Perwakilan Pas kritik Pas tak serius tangani isu kritikal

f1 min (22)

Perwakilan PAS Perlis, Mohd Saifizi Saidon hari ini menyelar kepimpinan parti yang didakwa gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri-negeri yang diterajui oleh parti itu. Katanya, ada negeri yang menteri besarnya tidak menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri yang sepatutnya menjadi panduan kepada kerajaan.

Malah, kata Mohd Saifizi, akhlak dan asas kepimpinan Islam yang sepatutnya dipegang telah terabai berbanding pada masa lalu apabila PAS begitu ketat mengawal selia kualiti kepimpinannya.

“Dalam sejarah PAS, tokoh seperti MP (Parit Buntar ) Hashim Gera (pada 1969 hingga 1974) digantung keahlian hanya kerana berjoget, menunjuk betapa pentingnya menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan. Namun pada hari ini PAS semakin jauh daripada asas tersebut. Terdapat pemimpin yang berkaraoke dipertahankan oleh ulama PAS. Lebih menyedihkan lagi, ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tidak dikenakan tindakan, bukan sekali tetapi berkali-kali,” katanya.

Dia berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden parti pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, Temerloh. Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Saifizi dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu karaoke. Perwakilan Perlis itu juga tidak melepaskan peluang enam minit yang diberikan untuk menyelar menteri besar negerinya, Mohd Shukri Ramli.

Katanya, isu salah guna kuasa yang terpalit dengan Mohd Shukri dan anaknya telah memberi kesan buruk kepada parti tetapi tiada perbincangan diadakan berhubung siasatan SPRM tersebut.

“Sehingga kini PAS perlis tidak menerima sebarang laporan atau perbincangan tentang isu ini, sama ada di badan perhubungan Perlis atau PAS Pusat. Di manakah kesungguhan kita dalam memperjuangkan nilai integriti dan amanah yangg dibawa Rasulullah SAW? Namun ini semua semakin hilang dari PAS yang dahulunya berpegang kuat dengan prinsip amanah, kini kelihatan lemah kerana keghairahan mengejar kenikmatan dunia dan ghanimah kemenangan,” katanya.

Dewan Ulama kata Sanusi baik budi pekerti

Dewan Ulama Pas menafikan kepimpinan ulama parti itu mempertahankan sikap seorang pemimpin Pas yang sering melakukan aktiviti karaoke. Menjawab kritikan perwakilan ketika perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas ke-70, Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya tidak mempertahankan pemimpin secara membuta tuli.

“Kalau kata Dewan Ulama Pas mempertahankan pemimpin berkaraoke, Kedah dipanggil ‘ashabul karaoke’. Kita dah faham nak tuju pada menteri besar Kedahlah tu, dikata saya pertahankan kawan-kawan, saya lama berkawan dengan Menteri Besar Kedah. Kita kenal hati jiwa, beliau sentiasa berusaha lebih-lebih lagi apabila diberi amanah jaga negeri, nak menyantuni rakyat sebab itu di mana saja nak gambar bersedia, ajak selfie ajak menyanyi pun menteri besar bersedia.

“Dewan Ulama perhati dan tengok, mana bukan perkara mungkar, mungkar adalah perkara yang disepakati dosa, perbuatan yang ditegah selagi tak disepakati, Dewan Ulama Pas tak adalah sampai pertahan cuma (kena) adillah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulung pada muktamar itu di Kompleks Al-Makmur, Kerdau

Presiden Pas ingatkan jangan jadi pembangkang di kerajaan sendiri, Nik Nazmi ada pandangan berbeza

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti agar tidak bertindak sebagai pembangkang dalam kerajaan sendiri. Menurut beliau, tindakan sedemikian boleh menggugat kestabilan dan perpaduan parti serta kerajaan.

“Jangan ada dalam kalangan Pas yang jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri. Tidak sedar bahawa dirinya sudah menjadi kerajaan. Lalu bertindak melawan kerajaan dan wakil rakyat sendiri, bahkan melawan Menteri Besar sendiri dan menjatuhkan kerajaan sendiri.” tegasnya. Beliau demikian ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Marang turut memberi peringatan, sekiranya terdapat kes kesalahan atau kesilapan dalam pentadbiran ia harus dilaporkan kepada pihak yang berwibawa. Katanya, laporan tersebut akan menentukan adakah perkara itu benar atau salah.

“Kadang-kadang, ia hanyalah merupakan suatu tuduhan daripada pihak musuh atau orang luar yang berbohong. Para pemimpin atasan diminta agar terlebih dahulu bertindak tabayyun apabila adanya sesuatu tuduhan,” katanya.

Sementara itu YB Nik Nazmi berkata, Pas sedang mencari jalan untuk kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya untuk segmen pengundi Melayu selepas Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.



Memahami strategi PAS pada hari ini tidaklah sukar. Mereka meratibkan elemen kaum dan agama bagi meraih sokongan pengundi.

Bandingkan PAS dengan susur galur hebatnya pada era Dr Burhanuddin al-Helmy, Asri Muda, Yusuf Rawa, Fadzil Noor, dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat – yang mampu menjalinkan semangat Islam dengan prinsip keadilan dan pragmatisme dalam konteks Malaysia. PAS pada hari ini hanya menyempitkan mesej mereka.

Sejak akhir-akhir ini, PAS seperti kehilangan arah, manakala rakan-rakan mereka di PN tidak membantu usaha ini.

Ketika PAS sedang buntu mencari idea untuk menonjol, muncul kritikan “Pemimpin PAS bukan malaikat” daripada perwakilan Perlis ketika Muktamar Tahunan PAS ke-70. Kritikan tentang kualiti ketua-ketua negeri di bawah adalah berasas dan gagal dikawal dengan baik oleh PAS.

Sebut sahaja nama ‘Sanusi,’ sudah tentu kita akan menggambarkan seorang pemimpin yang hanya tahu menghina pihak lawan dan gagal mentadbir Kedah. PAS, yang merupakan sebuah parti dengan alahan terhadap kritikan, sudah tentu cemas mendengar ada di antara perwakilan mereka yang ‘derhaka’ kepada pimpinan.

Kritikan ini cuba dijawab oleh Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari, yang mengeluarkan kenyataan bahawa Pas adalah parti demokratik dan terbuka dalam menerima sebarang kritikan. Seandainya benar PAS bersifat terbuka dalam hal ini, mengapa ada larangan dalam kalangan ahli parti sendiri yang berbunyi, “jangan jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri”?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *