Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat. Majlis dianggotai 16 orang individu yang dilantik sebagai ahli majlis, dipengerusikan sendiri oleh Tun M. Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa MTE ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang dihadapi mereka, khususnya dalam bidang ekonomi.
Siapa yang akan jadi ahli Majlis Tindakan Ekonomi ni? Mereka boleh pakai ke?
Pertma sekali mereka nak rancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengagihan kekayaan yang saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat. Selain tu, majlis ini juga akan meneliti isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah. Dalam bahasa mudah, MTE akan menjadi badan yang akan meneliti dan membuat keputusan mengenai ekonomi negara.
Ahli majlis terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.
Selain itu, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek.
Ahli lain ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr Hasnita Hashim; Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen; Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj; peguam, Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Nizam Mahshar.
Bukan kita dah ada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi? Buat apa lagi nak buat MTEN…
Bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, Kabinet telahpun mempunyai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHEE). Jadi, apa itu KHEE?
Secara amnya, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi merupakan bidang baru yang diasingkan di kabinet, diberi mandat dan tanggungjawab khusus terhadap pengendalian isu ekonomi Malaysia. Walaubagaimanapun, skop tugas kementerian ini dilaporkan sedikit berbeza daripada Kementerian Kewangan yang dianggap berkongsi objektif yang sama. Reformasi terhadap ekonomi negara juga merupakan tanggungjawab utama kementerian ini bersama-sama Kementerian Kewangan yang memegang mandat untuk memperkukuh daya saing dan ketahanan ekonomi negara.
Ramai yang keliru tentang peranan Kementerian Kewangan (Menteri – YB Lim Guan Eng) dan KHEE (Menteri – YB Dato’ Seri Azmin Ali). Jika mengikut portfolio, pertindihan tugas sepatutnya tak berlaku.
Meskipun jelas dari segi portfolio, namun terdapat beberapa perkara kontroversi menyelubungi kedua-dua kementerian ini. Sebelum ini, kita dikejutkan dengan pemotongan subsidi bagi sektor pertanian menerusi Belanjawan 2019.
Dengan harga hasil kelapa sawit yang merudum, keadaan itu membuatkan golongan peneroka FELDA semakin bergelut untuk menyara kehidupan harian keluarga masing-masing. Pemotongan subsidi baja pertanian seperti dinyatakan dilihat akan memberi tekanan dan bebanan tinggi kepada golongan sasar. Tidak lama kemudian, YB Lim menyatakan bahawa tumpuan diberikan bagi pemberian subsidi dan insentif khas bagi pengeluaran, dan kerajaan akan membantu pesawah dan pekebun kecil getah menambahkan pengeluaran masing-masing dengan memberikan beberapa insentif khas.
Selain tu, rakyat juga menjadi keliru apabila YB Lim menyuarakan rasa terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Azmin berhubung pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC). Tun M kemudiannya mempertahankan dua menterinya yang dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah berhubung keputusan pembatalan projek ECRL. Beliau menjelaskan bahawa Malaysia dan China memerlukan masa untuk menyelesaikan isu tersebut.
Ada yang kata MTEN wujud sebab Azmin Ali tak mainkan peranan dengan berkesan
Penasihat media kepada Perdana Menteri kata tindakan wujudkan MTEN ni sebab Menteri Kabinet kerajaan yang gagal untuk mengatasi bermacam-macam masalah setelah lapan bulan memerintah. A.Kadir Jasin siap cakap menteri-menteri sekarang ni dah terpisah dengan realiti rakyat yang sebenar dan menggesa mereka untuk kembali melaksanankan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.
Tapi, ada jugak orang kata penubuhan MTEN ni adalah berpunca daripada kegagalan beberapa kementerian yang terlibat menangani masalah ekonomi, khususnya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Setelah lapan bulan menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, masih takda perangkaan khusus yang dikeluarkan oleh KHEE bagi meringankan beban kos sara hidup. Kementerian tu turut gagal dalam mengurangkan keresahan rakyat dalam isu peningkatan harga barang.
Rakyat masih lagi dibelenggu oleh masalah yang sama walaupun kerajaan sudah bertukar tangan. Setiap hari, rakyat menuntut janji Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan kos sara hidup yang telah melambung ketika zaman pemerintahan Umno-Barisan Nasional (Umno-BN).
Kegagalan Azmin meredakan kemarahan rakyat dalam bulan-bulan yang lepas menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil keputusan untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi. Walaupun negara tidak berada dalam krisis kewangan yang runcing seperti pada tahun 1998 sewaktu ia pertama kali ditubuhkan, penubuhan kali ini dilihat lebih kepada untuk menangani ketidaksenangan rakyat terhadap kerajaan PH.
Azmin pulak perlu kembali fokus menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri kabinet dan berhenti berpolitik dalam soal Perdana Menteri yang seterusnya.
Cabaran MTEN pada tahun 2019, berbeza dengan tahun 1998
Pada Januari 1998, kewujudan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memerlukan anggotanya memerah otak untuk memulihkan keyakinan pelabur terhadap matawang dan pasaran saham negara, bagi mengekalkan daya saing dalam pasaran global.
Kali ni, Isu FELDA, ECRL dan kelembapan ekonomi akan terus menjadi bualan ramai – dari debat di kaca televisyen sehinggalah ke warung kopi di ceruk kampung. Banyak bil yang perlu dibayar, tatkala harga susu tepung bayi dan lampin pakai buang semakin meninggi. Yang keliru satu hal, yang menabur baja fitnah di balik segala kemelut juga sangat ramai. Penerangan perlu dipergiat, kerja mesti lebih kuat. Rakyat akan terus memerhati dan mengawasi, bersama persepsi yang menular. Masa akan menentukan.