Pas secara terbuka bersedia bekerjasama dengan UMNO, sekiranya parti melayu terbesar itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kerjasama itu bukan sahaja dengan UMNO, tetapi juga semua pihak atas nama penyatuan Islam.
“Perpaduan ummah ini tidak mati, bahkan saya fikir dan tengok hubungan Pas dengan UMNO di peringkat akar umbi, di cawangan dari dulu sejak ada MN (Muafakat Nasional) semakin baik, hubungan kekal cuma bezanya mereka duduk dalam UMNO.
“Kita duduk dalam Pas, tapi mereka sokong dan senyap dalam memberi undi dan itu baik untuk kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Muktamar Dewan Pemuda Pas kali ke-65 yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur di Kerdau
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan pada ketika ini tidak berperanan dalam mempertahankan Islam sehingga pemimpin DAP begitu lantang bersuara.
“Jadi, Kalau orang tidak ikut cakap kita, tidak hormat pandangan kita keluar sahaja lah. Lebih baik pertahankan prinsip daripada pertahankan undi.
Pas cuba wujudkan semula Muafakat Nasional
Pas akan meneruskan usaha mereka untuk menarik sokongan pemimpin UMNO bagi menghidupkan Muafakat Nasional (MN).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan perkara tersebut sedang dirancang dan pihaknya masih terbuka untuk menarik parti Melayu terbesar itu.
“Kita akan tarik pemimpin-pemimpin, Melayu dan bumiputera termasuk dalam bukan Islam yang tidak ekstrem. Adakah Pas terbuka menerima UMNO? Ya,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur
Menjawab mengenai reaksi UMNO terhadap ajakan Pas, Abdul Hadi berkata, terdapat reaksi berbeza dalam kalangan ahli daripada parti terbabit.
“UMNO dengan orang-orang UMNO. UMNO ada undang-undang tubuh, ada orang sudah lari daripada undang-undang tubuh, ada yang masih berpegang dengan dasarnya. Kerjasama pernah berlaku dalam perjuangan kemerdekaan, sebagai contoh meletakkan Islam sebagai agama dalam negara itu antara kerjasama Pas dan UMNO,” katanya.
Keputusan Pas untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) tanpa pembabitan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ekoran Presiden UMNO itu masih terpalit pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, meskipun mahkamah menetapkan Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), kes tersebut masih boleh dibicarakan sekiranya terdapat bukti.
“Kalau kita tengok, dia (Ahmad Zahid) bukan tak ada kes. Dari segi undang-undang sekiranya ada bukti boleh dibawa semula (perbicaraan). Kita tengok respons, 47 kes bukan kecil. DNAA kerana pendakwaan menghentikan pendakwaan, bukan sebagaimana yang berlaku kepada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng. Bukan mahkamah putuskan dia tak bersalah. Ini isu integriti dan undang-undang. Bagi kita, Presiden sebut itu salah satu faktor,” katanya pada sidang akhbar selepas penangguhan Muktamar Tahunan Pas kali ke-70
Sebelum ini Abdul Hadi mengesahkan, usaha menghidupkan kembali MN yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera dilakukan tanpa pembabitan Ahmad Zahid.
Hadi didakwa tidak ikhlas kerana tidak mahu libatkan Zahid
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak ikhlas selepas menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama semula dengan UMNO tanpa perlu melibatkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, kenyataan tersebut dilihat hanya mementingkan Pas sahaja.
“Saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam. Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujar Wan Rosdy, UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan presiden parti tersebut.
Tegas beliau, tindakan tersebut kerana UMNO meletakkan institusi presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.
“Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah Pas. Tegasnya, kalau Pas benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, ia boleh dilakukan dengan berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Abdul Hadi.
“Pas jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, Pas tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.
“Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO,” katanya.