PDRM cemerlang kawal ‘pengganas’ di Malaysia, kini terima pengarah baru

G4

Kami percaya nikmat keamanan yang ada di Malaysia ni bukan didapati dengan mudah. Kita sering ambil mudah keharmonian dan keamanan yang kita kecapi, sebabnya kita tak terlibat secara langsung untuk mempertahankan keamanan. Banyak pihak yang terlibat secara langsung untuk pastikan keamanan negara terjaga – salah satu yang paling menonjol; pihak polis.

S1
Alhamdulillah. Via Memecrunch

Melihat kurangnya kes keganasan yang berlaku di Malaysia, ia menunjukkan prestasi polis kita berkenaan bab-bab keganasan ni memang power. Benda ni diakui sendiri oleh Menteri Dalam Negeri kita. Tan Sri Muhyiddin Yassin kata kejayaan tu jelas dapat dilihat apabila hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selalu berjaya menahan mereka yang terlibat dalam kumpulan pengganas sebelum serangan dilakukan.

“Ia merupakan satu pencapaian… ia diuruskan oleh pihak risikan Malaysia, selain menggunakan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Saya fikir satu sudut ini berkesan walaupun kita akan mengambil langkah dengan menambah dan membawa pindaan (akta) ke Parlimen tidak lama lagi,” – Muhyiddin Yassin, seperti yang dipetik dari BERNAMA

S1
Muhyiddin Yassin. Via Astro Awani

Muhyiddin kata; Malaysia tak memandang mudah soal-soal keganasan seperti Daish, sama ada dari dalam atau luar negara ataupun kumpulan lain yang cuba menggunakan Malaysia sebagai pangkalan. Salah satu unit yang bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia bebas dari pengganas adalah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

Ayob ni kalau dibiarkan lama lagi dalam Cawangan Khas, nanti dia dipanggil pengganas pulak, kata KP Negara…

Bercakap pasal unit ni, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dah dilantik sebagai Ketua Polis Johor bermula bulan depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad kata, Ayob akan gantikan Datuk Mohd Kamarudin Md Din yang akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Pada 11 Ogos 2016 Ayob dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism (E8) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner. Dia yang berusia 54 tahun terkenal dengan usaha melumpuhkan kumpulan militan Daish dan pengganas lain. Kalau cerita bab pengganas, memang muka dialah yang akan muncul dekat TV.

S1
Antara tangkapakan pihak polis terhadap suspek jenayah keganasan. Via The Straits Time

Selain tu, dia jadi tumpuan pengganas antarabangsa terutama dari kumpulan Daish sebab kesungguhannya memburu anggota militan yang cuba mensabotaj dan menjalankan kegiatan subversif di negara ini.

Ada jugak orang yang tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba dia dilantik jadi Ketua Polis Johor? Katanya pelantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Ketua Polis Johor (CPO) adalah untuk beri pendedahan dan pengalaman baru kepadanya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kata, Ayob Khan dah berkhidmat di cawangan khas Bukit Aman untuk tempoh masa yang panjang dan perlu bertugas di luar.

“Beliau perlu didedahkan dan telah melakukan banyak kerja. Saya beri beliau peluang ke bawah untuk memimpin dan beliau masih muda lagi. Ayob Khan sudah terlalu lama, kalau saya biarkan beliau lagi di Cawangan Khas lebih lama, orang akan panggil Ayob Khan pengganas pula, sebab itu memang kerja beliau,” – Abdul Hamid Bador, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Tugas berat Ayob akan digalas oleh timbalannya, cipta sejarah baru Malaysia

Jawapan kepada persoalan siapa akan ganti Ayob terjawab apabila Normah Ishak dilantik sebagai Pengarah Anti-Pengganas Bukit Aman, menjadikan dirinya wanita pertama dilantik ke jawatan tu.  Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan pelantikan Normah kepada portal South China Morning Post (SCMP).

S1
Normah Ishak. Via FB PDRM

Menurut SCMP, Hamid menyifatkan Normah sebagai “berani, cerdik, sangat berkelayakan dan seorang pegawai yang berpengalaman, berintegriti dan pemimpin yang cemerlang”.

“Antara tugas awal yang menunggunya ialah cabaran mengendalikan penghantaran balik 65 militan IS dan keluarga mereka ke Malaysia dari Syria. Sesetengah mereka merupakan militant tegar,” – Dipetik dari Laporan SCMP

Power. Via Giphy

Normah menyertai polis Malaysia pada Disember 1991 dan merupakan timbalan Ayob sejak 2016. Jadi dia bukanlah takde pengalaman dalam menguruskan hal berkaitan pengganas ni, sebab dia dah lama jadi timbalan Ayob. Apa-apa pun kami ucapkan tahniah kepada Normah, semoga dia dapat menggalas tugas ini dengan cemerlang!

Semoga negara kita terlindung daripada ancaman pengganas, tugas polis tentunya mencabar

Kebanyakan pengganas yang terlibat aktiviti membunuh orang yang tak bersalah ni ada ‘kebencian’ yang terlalu dalam terhadap sesuatu. Tak kurang jugak yang terlibat dengan keganasan sebab diorang dapat tafsiran agama secara tak betul, akhirnya diorang rasa tengah berjihad. Sebab tu kami selalu promosikan nilai-nilai sederhana dan menghayati kemakmuran yang kita tengah kecapi.

Untuk pihak polis pulak, moga diorang teruskan kerja keras untuk kekalkan keselamatan dan keamanan yang tengah kita rasai ni. Tugas mereka tentunya mencabar, dan kita sebagai rakyat perlu bantu diorang – pada kadar yang termampu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *