Selain dari SERAI, orang Malaysia ada cadangkan straw dari tumbuhan lain

F1
Selain dari SERAI, orang Malaysia ada cadangkan straw dari tumbuhan lain

Lepas larangan straw plastik dikuatkuasakan hampir di seluruh negara, ramai mulai cari alternatif lain untuk gantikan straw jenis plastik dengan pelbagai jenis bahan. Ada yang lebih gemarkan guna straw besi dan kayu yang boleh dibawa ke mana-mana dan dijual dengan harga mampu milik. Tapi sejak kes maut kerana tercucuk dengan straw besi di London tahun lalu, ada jugak yang tak nak pakai straw besi lagi.

Tercucuk straw besi? Takpelah…Via Giphy

1. Idea straw serai bukan benda baru, budak sekolah rendah dulu dah buktikan

Ramai orang ketawakan bab idea straw serai, apatah lagi lepas hangat diperkatakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Kemudu (Kada) iaitu Senator Husam Musa. Siap ada cadangan nak diperkenalkan kat kafe hospital sebagai salah satu cara sokong idea inovasi lestari dan dapat kurangkan penggunaan plastik di hospital. Ada juga yang dah cuba sendiri keberkesanan straw serai ni…

Tapi tahukah korang bahawa idea straw yang diperbuat dari serai sebenarnya ‘datang’ dari tiga orang murid SK Bandar Behrang ketika bertanding dalam Festival Ciptaan Antarabangsa dan Inovasi Teknologi Hijau 2019 kat Universiti Malaysia Pahang (UMP). Lebih dari 300 pasukan dari negara lain seperti Kazakhstan, India dan Jerman ikut, namun rekaan BioSegar EcoStraw (nama projek straw serai) berjaya perolehi Anugerah Perak dalam festival tersebut.

Artikel Straw Serai Budak Sekolah Rendah 2019 Bandar Behrang
Keratan akhbar kisah straw serai yang diterbitkan 23 April 2019. Via Berita Harian

Guru Sains yang membimbing kumpulan cilik ni, Dr S. Shantarasekaran kata straw serai ni membuktikan bahawa kita boleh je gantikan straw plastik dengan alternatif mesra alam yang lain. Kalau korang suka aroma serai, ni satu nilai tambah jugak kan? Nak halau cicak ke, lipas ke, pun boleh pakai serai.

2. Pokok kercut belakang rumah orang Asia boleh jadi pengganti cepat terurai

Salah satu ciri yang amat sesuai untuk jadi alternatif lain straw plastik adalah sumber mesti mudah didapati, cepat tumbuh dan cepat terurai. Masalah utama plastik ni adalah ia ambik masa yang amat lama nak terurai, walaupun dengan cara pembakaran. Kes kat Indonesia menunjukkan kesan pencemaran plastik yang teruk hingga telur pun jadi racun buat para penduduk setempat.

Straw Rumput Kercut
Straw dari pokok kercut. Orang Vietnam pun guna bahan yang sama. Via Steemit

Inovasi straw pokok kercut (Lepironia articulata) ni datangnya dari sekumpulan siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP). Kajian tersebut dah mula lama, sebenarnya dari tahun 2012, dan hasilnya dah kita boleh nikmati sebagai produk tempatan baru. Dulu, pokok kercut atau pokok purun yang kerap tumbuh di kawasan berpaya ni lebih banyak digunakan untuk kraf tangan dan tikar serta ubat-ubatan tradisional, kali ni mereka gunakan untuk buat straw pula. Kata Penasihat Utama Projek Straw Mesra Alam:

“Setiap straw pokok kercut sesuai digunakan sekali saja. Lebih menarik lagi, ia hanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk terurai secara semula jadi seperti yang berlaku pada tumbuhan rumpai… Penghasilan straw pokok kercut yang mempunyai empat saiz membabitkan lapan proses,” – Dr Suryati Sulaiman, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 17 Januari 2020

3. Boleh dimakan lepas guna, straw tempatan diperbuat dari beras dan ubi

Siapa kata rakyat kita ni takde yang berminat berfikir jauh? Sesungguhnya ni adalah pernyataan yang salah belaka, sebab kami pun dah tulis banyak pasal kisah anak tempatan yang menempa nama dalam pelbagai peringkat dan dah jadi inspirasi anak muda yang lain. Sebuah syarikat Malaysia, Mistraw Manufacturing Sdn Bhd dah cipta straw yang boleh dimakan lepas guna.

Mistraw Malaysia
Dah ada beberapa pilihan warna lagi. Via Edible Ecoware

Baru ditubuhkan pada tahun lalu, pasaran straw boleh dimakan ni memang besar kerana sumber bahannya pun adalah makanan lazim bagi orang Malaysia. Straw tu diperbuat dari campuran beras dan ubi dengan bantuan teknologi dari Korea serta dibelakangi oleh kepakaran tempatan. Menurut Science Times, straw tersebut boleh tahan sehingga 100 hari, dan tahan dalam minuman sejuk selama 4 hingga 6 jam dan sehingga 3 jam dalam minuman panas.

Oleh sebab syarikat ni dah ada kilang sendiri dan tak segan nak guna kepakaran sedia ada, kami rasa potensi straw mesra alam memang besar. Datang dengan 3 saiz berbeza, sudah pasti ni pun menguntungkan kedai-kedai minuman khususnya yang jual teh boba tu. Salah satu kelebihan yang patut kami senaraikan kat sini adalah jenis straw beras ni takkan ubah rasa aroma dan minuman korang tu macam straw serai tadi.

