PRK Kuala Kubu Bharu, undi PH meningkat

f1

Sebelum pembuangan undi di PRK Kualu Kubu Bharu, Kerajaan Perpaduan yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dalam pilihan raya kecil (PRK) itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bersandarkan sokongan dan penerimaan baik yang diberikan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao sepanjang tempoh kempen.

“Kempen kita jalankan Alhamdulillah lebih baik daripada peratusan yang saya lihat dari semasa ke semasa. Saya yakin kita boleh kekalkan Kuala Kubu dalam pilihan raya kali ini. Cuma kita berharap agar pengundi dapat terus mengundi terutama pada waktu pagi hari kerana dijangka sebelah petang akan berlaku cuaca yang kurang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ketika ditemui pemberita selepas program Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu. Turut hadir, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memuji kesepakatan tinggi semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam menjayakan kempen. Kesepakatan dan kerjasama yang diberikan oleh pimpinan peringkat Pusat dan negeri menjadi inti pati penting kempen yang dijalankan PH berlangsung dengan baik.

“Kalau dari segi jumlah kempen (yang telah kita jalankan) saya buat perbandingan (dan) juga lihat jumlah yang kita turun ke bawah (bertemu akar umbi) sebenarnya jauh lebih besar (berbanding pembangkang). Ini terhasil kerana ada kesepakatan daripada kepimpinan Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri,” katanya.

Ada dakwaan calon Perikatan Nasional berhutang besar

Sebelum itu timbul dakwaan hutang melibatkan perkhidmatan kredit komuniti terhadap calon Perikatan Nasional. Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu mengambil langkah selamat apabila mengelak daripada mengulas isu tersebut ketika ditanya pemberita selepas Ceramah Perdana PN di Batang Kali, malam Rabu.

Beliau memberi alasan perlu ke lokasi lain walaupun had waktu berkempen dalam setiap pilihan raya setakat jam 12 tengah malam.

“No comment (tiada komen), terima kasih. Saya perlu ke lokasi lain,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu.

Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan kredibiliti calon PN kelahiran Felda Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Sejak hari penamaan calon PRK pada 27 April lalu, Khairul Azhari berdepan kontroversi apabila pelbagai pihak mempersoalkan kelayakan ijazah sarjana tanpa memiliki ijazah sarjana muda. Rentetan itu beliau menerusi hantaran di Facebook memuat naik sijil dan transkrip Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Tindakan tersebut sekali gus menamatkan pertikaian banyak pihak selain memaklumkan enggan mengulas lanjut kerana mahu memberi tumpuan kepada kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Keputusan PRK menyaksikan calon hilang deposit

Dua calon yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Hafizah Zainuddin yang mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas, Nyau Ke Xin hilang wang deposit. Kedua-duanya gagal memperoleh wang itu selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira dalam pilihan raya tersebut.

Pegawai SPR, Yuhanas Auree Kamaruddin mengisytiharkan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Pang Sock Tao sebagai wakil rakyat baharu selepas memperoleh 14,000 undi untuk meraih 3,869 undi majoriti.

Calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Khairul Azhari Saut ketinggalan kira-kira 4,000 undi apabila memperoleh 10,131 undi, diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin dengan 188 undi dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang sekadar meraih 152 undi).

“Jumlah undi yang ditolak adalah sebanyak 263. Peratusan pengundian berbanding jumlah pemilih, titik perpuluhan yang paling dekat ialah 61.51 peratus,” umum Yuhanas.

Berdasarkan rekod SPR, DUN Kuala Kubu Bharu mengandungi 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri Melayu, Cina sekitar 30 peratus, kira-kira 6,000 atau 18 peratus adalah pengundi India, manakala bakinya masyarakat Orang Asli. PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Daripada 39,362 pengundi biasa, mereka yang keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini dilaporkan seramai 24,145 orang.

Undi semua kaum meningkat untuk Pakatan Harapan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan bahawa undian semua kaum terhadap Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Timbalan Pengarah Strategi parti itu, Sim Tze Tzin berkata, undi Melayu naik kepada 42.7 peratus berbanding sebelumnya iaitu 39 peratus.

“Undi Cina kali ini 88.4 peratus (85.3 peratus pada 2023). Begitu juga dengan undi India meningkat sebanyak 10.2 peratus di mana jika sebelum ini 60 peratus tetapi kali ini 70.2 peratus. Bagi undi campuran (Orang Asli) naik kepada 63.1 peratus berbanding 60.1 peratus pada PRN 2023,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *