Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Wisma Sri Pahang. Pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan setelah mendapat majoriti mudah dan diumumkan pada persidangan berkenaan.
Lima ADUN lantikan tersebut terdiri daripada Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.
Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kelima-lima ADUN lantikan yang dilantik dijangka akan mengangkat sumpah pada Sidang DUN akan datang yang dijadualkan Ogos depan.
Menurutnya, ADUN yang dilantik tanpa pilihan raya itu berfungsi sama seperti ADUN biasa termasuk boleh mengambil bahagian dalam perbahasan dan berhak mengundi.
“Ia kerana usul pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melantik ADUN secara lantikan ini diluluskan dengan sokongan majoriti pada Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada November 2020 lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi Sidang DUN di Wisma Sri Pahang
“ADUN lantikan ini tiada kawasan sebaliknya macam senator untuk membantu kerajaan negeri sehingga tamat penggal ini,” katanya.
Terdahulu, Wan Rosdy dalam usulnya menjelaskan, pemilihan ADUN yang dilantik berdasarkan latar belakang pengalaman, kerjaya dan sumbangan kepada masyarakat.
“Pelantikan itu juga berdasarkan kepada pertimbangan antaranya untuk meluaskan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat terutama dalam situasi politik dan sosio ekonomi yang kian mencabar. Lantikan dibuat dalam kalangan mereka yang berkarliber, profesional dan berkemahiran tertentu untuk berganding bahu bersama ADUN sedia. Kerajaan melihat pelantikan tambahan melibatkan ADUN lantikan ini mampu mengurangkan kadar atau ‘ratio’ secara keseluruhan seorang ADUN kepada jumlah penduduk yang diwakili,” katanya.
Pembangkang fikir lantikan lima Adun cuma belandaskan politik
Pembangkang di Pahang mendakwa lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) baru-baru ini berlandaskan politik semata-mata.
ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, kewujudan mereka sebenarnya tidak berfungsi, selain tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, malah mereka yang dilantik juga tidak dapat memberikan perkhidmatan kerana tidak mempunyai kawasan rasmi sebagaimana ADUN dipilih rakyat.
“Lantikan tersebut berdasarkan lantikan politik semata-mata, jadi (saya berpandangan) tiada keperluan sebenarnya melantik mereka ini.
“Saya juga tidak nampak mereka ini memberi manfaat kepada rakyat dan tidak berfungsi. Ini kerana mereka tiada kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai lima ADUN Lantikan pada 13 Mei lalu di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini, pada Selasa.
Pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan setelah mendapat majoriti mudah dan diumumkan pada persidangan berkenaan.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Jasri yang menandatangani surat arahan bertulis itu dikeluarkan kepada semua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Pahang. Jasri yang Ketua Bersatu Bahagian Maran menjelaskan lantikan berkenaan juga disifatkan membazirkan wang kerajaan Pahang sedangkan perbelanjaan itu boleh disalurkan kepada medium yang lebih strategik.
”Setiap perbelanjaan bagi ADUN Lantikan tersebut menelan kos hampir berbelas ribu, setahun RM1 juta, kalau hendak hendak tunggu tiga tahun akan datang bazir hampir RM3 juta.
”Jadi, kalau hendak dibandingkan jumlah tersebut (lebih baik) diberikan kepada ADUN (menang) kawasan masing-masing untuk melaksanakan projek kecil, saya rasa itu lebih bermanfaat kepada rakyat,” jelas Jasri.
Sementara itu, Mohd Yazid pula berpendapat kerajaan Pahang gagal mengotakan janji bahawa lantikan tersebut mewakili kelompok tertentu seperti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) selain golongan profesional tanpa membabitkan fahaman politik. Ujarnya, lebih mengecewakan apabila Kerajaan Pahang mengatakan bahawa ADUN lantikan itu bukan daripada politik, namun ia berlaku sebaliknya.
“Empat daripada lima yang dilantik memang ‘clear’ (berlatar belakang politik). Pihak kami rasa lucu sebab kerana apa yang mereka jelaskan tidak seperti dizahirkan. Kami bersetuju jika lantikan itu dari golongan profesionalisme,” katanya.
MB kata tak ada pun pertindihan berkenaan Adun-Adun yang dilantik
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pertindihan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) sekadar persepsi pihak pembangkang.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana lima ADUN lantikan tidak menerima sebarang pembahagian tugas dan belum menjalani istiadat mengangkat sumpah.
”Kita masih belum buat agihan tugas, (bagi kita) ini semua persepsi semua (pembangkang) dan sentimen (yang dimainkan) untuk mengelirukan rakyat.
”Mereka ini tidak habis-habis membuat dakwaan sebegini. Sedangkan ADUN lantikan ini belum mengangkat sumpah,” katanya yang menjawab dakwaan pembangkang mengenai pertindihan jawatan antara ADUN lantikan dan Penyelaras DUN yang digalas oleh individu sama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran BPP Kluster Siswa 2024 diDewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah, Gambang pada Selasa.
Wan Rosdy menjelaskan fokus utama kerajaan Pahang memastikan aspek kebajikan terjaga kepada semua lapisan masyarakat.
Justeru, rakyat mendapat manfaat apabila individu yang dilantik memegang dua jawatan dalam kerajaan.
“Untungnya kepada rakyat di sesuatu kawasan kerana sudah pastinya kebajikan mereka lebih terpelihara, namun perkara tersebut (sebenarnya) hanya persepsi.
“Tapi, secara peribadi bagi saya kalau berlapis (bertindih) pun lagi bagus, kalau ada ADUN lantikan berlapis dengan penyelaras DUN, maknanya kawasan itu mendapat tumpuan lebih,” katanya.