Dengan penuh confident, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang mempunyai darah Minang ke Semenyih sekiranya Barisan Nasional menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih 2 Mac ini.
“Malam ini sangat-sangat bermakna kepada diri saya. Saya dapat sampai juga ke Kampung Minang ini sebab orang rumah saya orang Minang. Tapi malam ini saya tidak bawa dia sebab ini dalam kempen pilihan raya. Tetapi kalau menang, Insya-Allah saya boleh bawa dia ke Kampung Minang ini. Boleh tuan puan?”
Takkanlah bossku naik motor sorang-sorang, tak lonely ke?
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ucapan di sebuah program di Semenyih, mencadangkan agar Najib membawa ‘yang seorang lagi itu’ sewaktu berkempen – yang dipercayai merujuk kepada Rosmah.
“Kalau boleh, janganlah naik motor seorang (saja), bawalah yang seorang lagi tu. Boleh dia membonceng atas motor (bersama Najib),” kata Azmin.
Najib yang ketika ini menjenamakan semula dirinya dengan slogan ‘Malu Ape Bossku’, lengkap dengan motosikal Yamaha Y15 yang popular dalam kalangan anak muda itu kini sering tampil seorang diri dalam program yang dihadirinya. Tatkala ada yang melihat bahawa slogan tersebut sebagai menarik, video pendek Najib menyebut ‘Bukan Biashe-Biashe’ pula, menjadi bahan jenaka.
Selepas kekalahan UMNO-BN dan pilihan raya umum dan disusuli beberapa siri pendakwaan mahkamah melibatkan Najib dan Rosmah, pasangan berkenaan jarang dilihat bersama. Tanpa memperlekeh pengaruh yang terhasil daripada kempen baru penjenamaan Najib, rakyat tidak boleh secara mudah melupakan bagaimana kegagalan beliau sepanjang menduduki kerusi ‘Malaysia No.1’.
Najib kini telah didakwa di mahkamah sebanyak enam kali dengan 42 pertuduhan jenayah. Beliau pertama kali dibawa ke Mahkamah Sesyen pada 4 Julai 2018 untuk menghadapi tiga tuduhan CBT dan satu penyalahgunaan kuasa berhubung dengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Najib, 66, menggegar dunia dengan apa yang digelar sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk” dan tuduhan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
RM130 juta duit tunai dan RM200 juta barang kemas ditemui oleh PDRM di kediaman Najib-Rosmah dan kondo super mewah yang dimiliki oleh tauke Cina. RM1 juta tunai pula ditemui di rumah orang kanan Najib, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.
Ada skandal yang memalukan negara
Kes ini bukan sahaja memalukan Najib, Rosmah, UMNO-BN dan parti politik lain yang mendukungnya, malah mengaibkan rakyat Malaysia secara umumnya. Pada Oktober 2018, Istana Negeri Sembilan telah menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Najib dan Rosmah. Pendaftar Darjah, Dr Razali Ab Malik berkata, keputusan itu dibuat bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri keenam dari April 2009 hingga Mei 2018, pelbagai siri kontroversi melingkari dan menyelubungi Rosmah serta Najib. Kartunis Zunar, yang mana 9 buah karyanya diharamkan oleh Kerajaan UMNO-BN sebelum ini, pernah menyatakan bahawa Rosmah sangat ‘cartoonable’ dan memberi banyak inspirasi untuknya melukis. Dan ini pastinya disebabkan sifat dominan yang dimiliki oleh Rosmah sepanjang menjadi VVIP.
Siapa boleh menafikan pengaruh besar yang dimiliki Rosmah, dengan peruntukan besar yang dikurniakan oleh Najib sejak Belanjawan 2013 kepada program PERMATA Negara yang meningkat puluhan juta setiap tahun, sedangkan peruntukan dana kepada universiti awam dipotong.
Ingat lagi program PERMATA yang penuh kontroversi?
Program Permata yang mula dilaksanakan pada 2007 adalah cetusan idea Rosmah merangkumi Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia. Meskipun mempunyai objektif asal yang baik, banyak pihak mengkritik bahawa Kementerian Pendidikan sewajarnya diberikan dana dan kuasa untuk menguruskan program tersebut.
Tambahan pula, program ini gagal memberikan impak besar kepada majoriti pelajar lain, khususnya yang fakir miskin, yang tidak ditempatkan dalam program tersebut. Hanya yang terpilih dan minoriti sahaja menerima manfaat daripada program ini.
Setiap kali ada yang merasakan Najib membawa suara dan denyut nadi rakyat, harus diingat janji-janji Najib yang dicapati oleh pentadbirannya. Dan ingatlah nasihat Rosmah dalam siri ucapannya, yang menyeru rakyat berjimat-cermat dan menabung, sedangkan beliau sendiri tidak mengamalkan nasihatnya. Siapa boleh lupa bila Najib dengan bangga melaungkan bahawa harga sayur kangkung telah turun, sedangkan rakyat dihimpit kenaikan harga barang.
Benar, ‘sokongan’ segelintir segmen masyarakat kepada Najib kini adalah berikat dengan masalah ekonomi yang melanda negara. Namun, penting untuk disebut di sini bahawa Najib turut menjadi penyumbang utama kepada kemelut yang melanda negara. Adakah dengan penjenamaan semula ‘Malu Apa Bossku’ ini menjadikan ekonomi Melayu dan bumiputera telah naik? Adakah slogan ini membolehkan bangsa Melayu dan agama Islam menjadi semakin mulia? ‘Troll’ Najib ini meskipun agak popular, tidak boleh dijadikan petunjuk atau kayu ukur, bahawa majoriti rakyat sudah kembali menyokong beliau dan UMNO-BN.
Korang serius ke nak jumpa Rosmah
Dengan berpuluh-puluh tuduhan berhubung dengan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah (CBT) dan rasuah, Najib dan Rosmah bukanlah contoh pasangan yang boleh dijadikan tauladan. Dari sekadar satu parodi, imej badut Najib kini seolah-olah menjadi realiti.
Najib boleh kekal menjadi merendahkan ‘martabatnya’ kalau itu boleh membuat segelintir segmen masyarakat merasa gembira. Dan sepanjang tempoh itu, segala dosa silam Najib dan Rosmah kepada rakyat Malaysia, akan terus menghambat mereka, sehingga kes mereka diputuskan oleh Mahkamah kelak. Kita jangan jadi bangsa yang mudah lupa dengan keborosan dan kebobrokan yang telah dilakukan Najib dan Rosmah. Kalau tidak, ‘Bikin Malu Saja Bossku’.