Kesemua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disarankan agar berhenti mengeluarkan arahan berhubung mengekang kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik dan pelajar. Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata, kebebasan akademik memainkan peranan penting dalam mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal dan mempromosikan kemajuan sosial.
Menurutnya, suara mereka tak wajar ditekan atau dibungkam.
“Ahli akademik Malaysia haruslah berani menyuarakan pandangan, kerana pemikiran mereka adalah kekuatan yang penting untuk kemajuan negara. Saya puji kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menyokong ahli akademik untuk mempunyai kebebasan mengemukakan pendapat berdasarkan penyelidikan dan fakta,” katanya menerusi laman Facebook
Sebelum itu, menurutnya hak kebebasan bersuara para akademia universiti akan terus dipertahankan selagi ia berasaskan disiplin dan penyelidikan masing-masing.
Zambry menegaskan, beliau tidak mahu sebarang tindakan yang diambil pihak universiti termasuk Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) akan mengekang golongan itu untuk memberi pandangan dan melontarkan idea.
Dalam pada itu, Teresa berkata, pendirian menteri itu adalah amat penting untuk memastikan universiti terus menjadi tempat pertukaran fikiran dan pertembungan idea dalam pembangunan negara.
“Saya juga bersetuju dengan pandangan Zambry bahawa undang-undang seperti Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 tidak seharusnya menjadi alat untuk menekan pendapat dan pandangan ahli akademik,” ujarnya.
Pandangan Zambry yang dipuji oleh Teresa Kok
Hak kebebasan bersuara para akademia universiti akan terus dipertahankan selagi ia berasaskan disiplin dan penyelidikan masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, beliau tidak mahu sebarang tindakan yang diambil pihak universiti termasuk Akta 605 Akta Badan- Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) akan mengekang golongan itu untuk memberi pandangan dan melontarkan idea.
“Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa kebebasan akademia di universiti tetap dipertahankan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Akademia 2024
Ujar beliau, setiap pekeliling yang hendak dikeluarkan sama ada dari pihak Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan sebagainya perlu melihat dalam konteks universiti.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, universiti merupakan tempat yang agak berbeza dari segi budaya dan ekosistemnya. Kita tidak mahu setiap arahan yang dikeluarkan itu ditafsirkan sebagai mengekang hak dan juga kebebasan akademia dalam sebuah universiti,” jelas beliau
Sebelum ini, tular memo Jabatan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertarikh 8 Oktober yang menyatakan peringatan kepada semua pegawai awam berkanun untuk tak mengeluarkan kenyataan secara lisan dan bertulis termasuk di media sosial.
Sementara itu, Zambry berkata, golongan intelektual tidak boleh terperangkap dalam kelompok elit dan mesti mempunyai kebebasan untuk membentuk idea dan pengetahuan.
“Kalau tidak ada itu, bermakna kita tidak akan mampu melahirkan idea-idea yang baik dan tanggungjawab sosial (terhadap rakyat),” katanya.
Tambah beliau, meskipun hasil kajian ahli akademia menimbulkan rasa tidak selesa terhadap pihak-pihak tertentu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat kebebasan golongan itu.
“Walaupun kita tahu bahawa hasil daripada kajian mereka itu tidak baik ataupun kritikal untuk pihak-pihak tertentu, bagi saya jangan dijadikannya sebagai satu alasan untuk mengekang kebebasan ahli-ahli akademik. Ahli akademia tidak akan bercakap semberono tetapi kita akan pastikan apa yang dicakapkan atau dizahirkan itu berdasarkan kepada disiplin, fakta dan bukti masing-masing,” katanya.
Ditanya adakah KPT bercadang untuk meminda Akta 605, Zambry berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut.
“saya ingin melihat juga dalam konteks Akta 605 ini apakah ada pengecualian-pengecualian yang boleh diberikan dan saya akan lihat secara detail kerana kita difahamkan ada beberapa perkara dikecualikan kepada institusi tertentu, jadi kalau itu asasnya, maka adalah wajar juga untuk kita melihat semula ke dalam,” katanya.
Dr Maszlee bimbang kenyataan UKM, tetapi UKM kata mereka beri kebebasan
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkongsi keluhan warga akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.
Menerusi perkongsian yang dibuat di aplikasi X pada Rabu, Dr Maszlee turut berkongsi surat pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangannya.
Difahamkan surat pekeliling bertarikh 8 Oktober itu mengingatkan pegawai badan berkanun tidak boleh secara lisan atau membuat penyataan awam tentang apa-apa keputusan dan isu yang boleh memburukkan dasar nama badan berkanun atau kerajaan.
Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial. Menerusi satu kenyataan, UKM berkata, pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.
Menurutnya, etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah.
“Setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran. Sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai universiti watan,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, tular surat pekeliling UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangan berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.
Tambah kenyataan tersebut, kenyataan awam berbentuk konstruktif amat digalakkan sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan menjadi pemangkin perbincangan ilmiah dalam kalangan warga UKM.