Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar enggan melayan polemik berhubung isu debat antara beliau dan penyandang jawatan tersebut, Rafizi Ramli, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha menyantuni perwakilan parti. Nurul Izzah menjelaskan bahawa keutamaan beliau kini adalah menjalin hubungan erat dengan pelbagai peringkat dalam parti, khususnya golongan wanita dan anak muda.
“Saya dah jawab tadi (semasa ucapan Program Temu Rapat Akar Umbi), kita nak kurangkan ketegangan kerana pada kami, keutamaan adalah untuk menyantuni perwakilan,” katanya.
Menurut beliau, program yang melibatkan wanita dan anak muda merupakan sebahagian daripada agenda utama beliau dalam memastikan suara akar umbi terus diberi perhatian.
“Macam saya ada program bersama wanita, ‘Wanita Mendunia’, dan juga program dengan anak muda. Tak mahulah kita tertumpu (kepada debat),” jelasnya.

Tambah Nurul Izzah, tumpuan seharusnya diberikan kepada penglibatan menyeluruh bersama bahagian-bahagian dalam parti, bukannya perkara yang boleh menimbulkan perpecahan.
“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi tentang penglibatan dengan semua bahagian kita,” ujar beliau.
Nurul Izzah turut meluahkan kebimbangan terhadap dapatan semasa daripada badan penyelidik seperti Merdeka Center dan Ilham Center menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Ujar beliau, dapatan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperluaskan capaian parti kepada segmen pengundi luar bandar dan anak muda atas pagar.
“Kita mahu memaksimumkan lagi capaian sentuhan kita, bukan sahaja kepada pengundi tegar tetapi juga kepada pemuda atas pagar,” jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa telah menganjurkan sidang meja bulat melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani cabaran semasa seperti isu hutang isi rumah dan ketidakstabilan pekerjaan.
“Saya bersyukur kerana Majlis Keselamatan Negara telah menjemput pihak PDRM sendiri berkongsi antara masalah hutang dan usaha mengekalkan kestabilan ekonomi. Fokus saya ialah memastikan anak-anak muda, majoritinya Melayu, dapat pekerjaan yang bermakna supaya mereka menikmati sosiomobiliti,” jelasnya.
Menurut Nurul Izzah, meskipun ramai anak muda bekerja, namun pekerjaan yang ditawarkan tidak setimpal dengan kebolehan dan kelayakan mereka.
Rafizi pula berpandangan Izzah tak sepatutnya berkawan dengan politik wang
Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya bersekongkol dengan golongan yang mengamalkan politik wang dalam parti semata-mata mahu memenangi jawatan. Calon merangkap penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, Nurul Izzah tidak sewajarnya bertindak sedemikian jika betul-betul bimbang tentang amalan yang hanya berkisarkan wang dan keghairahan mendapatkan jawatan dalam PKR.

Menurut menteri ekonomi itu, tindakannya membuat kritikan secara terbuka kerana amalan sebegitu bertentangan dengan prinsip perjuangan parti selama ini. Jelasnya lagi, dalam pertemuan terakhir bersama Nurul Izzah pada 20 Mei lepas, Puteri Reformasi itu sekali lagi merayu untuk meminta bantuan selepas pemilihan parti.
“Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan, saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan. Alasan diberikan adalah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baharu yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada Presiden dan parti. Beliau secara jelas berkongsi kebimbangan mengenai niat, rekod, amalan politik mereka dan kesannya kepada PKR,” katanya
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pandan itu mengakui kurang selesa dengan beberapa kumpulan dalam parti yang baginya tidak membawa, memperjuangkan mahupun menggambarkan reformasi politik.
Tambahnya, kumpulan berkenaan juga bekerjasama menolak untuk calon-calon yang tidak mengamalkan perkara sama, termasuk ‘orang lama’.
“Atas alasan konsisten menolak mereka, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon yang tak amal perkara sama. Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka. Akhirnya, setelah kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baharu PKR, saya juga dirayu untuk melawan mereka. Jika Nurul Izzah bimbang, beliau sepatutnya tidak bersekongkol demi memenangi jawatan Timbalan Presiden,” ujar Rafizi lagi.
Impak Rafizi tidak boleh diabaikan, kerana dia semak imbang PKR
Pemilihan PKR telah pun berakhir dengan menyaksikan Nurul Izzah Anwar merampas jawatan timbalan presiden daripada Rafizi Ramli dalam kemenangan yang pasti, biarpun ia sudah dijangka. Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu timbul persoalan lebih kompleks: di manakah kedudukan PKR selepas ini dan apa akan berlaku terhadap tarikan reformisnya.
Walaupun penyokong menganggapnya sebagai era baru kestabilan dan kesinambungan, pengkritik dan pemerhati sama-sama tidak dapat mengabaikan persepsi nepotisme yang semakin meningkat. Malah, kebimbangan sebenar terhadap PKR mungkin bukan ‘optik’ tetapi potensi kehilangan kuasa politik dengan keluarnya Rafizi daripada kepimpinan.

Rafizi mungkin kalah dalam pemilihan, tetapi impaknya kepada parti tidak dapat dinafikan. Kemunculannya kembali pada 2022 memberi nafas baharu kepada PKR yang bergelut berikutan prestasi buruk dalam PRN Melaka dan Johor. Di bawah pengawasannya dan sebahagian besarnya melalui kempen dan tumpuan dasar yang agresif, parti itu mula mendapat semula daya tarikan, terutamanya di kalangan pengundi bandar, kelas pertengahan, dan bukan Melayu. Lebih daripada sekadar ahli strategi, Rafizi menjelmakan suara ‘semak dan imbang’ dalam PKR.
Beliau selalunya menjadi orang pertama yang menegur kesilapan, walaupun melawan arus. Sikap terus terang itu, walaupun tidak selalunya popular dalam parti, memberinya kredibiliti. Tanpa beliau, PKR berisiko kehilangan suara kritis dan mungkin lebih penting, segmen pengundi yang cenderung kepada jenama ketelusannya.
Reputasi Nurul Izzah sebagai ‘puteri reformis’ PKR sudah lama bertapak. Legasinya bermula sejak penubuhan parti dan perjuangan awalnya sendiri menentang institusi politik. Tetapi zaman telah berubah dan begitu juga harapan pengundi. Kemenangannya mungkin mengukuhkan perpaduan parti dalam tempoh jangka pendek, terutamanya di kalangan penyokong setia dan bahagian akar umbi yang menyokongnya.