada dalam keadaan stabil dan kukuh.
“Menerusi kestabilan politik ini, kita memberi tumpuan terhadap tadbir urus yang baik. Selain itu, wujud kejelasan dasar iaitu perancangan serta keutamaan yang lebih jelas,” kata beliau di hadapan barisan hadirin antarabangsa yang menghadiri acara berkenaan.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Australia pada 4-7 Mac ini atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Anthony Albanese.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga menyedari dalam usaha memacu ekonomi, apa yang penting adalah menyegerakan serta mempercepat kadar keutamaan, sebagai contoh, dalam aspek transformasi digital.
“Kita komited untuk mengambil apa juga langkah wajar bagi memastikan ini dapat direalisasikan,” kata beliau.
“Bagi saya, isu dengan kerajaan ialah ada kalanya kita (menganggap) seperti tahu semua perkara.
“Atas alasan inilah, saya katakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa walaupun kita telah menggariskan kejelasan dasar ini dari segi peralihan tenaga, kita juga perlu memikirkan mengenai masa depan,” kata beliau.
Menjawab pertanyaan mengenai dana kekayaan negara, Anwar menjelaskan walaupun dana-dana itu secara teknikalnya di bawah kawalan kerajaan, aspek seperti keputusan perniagaan yang diambil oleh Khazanah Nasional dan Petronas yang dipengerusikan beliau, adalah semata-mata berasaskan matlamat perniagaan.
“Biarpun secara teknikalnya saya mempengerusikannya, saya telah menyatakan dengan jelas. Keputusan itu, keputusan perniagaan adalah berdasarkan garis panduan dasar.
“Keputusan perniagaan mesti dibuat oleh mereka dalam bidang itu, kalangan pakar,” katanya.