Perbalahan isu saksi 1MDB, kes terkini Najib Razak

f1 min (29)

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai kerana keterangannya tak konsisten dan dipenuhi dengan percanggahan.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, saksi pendakwaan ke-10 itu sengaja mengambil tindakan untuk menyembunyikan kerugian kewangan daripada KPMG Malaysia dan memainkan peranan utama dalam memastikan perkhidmatan firma audit itu ditamatkan.

“Yang Arif, Mohd Hazem malah mengakui bahawa usaha telah diambil bagi menghalang KPMG daripada mengetahui keadaan kewangan sebenar 1MDB. Beliau mengakui bahawa pengurusan kanan termasuk dirinya telah terlibat dalam memanipulasi dokumen kewangan dan merahsiakan maklumat penting bagi menyembunyikan kerugian besar yang dialami.

“Mohd Hazem juga mengakui bahawa keputusan untuk menggantikan KPMG (dengan Deloitte) adalah strategik dan bertujuan membawa masuk juruaudit yang akan lebih mematuhi arahan pihak pengurusan dan kurang berkemungkinan mendedahkan percanggahan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas pendakwaan menutup kesnya.

Wan Azwan Aiman juga berkata keterangan saksi pendakwaan ke-47 iaitu penganalisis Bank Negara Adam Ariff Mohd Roslan tidak boleh diterima kerana beliau bukan saksi fakta atau pakar.

“Adam Ariff tidak mempunyai pengetahuan secara langsung dan tidak memainkan sebarang peranan dalam siasatan kes ini yang menjustifikasikan beliau dipanggil sebagai saksi,” katanya.

Pasukan pendakwaan memiliki pandangan berbeza tentang saksi

Saksi utama pendakwaan dalam kes perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dipercayai kerana naratif mereka yang konsisten mengenai perlakuan bekas Perdana Menteri itu berkaitan dana kekayaan negara berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Ahmad Akram Gharib berkata, saksi terbabit mengesahkan bahawa mereka telah bertindak atas kepercayaan bahawa arahan kepada mereka datang terus daripada Najib.

“Pembelaan berhujah bahawa kredibiliti kebanyakan saksi kami tak boleh dipercayai kerana mereka sama ada korup, ingin membalas dendam atau cuba menyelamatkan diri. Bolehkah kita salahkan mereka jika mereka percaya mereka bertindak atas arahan tertuduh? Mereka mungkin menerima arahan melalui orang lain seperti ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias. Mereka percaya arahan itu adalah benar-benar daripada PM ketika itu,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata, pembelaan juga berhujah bahawa saksi pendakwaan ke-9 iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah bersubahat dengan Jho Low untuk melakukan penipuan membabitkan 1MDB.

“Saya ingin mengulangi bahawa adakah Shahrol Azral akan melakukan semua perkara ini tanpa sokongan seseorang yang sangat berkuasa? Adakah beliau berani untuk melakukannya jika beliau tidak disokong oleh seseorang yang paling berkuasa, seorang heavyweight?

“Shahrol Azral malah menentang Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB dalam membuat keputusan namun beliau sedar bahawa pada akhirnya, Datuk Seri Najib akan kata tidak mengapa… tiada sesiapa yang akan disiasat, mereka bersih,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Akram berkata, meskipun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB, Jho Low mempunyai pengaruh yang ketara dalam pelaksanaan operasi 1MDB dan dilihat sebagai bayang-bayang Najib.

“Jho Low ada di mana-mana malah semasa percutian kapal layar keluarga Najib di Greece dan Perancis pada 2009, 2010 dan 2013. Inilah sebabnya BOD dan pengurusan 1MDB mendengar arahan daripada beliau.

“Jho Low bukan watak rekaan. Beliau telah dikenal pasti oleh saksi-saksi melalui gambar. Beliau adalah individu sebenar dan berada di mana-mana dalam kes ini, dari awal hingga akhir. Beliau terlibat dalam banyak perkara dan urus niaga dalam 1MDB,” katanya.

Ahmad Akram juga berhujah terdapat satu insiden di mana Najib menutup mata serta memekakkan telinga apabila saksi pendakwaan ke-43 iaitu Pengerusi Kumpulan The Edge Media Tan Sri Tong Kooi Ong membangkitkan kebimbangan beliau mengenai isu 1MDB.

Hakim tanya kepada peguam Najib tentang beza perbelanjaan peribadi dan tujuan politik

Hakim dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengajukan soalan kepada pasukan pembelaan mengenai perbezaan antara perbelanjaan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu untuk tujuan peribadi dan politik.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengemukakan soalan tersebut kepada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa beliau mengemukakan hujah pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini. Hakim Sequerah: Adakah terdapat sebarang perbezaan antara perbelanjaan untuk tujuan politik dan peribadi?

Muhammad Shafee: Kami telah membuktikan bahawa 99 peratus daripada wang dalam akaunnya tidak digunakan untuk tujuan peribadi, sebagai contoh, beliau tidak membeli pesawat peribadi atau membelanjakan semua orang dengan champagne di bar New York, atau perkara seperti itu.

“Yang Arif, saya terpaksa menggunakan istilah ini; ia bertentangan dengan patologi rasuah jika seseorang mengambil wang ini dan membelanjakannya bukan untuk kegunaan peribadi, tetapi untuk manfaat orang ramai, walaupun beliau mungkin merupakan sebahagian daripada orang ramai,” kata peguam itu sambil menambah bahawa Najib telah menggunakan RM300 juta yang berasal daripada 1MDB untuk pilihan raya umum 2013

Ketika ini, Hakim Sequerah menyoal peguam veteran tersebut sama ada terdapat undang-undang kes terdahulu yang menyokong hujahnya.

Sebagai respons, Muhammad Shafee menjawab “ia adalah inferens fakta” dan tiada kes duluan seperti kes 1MDB Najib.

Hakim kemudian meminta komen daripada pihak pendakwaan mengenai perkara ini, dan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kamal Bahrin Omar menjawab bahawa mereka hanya mengambil kira fakta bahawa wang yang didakwa, yang masuk ke dalam akaun Najib, adalah hasil daripada aktiviti haram.

Rakan TPR, Ahmad Akram Gharib, menambah bahawa tidak menjadi hal sama ada Najib menggunakan wang yang didakwa itu untuk tujuan peribadi atau politik.

“Undang-undang menyatakan bahawa ia adalah untuk kepentingannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *