Nik Nazmi letak jawatan tapi tak akan khianat

f1 min (2)

“Keputusan kali ini bukanlah apa yang seperti kami harapkan,” demikian luahan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan itu bagi pemilihan kali ini. Nik Nazmi berkata, beliau sudah berjuang habis-habisan dan amat menghargai dedikasi pasukannya sepanjang kempen pemilihan. Kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu, dia akan terus berkhidmat kepada tanah air dengan sepenuh jiwa dan raga.

“Kini, tibalah masanya untuk kita mengetepikan segala perbezaan dan bersama-sama memastikan PKR keluar daripada ujian kuasa ini dengan idealismenya tetap utuh, membawa visi serta agenda untuk terus berkhidmat dan mengangkat martabat rakyat. Selamat memikul amanah dan menjalankan tugas kepada kepemimpinan baharu parti kita,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook.

Bagi Naib Presiden PKR, tiga penyandangnya iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berjaya mempertahankan jawatan tersebut.

Muka baharu bagi jawatan itu diisi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan. Pada masa sama, Nik Nazmi turut mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah mengundi dirinya dalam pemilihan kali ini.

Nik Nazmi ikuti langkah Rafizi dengan meletakkan jawatan

Susulan daripada keputusan Pemilihan PKR 2025, YB Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam. Keputusan itu diumumkan sebentar tadi, kira-kira dua jam selepas Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi.

Nik Nazmi, sekutu Rafizi, berkata dia telah menghantar surat peletakan jawatan berkuat kuasa 4 Julai kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dalam tempoh lebih sebulan itu, dia akan menghabiskan cuti tahunannya. Menggariskan kejayaannya semasa menerajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi berkata dia sedar kedudukannya sebagai naib presiden PKR sebelum ini menjadi pertimbangan utama pelantikannya ke kabinet.

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuatkuasa 17 Jun ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang. Menurut Rafizi, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan menghabiskan cuti tahunan sehingga tarikh akhir tersebut.

Dalam kenyataan media hari ini, Nik Nazmi juga menyenaraikan beberapa kejayaannya sema berpeluang menerajuu dua kementerian. Ini termasuk pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi. Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

“Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia.

“Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan,” katanya.

Nik Nazmi dilantik menganggotai jemaah menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022—Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025).

Nik Nazmi yang juga ahli Parlimen Setiawangsa berkata, dia akan meluangkan lebih banyak masa di kawasan parlimen.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.

“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang. Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.

“Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: ‘Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam’,” katanya.

Walaupun meletakkan jawatan sebagai menteri, mereka tidak akan mengkhianati parti

Keputusan peletakan jawatan dua pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan tidak akan memberi ruang kepada mereka untuk mengkhianati parti.

Dalam satu kenyataan ringkas di platform X, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa beliau dan Rafizi tidak akan sesekali mengkhianati parti meskipun mengambil keputusan meletak jawatan sebagai menteri.

“Kami letak jawatan, kami tidak akan khianat parti,” katanya.

Kenyataan ringkas Nik Nazmi, yang juga bekas Naib Presiden PKR itu, timbul di tengah-tengah dakwaan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 11 ahli Parlimen parti itu, termasuk Rafizi dan dirinya, yang dikatakan telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, spekulasi tersebut dinafikan oleh Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, yang menyifatkan edaran dakwaan itu di pelbagai platform media sosial sebagai tidak berasas dan mengarut.

Terdahulu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mengumumkan keputusan peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun depan, diikuti Nik Nazmi yang turut melepaskan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai ini.

Zahid anggap keputusan Rafizi dan Nik Nazmi untuk meletakkan jawatan adalah berprinsip

Keputusan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan daripada Kabinet adalah satu tindakan berprinsip dan perlu dihormati. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Rafizi dan Nik Nazmi telah memberi sumbangan yang berkesan serta mendukung semua keputusan kerajaan.
“Mereka berprinsip. Itulah janji mereka (untuk letak jawatan sekiranya tewas dalam pemilihan PKR) dan kita menghormati pendirian itu.

“Biarpun kita tidak campur dalam urusan dalaman parti namun bagi pihak rakan-rakan dalam Kabinet, saya merasakan bahawa selama ini mereka telah menyumbang dengan cukup berkesan dan mereka secara kolektif mendukung semua keputusan yang telah ditetapkan oleh Kabinet,” katanya.

2856506
Zahid Hamidi. Via Sinar Harian

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan rakaman Konsert Desaku Mendunia dan Majlis Prapelancaran Mega Karnival 3 Dimensi di Angkasapuri malam ini. Ahmad Zahid juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pengganti daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

“Pemimpin datang dan pergi, begitu juga menteri. Perdana Menteri akan memilih orang yang terbaik daripada parti berkenaan untuk berada dalam Jemaah Menteri,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan malam ini memaklumkan Anwar telah menerima permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.

Menurut PMO, Perdana Menteri bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-duanya dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *