займ срочно

Wanita ini menang saman 1.5 juta USD kerana dihalang mengepam susu

Wanita ini menang saman 1.5 juta USD kerana dihalang mengepam susu

Kaum wanita telah melakukan banyak perkara luar biasa dalam sejarah dunia. Antara yang sering dianggap remeh tetapi sebenarnya sangat bermakna adalah – mereka kembali bekerja selepas melahirkan anak. Apabila tamatnya cuti bersalin selepas beberapa bulan, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana kerja di pejabat. Ada yang berpuluh kali menelefon pengasuh ketika bekerja, kerana risaukan anak mereka.

Ada juga yang pening kerana perlu memilih baju yang sesuai untuk ke pejabat setiap hari. Keletihan dan kekurangan tidur juga menjadi teman setia para srikandi ni. Jadi, para suami perlulah memberi sokongan padu kepada isteri, dan bertanyakan keperluan mereka. Toleransi, adalah kuncinya.

Via Giphy

Wanita ni berjaya menang 1.5 juta USD dalam kes samannya

Pastinya ramai yang beranggapan para majikan sudah pun mengetahui cara yang betul dalam menyantuni ibu-ibu yang baru kembali bekerja. Hakikatnya, masih ramai yang tidak cakna terhadap keperluan kaum ini. Apabila Autumn Lampkins diterima bekerja sebagai pembantu pengurus di Kentucky Fried Chicken di Delaware, Amerika Syarikat beberapa bulan sebelum melahirkan anaknya, beliau dimaklumkan bahawa kerja barunya itu tidak akan menghalangnya daripada mengepam susu badannya. Malangnya, semuanya menjadi paradoks selepas beliau memulakan latihan untuk jawatannya itu.

Autumn Lampkins. Via Metro US

Lampkins mendakwa bahawa cawangan KFC tersebut menyekat kebebasan beliau daripada keperluan untuk mengepam susu ketika waktu bekerja. Beliau kemudiannya memfailkan saman terhadap bekas majikannya itu, dengan mendakwa bahawa merasa sedih dan tertekan akibat kepayahan tersebut, selain diturunkan pangkat.

Dalam samannya, beliau menyatakan bahawa rakan sekerja dan penyelianya menyukarkan beliau daripada mengepam susunya ketika bekerja, sehingga bekalan susu badannya kering. Akibatnya, Lampkins terpaksa menahan kesakitan dan memberikan bayinya susu formula – jauh lebih awal dari yang dirancangnya. Beliau hanya mampu mengepam sekali dalam 10 jam tempoh bekerjanya, jauh lebih sedikit berbanding yang disyorkan oleh pakar perubatan. Secara umumnya, kaum ibu dinasihatkan untuk mengepam susu sekali setiap dua jam.

Beliau menyebut berkenaan ketiadaan tempat yang sesuai dan tertutup untuk mengepam susunya. Pilihan yang ada cuma bilik air pekerja yang sempit ataupun di pejabat pengurus yang mempunyai kamera CCTV, yang dikatakan tidak boleh dimatikan. Kini, francais makanan segera tersebut terpaksa mengeluarkan lebih $1.5 juta kepada Lampkins sebagai ganti rugi.

Di Malaysia kita ada undang-undang yang boleh digunakan untuk kes macam ni

Kes ni mendapat perhatian ramai memandangkan sebelum ini, timbul perdebatan berkenaan kewajaran memberi susu badan kepada bayi di kawasan awam. Sebaliknya, dalam kes Lampkins, beliau mahukan privasi, dan mengalami kepayahan. Bukan saja perlukan penjagaan pemakanan, kaum ibu juga memerlukan rehat yang cukup, bagi mengelakkan tekanan.

Di Malaysia, terdapat beberapa seksyen dalam Akta Kerja 1955 yang membela hak kaum wanita. Seksyen 37-Seksyen 44, Akta Kerja 1955 memberi perlindungan bersalin, khususnya berkenaan tempoh cuti dan jumlah elaun cuti bersalin.  Seksyen 34 dan Seksyen 35, Akta Kerja 1955 pula memberi penekanan berkenaan larangan bekerja di bawah tanah dan kerja malam (dari jam 10 malam hingga 5 pagi) untuk pekerja wanita.

Selain itu, Bahagian XVA, Akta Kerja 1955 memberi perlindungan kepada pekerja wanita, sekiranya terdapat gangguan seksual di tempat kerja.

Via Tenor

Namun, Akta Kerja 1955 pastinya perlu diteliti semula untuk memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja seiring perubahan, cabaran pekerjaan serta ekonomi semasa. Akta ini juga dilihat tidak kompetitif dengan Perjanjian Kolektif (CA) antara majikan dan persatuan yang mewakili pekerja. Berdasarkan rekod Parlimen, kali terakhir pindaan Akta Kerja 1955 dilakukan pada 2013, namun pelbagai pihak menyifatkan perundangan itu tidak lagi relevan dan perlu diteliti semula bagi memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja seiring perubahan, cabaran kerjaya serta ekonomi semasa.

Pihak majikan tidak boleh mendiskriminasi wanita yang masih menyusukan bayinya di tempat kerja

Berbalik kepada kes Lampkins, apabila beliau menamatkan latihannya untuk jawatan penolong pengurus, beliau telah dipindahkan ke cawangan yang lain dan diturunkan pangkat kepada penyelia shif. Dalam samannya, dinyatakan bahawa;

“Ini adalah satu penurunan pangkat dan bukan atas permintaan Puan Lampkins. (Majikannya) secara tersirat memberitahu Puan Lampkins bahawa penurunan pangkatnya kepada jawatan penyelia shif adalah kerana beliau mengepam susu badan ketika bekerja.”

Di tempat kerja barunya, rakan sekerja Lampkins mengadu bahawa beliau mendapat “rehat” yang khusus supaya dapat mengepam susu. Hal ini menunjukkan kefahaman dangkal segolongan masyarakat bahawa mengepam susu adalah satu kelebihan yang dibuat-buat, bukannya keperluan untuk kaum ibu yang baru bersalin, selepas kembali bekerja.

Pihak juri merasakan bahawa suasana tempat kerja Lampkins tidak sesuai untuknya, memandangkan terdapat bukti diskriminasi yang jelas kepadanya. Beliau diberikan pampasan sebanyak $25,000 dan $1.5 juta lagi sebagai ganti rugi.

Bayar dia 1.5 juta. Via Tenor

Salah-seorang peguamnya, Patrick Gallagher dengan lantang menyatakan bahawa “Ini adalah hari yang hebat untuk hak asasi wanita. Pihak juri telah menghantar mesej yang jelas bahawa pihak majikan tidak boleh mendiskriminasi wanita yang masih menyusukan bayinya di tempat kerja!”

Dengan 10 jam waktu shif bekerja dan baru melahirkan anak, bukanlah satu perkara yang mudah. Beliau tidak sepatutnya disekat daripada memenuhi keperluannya sebagai ibu yang masih menyusukan anaknya. Tahniah kepada Lampkins kerana berani mempertahankan haknya. Salute!

Perempuan tak sepatutnya didiskriminasi

Kes ni membuktikan seorang wanita tak sewajarnya didiskriminasi di tempat kerja. Kaum wanita perlu bangkit memperjuangkan hak-hak mereka supaya tak ditindas. Apa yang paling penting, kaum wanita perlu faham dan tahu isu apa yang mereka perlu utamakan dalam perjuangan menuntut hak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top