Straw Beras Boba Malaysia
Habis minum , makanlah straw tu…Via KL Foodie

Namun begitu, kami kena maklumkan jugak kat korang bahawa syarikat mereka dikatakan telah ditutup walhal baru je kena buka tahun lalu. Patutlah tak ramai yang kenal Mistraw dan straw ni. Setakat ni kami tak punyai maklumat mengenai sebab penutupan mereka.

Mistraw Tutup
Didapati dari laman web mereka masa kami tulis artikel ni. Via Mi-straw.com

Idea mereka walau bagaimanapun, harus kami himpunkan kat sini sebab kalau takpun syarikat ni dibuka semula, cetusan idea dan produk mereka amat baik. Mungkin boleh jadi bisnes korang lepas ni, kan? Kami ada tulis sikit beberapa tips macam mana nak jaga perniagaan korang dari jatuh rugi.

4. Satu lagi straw boleh dimakan, kali ni guna beras Bario Sarawak

Idea straw beras turut dikembangkan lagi oleh seorang wanita dari Sarawak dengan menggunakan beras Bario. Untuk pengetahuan korang, beras Bario ni selalunya ditanam kat Bario, Sarawak namun masih boleh didapati di beberapa kawasan pedalaman Sarawak. Selain dari menjadi produk makanan berkualiti tinggi dan unik berbanding beras lain, ia turut boleh dijadikan alternatif ke arah straw mesra alam yang boleh dimakan.

Imelda Bragie
Pemenang Shell LiveWire 2019 dari Malaysia, Imelda namanya…Via Kupi Kupi FM

Inovasi ni dah dipertandingkan di pentas antarabangsa Shell LiveWire, Imelda Bragie berjaya menang anugerah Outstanding Achievement Award tahun lalu. Ganjaran $10,000 diterima oleh Imelda, dan akan digunakan untuk membangunkan produk straw beras Bario dari Sarawak. Dia juga adalah satu-satunya wakil Malaysia yang tersenarai dalam Top Ten Innovators 2019, sebaris dengan beberapa pencipta dari negara lain seperti Brunei, Pakistan, Arab Saudi, Indonesia dan Perancis.

Straw Bario
Straw beras Bario yang dikeluarkan oleh syarikat Benak Raya Co., -Via Facebook

Lebih menarik lagi, syarikat pengeluar straw beras Bario Berau ni turut memberi peluang perniagaan dan penghasilan produk berasaskan beras kepada Bumiputera yang berminat. Beras yang mereka jual jugak adalah beras organik Sarawak yang sihat dan ditanam dengan menggunakan kaedah tradisional. Baginya, beras Berau dan kaedah penanaman tradisional yang diamalkannya adalah lambang adat dan kebudayaan Sarawak.

Korang boleh dapatkan straw ni, beserta produk lain dengan menghubungi Imelda sendiri kat Facebook rasmi syarikat Benak Raya Enterprise. Dengan bantu produk tempatan, korang bukan je tolong suburkan industri produk tempatan, malah korang pun turut bantu para petani dan usahawan lain untuk memperkembangkan ekonomi negara.

5. Batang daun betik jadi pengubat sakit tekak, dahaga…

Mungkin dah lama nenek moyang kita amalkan batang daun betik ni sebagai salah satu pengubat kepada sakit tekak, seperti yang pernah dikongsi oleh salah seorang warganet lepas Maya Karin pakai batang betik sebagai straw minuman.

Dah banyak kali kita nampak artis cantik Maya Karin ni bersuara pasal alam sekitar, dan kali ni, perkongsiannya menarik perhatian kami kerana menunjukkan bahawa negara kita ni cukup mewah dengan sumber alternatif menuju dunia tanpa plastik. Gempak.com memuatkan tangkap layar reaksi dari beberapa pengikut Maya Karin:

Papaya Tangkap Layar Gempak
Turut jadi pengubat sakit tekak. Sakit rindu tu taktaulah…Via Gempak.com

Menarik jugak bila kami cuba cari apa lagi kegunaan kesihatan bagi daun betik ni, tiba-tiba kami terjumpa pulak perkongsian bahawa batang daun betik ni pada suatu masa dahulu pernah jadi salah satu ‘peralatan’ nak hisap dadah. Jadi korang tengok-tengoklah jugak saudara mara dan kawan-kawan, jiran tetangga yang nak buat ‘straw batang daun betik’ tu.

Straw serai idea yang baik, tapi banyak lagi bahan yang lebih baik

Kami dah himpunkan lima straw yang mesra alam dan lestari selain dari serai. Kalau taknak kira serai pun, syarikat Nestle Malaysia pun tengah aktif menghasilkan straw kertas bagi setiap pek Milo UHT sejak tahun lalu. Walaupun kami tak tolak idea serai ni sebagai salah satu alternatif straw plastik dan kurang bahaya macam straw besi, tapi sebaiknya kita gunakanlah sumber tempatan kita sebab ebih jimat, murah dan mudah didapati. Mungkin pembuat dasar kena baca dan terokai banyak benda lagi lepas ni, sebab orang kita dah banyak buat alternatif straw ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top