PRK Mahkota, PKR kata kaedah politik PN ditolak rakyat

f1 min (23)

Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ialah 53.84 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jumlah itu adalah rendah berbanding sasaran lebih 60 peratus yang dimaklumkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, sebelum ini.

Selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dan Nenggiri, parti itu sekali lagi berjaya mengungguli PRK Mahkota. Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah menang dengan majoriti sebanyak 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Mahkota, Azurawati Wahid di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pada Sabtu.

Secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu memperoleh undian sebanyak 27,995 undi sementara Mohamad Haizan, 7,347. Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 53.84 peratus sementara undi ditolak berjumlah 339 undi.

PRK Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH (Pakatan Harapan) PN dan Warisan.

Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota dengan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung pada Selasa, melibatkan 4,437 pengundi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengeluarkan kertas 607 undi pos pada 15 Sept dan melantik 1,126 petugas bagi mengendalikan proses PRK itu.

Fuziah kata rakyat tolak taktik Perikatan Nasional

Majoriti besar diperoleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menunjukkan kelangsungan reformasi minda pengundi Melayu yang menolak kempen negatif oleh Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh berkata, keputusan ini turut memperlihat bahawa rakyat mahukan kestabilan dan keharmonian negara, bukannya tindakan yang boleh mengundang perpecahan.

“Tahniah kepada saudara Syed Hussein atas kemenangan dengan majoriti sebanyak 20,648 undi, sekali gus membayangkan sokongan pengundi di Mahkota kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan. Tahniah juga kepada YAB Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz.

“Semangat kerjasama dan kebersamaan di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang ditonjolkan oleh jentera parti yang giat berkempen, adalah hasil daripada keutuhan pimpinan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, PKR sentiasa mendengar suara rakyat yang telah disampaikan kepada barisan pimpinan oleh akar umbi semasa berkempen berlangsung. Ujarnya, parti juga akan terus komited dalam usaha reformasi negara demi kesejahteraan rakyat.

PN terima kekalahan, risau tentang jumlah keluar mengundi

Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan hati terbuka.

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota bagi PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan itu tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus berusaha pada pilihan raya akan datang.

“Sejak dari awal lagi kita sudah menyatakan Mahkota, Kluang merupakan kawasan Pakatan Harapan (PH)-BN namun kita tetap berusaha sedaya upaya menyantuni seramai mungkin pengundi. Calon kita juga, Coach Haizan diterima baik oleh pengundi. Berbanding UMNO, mereka telah gunakan segenap jentera kerajaan negeri mahupun persekutuan untuk meraih sokongan dalam PRK kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN di Jalan Dahlia Kampung Melayu di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal. Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, sokongan kepada PN tidak berubah di Mahkota jika dibandingkan dengan keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

“Kita juga ingin berkongsi sokongan kepada PN cukup baik dan nampaknya sokongan juga tidak berubah atau menurun berbanding pada PRN lalu. Pada PRN lalu peratusan keluar mengundi sebanyak 58 peratus dan kita meraih 7,614 undi. Pada hari ini peratusan kuar undi terus menurun kepada 54 peratus namun sokongan kepada PN tetap berada sekitar 7,332 undi menurut angka yang tidak rasmi sebentar tadi,” ujarnya.

Mohamed Azmin turut menggesa pihak bertanggungjawab agar mengenal pasti faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah di PRK DUN Mahkota.

“Peratusan keluar undi pada hari ini, adalah paling rendah iaitu hanya 54 peratus sahaja.

“Maka peratusan undi yang rendah ini menuntut semua pihak untuk melihat secara serius dan ambil langkah untuk pastikan penyertaan rakyat Malaysia dalam pilihan raya dapat ditingkatkan selepas ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *