Sejak kebelakangan ini, macam-macam isu yang menimpa negara kita. Secara jujur, kami pun susah nak ikuti semua isu berkaitan dengan kerajaan. Ada pelbagai benda yang menyebabkan rasa nak marah, tapi oleh kerana kita tengah berada di bulan Ramadan, terpaksalah kami bertenang. Terbaru, isu melibatkan bekas Ketua Polis Negara telah tular. Ramai yang beranggapan apa yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara pada hari terakhirnya adalah sesuatu yang berani.
Hamzah akui audio yang tular, namun mengatakan dia tak lakukan apa-apa kesalahan
Sebelum ucapan epik Tan Sri Abdul Hamid Bador, audio yang didakwa milik Datuk Seri Hamzah Zainudin tular di media sosial. Dalam audio pendek itu, kedengaran Hamzah Zainudin mengatakan mahu meletakkan ‘orang-orangnya’ di kepimpinan PDRM. Beberapa hari selepas itu, Hamzah mengakui rakaman audio merupakan suaranya. Jarang-jarang ada orang mengaku audio atau video yang tular tu adalah miliknya.
Menurut Hamzah, dia ada meminta senarai nama penganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya rasa itu adalah suara yang benar oleh saya, saya tak lakukan apa-apa kesalahan… apa salahnya? Orang yang salahnya adalah yang rekod perbualan saya, saya dah cakap banyak kali bahawa kalau kita dengar apa salahnya, saya hanya minta Ketua Polis Negara beri beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong salah ke?” – Hamzah, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Ketika ditanya apakah dia akan buat laporan polis berhubung penularan rakaman audio itu,
Hamzah kata dia takde hasrat untuk memanjangkan perkara terbabit. Baginya, orang yang bersalah adalah mereka yang bertanggungjawab ‘merakam’ perbualan yang berlaku.
Ucapan terakhir yang disampaikan oleh Abdul Hamid Bador buatkan ramai rakyat muak dengan politik
Ketika menyampaikan ucapan terakhir sebagai Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador kata jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sepatutnya diterajui oleh golongan profesional dan bukannya ahli politik. Dia kata orang politik cenderung untuk menggunakan PDRM demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.
Dia cakap terang-terang yang dia tak senang dengan tindakan campur tangan Hamzah Zainudin menyebabkan dia tak mempunyai hubungan yang baik dengannya.
“Ini yang patut dihindarkan (campur tangan), tidak boleh seseorang menteri campur urusan kawal selia PDRM. Beliau (Hamzah) hanya diberikan kuasa untuk tetapkan dasar… apakah hala tuju pasukan, adakah pasukan ini pincang ataupun pasukan ini ada masalah. Itu peranan dan tanggungjawab beliau (sebagai Pengerusi SPP), bukannya tentukan siapa CPO (Ketua Polis Negeri) siapa pengarah, peranan beliau sebagai Pengerusi SPP ada hadnya,” – Abdul Hamid, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Katanya tindakan ahli politik yang dilihat cuba menguasai SPP dan PDRM akan menyukarkan tugas Ketua Polis Negara dalam mengawal selia PDRM. Jelasnya, dia dah dua kali bangkitkan isu campur tangan Hamzah dalam urusan pasukan polis kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut menyuarakannya kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tegasnya, dia bukan ‘gila kuasa’ untuk menentukan segala-galanya, namun sebagai ketua pasukan polis dia akui lebih arif tentang hal ehwal dan urusan PDRM. Dia mencadangkan agar pada masa akan datang, SPP diterajui secara bebas, misalnya oleh bekas hakim atau ketua hakim negara. Katanya, cadangan itu pernah disuarakan oleh bekas ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
Situasi ini dapat perhatian ketua pembangkang. Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional harus menjawab segala dakwaan Tan Sri Abdul Hamid Bador tentang dakwaan campur tangan politik yang wujud di dalam PDRM. Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar turut menggesa agar siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat tuduhan yang dilakukan oleh Abdul Hamid.
“Sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, PDRM seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik. Campur tangan yang berlaku ini secara tidak langsung membuktikan pemerintah yang tiada keabsahan ini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa. Langkah ini juga telah merobek keyakinan rakyat sehingga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti PDRM saat ini,” – Anwar Ibrahim, seperti yang dilaporkan Suara Merdeka
Ketua Polis Negara yang baharu telah dilantik, kita harapkan yang terbaik untuk PDRM
Apa-apa pun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador. Mungkin ada orang yang tertanya-tanya, Ketua Polis Negara yang baharu merupakan orang yang disebut Hamzah dalam audio rakaman yang tular tu?
Acryl Sani sebelum ini menduduki jawatan nombor dua pasukan dalam PDRM. Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Timbalan Ketua Polis Daerah, Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negeri Terengganu dan Perak dan Pesuruhjaya Polis Sarawak. Acyril Sani juga pernah dilantik menjadi pengarah di beberapa jabatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu.
“Apabila semua telah bersetuju, saya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Beliau akan memulakan tugas sebagai KPN pada Selasa depan sehingga persaraan pada Oktober depan,” – Hamzah Zainuddin, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro
Kami ucapkan selamat berkhidmat kepada Ketua Polis Negara yang baharu, rakyat dan PDRM tak akan pernah berpisah. Semoga kepimpinan PDRM akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Hamid Bador dalam usaha untuk membanteras rasuah yang sedang berlaku dalam PDRM. Kehadiran pandemik juga turut memperlihatkan peranan PDRM amat penting dalam menjaga keselamatan dan memantau golongan marhaen dan kayangan untuk memastikan mereka mematuhi SOP.