Perpaduan adalah kunci kemajuan negara, hayati Rukun Negara

f1

Kemenangan diperoleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu membuktikan bahawa konfigurasi politik berteraskan perpaduan termasuk kebersamaan adalah formula terbaik untuk Selangor serta Malaysia.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat memainkan isu 3R (raja, agama dan kaum) pada kempen PRK berkenaan, telah gagal menawan hati rakyat.

“Dari awal lagi mereka mengintai peluang kemenangan dengan memainkan isu kaum dan agama. Isu sekolah vernakular, agama serta bangsa calon yang bertanding termasuk sentimen ‘Melayu hilang kuasa’ telah dimainkan pemimpin PN semasa kempen.

“Malahan, jentera PN tidak menawarkan apa-apa yang menarik buat pengundi KKB dan hanya membawa polemik isu 3R.

“Jelas bahawa politik seperti ini memberi pulangan yang semakin berkurang dan tidak mampu untuk menawan negeri seperti Selangor mahupun Malaysia.

“PN perlu bermuhasabah dan menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum, agama dan hanya politik kesederhanaan serta perpaduan boleh merangkul sokongan daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan

Tambah Syahredzan, kemenangan PH menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin diterima masyarakat.

“Syabas diucapkan kepada saudari Pang Sock Tao atas kemenangan dengan majoriti selesa dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

“Kemenangan ini menunjukkan bahawa keyakinan rakyat pada Kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari masih utuh dan memberi mesej jelas bahawa dasar kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri kian diterima rakyat,” ujarnya.

Sambutan perpaduan akan bantu keteguhan masyarakat Malaysia

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyasarkan kehadiran kira-kira 200,000 pengunjung pada Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok dari jam 10 pagi hingga 10 malam di Angsana Mall, Johor Bahru.

Perasmian majlis sambutan tersebut akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program berkenaan berupaya menjadi satu wadah perpaduan.

“Sambutan ini mampu jadi wadah perpaduan dan dan tapak integrasi yang berlandaskan pendekatan terpilih serta berkesan sehingga ke peringkat akar umbi untuk memperkukuh sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sambutan Minggu Perpaduan itu merupakan sambutan kali kedua setelah kali pertama diadakan dengan jayanya di Kuching, Sarawak pada tahun lalu.

Program berkenaan menawarkan pelbagai pengisian akitiviti menarik dan interaktif kepada pengunjung seperti pameran rumah KAMI (22 rumah etnik), perkampungan Orang Asli suku kaum Seletar, Mahmeri dan Semai, perkampungan rumah panjang suku kaum Iban, pameran jabatan serta agensi kerajaan dan swasta serta jualan Rahmah.

Turut akan berlangsung pameran dan jualan produk-produk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) progresif, larian uniti, ‘foodunites dan foodtruck’, permainan e-sports, pertukaran topi keledar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengurangan kadar kompaun saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan persembahan artis terkenal melalui Malam Irama Sama-Sama Kita.

KPN menerusi kenyataan sama menegaskan, sambutan terbabit menjadi peluang yang sangat berharga untuk rakyat bersama-sama memperkasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan Malaysia seterusnya mengukuhkan tapak integrasi nasional berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

KPN ingin mengajak orang ramai khasnya kepada rakyat di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan ini,” ujarnya.

Hayati Rukun Negara untuk kemajuan negara

Usaha pelbagai kementerian dan agensi akan digerakkan dengan lebih giat untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Inisiatif Kementerian Perpaduan kini juga tertumpu kepada pembangunan belia tempatan yang berkualiti, melalui penerapan prinsip Rukun Negara sebagai asas.

Perkara itu dizahirkan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, yang berkata usaha jitu pelbagai pihak perlu digerakkan terutamanya dalam menyediakan belia sebagai pemimpin masa depan negara.

Baginya, penghayatan Rukun Negara jika dizahirkan akan menjadi tunjang kepada masyarakat yang bertanggungjawab dalam meraikan semangat perpaduan.

“Penghayatan Rukun Negara perlu disematkan dalam kalangan muda-mudi sejak di peringkat sekolah. Ia juga perlu diterapkan di peringkat universiti,” katanya dalam AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *