Tun Mahathir menari? Ini sebab tariannya sudah semakin dilupai ramai

F1

Semalam satu rakaman video Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun menari di sebuah majlis amal tular kat WhatsApp. Dalam video tu, Mahathir dilihat menari mengikut rentak muzik bersama anak sulungnya, Marina Mahathir. Katanya majlis itu ialah makan malam amal ronggeng.

Dalam majlis tu, Mahathir turut menyanyikan sebuah lagu Melayu, manakala isterinya Dr Siti Hasmah menggesek biola. Boleh tahan jugak Mahathir ni, dengan usianya yang semakin lanjut, dia masih mampu menari. Apa yang lebih menarik daripada video ni adalah sedikit info tentang tarian ronggeng. Ramai sebenarnya tak tahu apa benda tu tarian ronggeng, jadi hari ni kami akan tulis sedikit tentangnya…

Nampaknya tarian ronggeng dah semakin hilang keaslian, ramai yang nak buat duit je…

Kajian tentang seni persembahan ronggeng ni dipercayai bermula pada abad ke-17, dan bukan setakat tertumpu pada aspek hiburan masyarakat silam, tapi mampu beri gambaran pergerakan dan pewarisan budaya dari satu wilayah ke wilayah lain. Pada masa yang sama, penyelidik seni tu turut jelaskan ronggeng semakin hilang rupa budaya asal, sebaliknya dieksploitasi sebagai sumber perniagaan.

S1
Tarian ronggeng. Via Gudantari

Sebab tu ronggeng sinonim dengan persembahan yang menampilkan penari wanita berpakaian menjolok mata, dan bayaran yang tinggi dikenakan kepada sesiapa yang nak tengok persembahan tu.

Keadaan ni mungkin jadi faktor ronggeng dianggap budaya ‘negatif’ dalam masyarakat sehingga zaman kegemilangan seni yang menggabungkan tarian, nyanyian dan berbalas pantun itu merudum selepas penyebaran dakwah Islam di Semenanjung Malaysia pada era 1970-an.

Dapatan kajian tu diberikan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Sosio-Budaya/Kesenian Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Lawrence Ross bertajuk Ronggeng Social Dance and Music, lebih kurang 5 tahun lepas.

S1
Dr Lawrence Ross. Via Berita Harian

Kajian tu mengungkap realiti ronggeng menerusi kajian lapangannya yang menjelajah di negara ni, Thailand dan Indonesia. Menurut Ross, antara faktor kemerosotan seni persembahan ronggeng yang pernah diangkat sebagai satu budaya penting disebabkan perubahan gaya hidup dalam kalangan masyarakat.

Ronggeng dipercayai bermula di Semenanjung Malaysia pada lewat abad ke-17 dan kemudian merebak ke kawasan berdekatan dengannya termasuk di Sumatera Utara dan Selatan Thai. Cara hidup masyarakat yang berubah menyebabkan pengaruh ronggeng makin merosot, terutama apabila masyarakat yang dulunya bergantung kepada kerja bermusim, iaitu penanaman padi saja, beralih kepada penanaman getah yang boleh dikerjakan sepanjang tahun.

Berbeza di Malaysia, di Thailand tarian ronggeng digunakan untuk mencari jodoh

Menurut Dr Lawrence, persepsi negatif terhadap ronggeng lebih tertumpu kepada masyarakat di Semenanjung Malaysia berbanding negara lain. Ronggeng di Selatan Thai dianggap sebagai upacara penting terutama bagi gadis atau wanita yang ingin mencari pasangan hidup.

“Jika di Semenanjung Malaysia, persembahan ronggeng dilontarkan dengan tanggapan ia kegiatan tidak sihat tetapi di Selatan Thai pula ia menjadi upacara penting bagi wanita Thailand yang berumur 13 tahun dan ke atas untuk bertemu bakal suami mereka. Kebanyakan pemain ronggeng wanita di sana bertemu jodoh dengan lelaki berpangkat umpamanya mengahwini ketua penghulu dan orang politik,” – Dr Lawrence, seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kajian tu dilakukan berasaskan sumber sejarah lisan dengan menemui keturunan penggiat ronggeng yang masih ada terutama di Selatan Thai dan Utara Semenanjung Malaysia. Dia turut jelaskan perbezaan di antara ronggeng di Malaysia dengan Thailand, terutama apabila seni tu tersebar daripada tanah asalnya ke beberapa tempat di Thailand yang dipercayai destinasi terawalnya di kepulauan di Laut Andaman dan bergerak ke Pulau Lanta, sehingga ke tempat lain termasuk Phuket.

“Pulau Lanta di Thailand pernah menjadi hub kepada seni persembahan ronggeng terutama sekitar 1948 hingga 1960. Bagaimanapun, bahasa digunakan berubah apabila nyanyian dalam bahasa Melayu ditukar ke bahasa Siam, selain pantun Melayu digantikan dengan klorn, iaitu puisi Thai,” – Dr Lawrence, seperti yang dilaporkan Berita Harian

S1
Via SAYS

Dia turut menganggap kemerosotan ronggeng ada kaitan dengan kemunculan seni persembahan Melayu yang lain seperti joget dan inang kerana berkongsi ciri sepunya agak ketara. Katanya ronggeng tak pernah hilang atau pupus tapi ia dinamakan semula sebagai joget atau inang dan mungkin juga dengan nama lain.

Contohnya, jika kita teliti rentak alunan inang, rimanya agak sama seperti ronggeng yang turut memiliki persamaan dengan joget, sekali gus menandakan budaya tanpa sempadan dan penggabungan berlaku dalam seni Melayu tempatan.

S1
Ronggeng dipersembahkan oleh generasi muda. Via Youtube

Dr Lawrence turut menolak pandangan sesetengah pihak yang berpendapat perkataan ronggeng diperoleh daripada bahasa Inggeris, iaitu ‘wrong gang’ yang diberikan oleh orang Inggeris, sebaliknya melihat seni itu datang sebelum era penjajahan kerana ada dicatatkan dalam manuskrip seawal abad ke-17.

Tarian ronggeng patut diketahui oleh generasi hari ni, tak salah menari asalkan tak lupa diri

Tarian ronggeng adalah sebuah tarian yang kita patut jaga dan pelihara, memandangkan kewujudannya sudah begitu lama. Generasi hari ni patut mengetahui asas-asas tarian tradisional yang ada kat Malaysia, supaya ia dapat memberi semangat kecintaan kepada tanah air. Takde masalah untuk melakukan tarian tradisional atau mana-mana kaum; yang penting jangan menari sampai lupa diri.

Artikel ini diambil dan disunting daripada artikel Ronggeng hilang keaslian terbitan Berita Harian pada April 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *