Teringin nak buka perniagaan sendiri? Amalkan 5 tips ni, insya-Allah berjaya!

F1

Sekarang ni, semua orang dah boleh mulakan perniagaan dan tambah pendapatan secara dalam talian. Asal ada Internet dan ada akaun media sosial, korang dah boleh mula menjual kat beberapa platform popular kat Malaysia seperti Lazada, Shopee dan macam-macam lagi. Tambah lagi , Malaysia pun tersenarai sebagai antara negara yang boleh menjual kat Amazon, satu lagi platform popular antarabangsa.

Namun tak ramai yang tau, bahawa perkara paling sukar dalam dunia perniagaan ni bukannya bila mula menjual dan memasarkan. Sebaliknya, mengekalkan dan memilih strategi yang berkesan untuk kembangkan usaha perniagaan. Kalau korang berminat nak jadi usahawan, ada lima tips yang dikongsi oleh The Vulcan Post.

Via Giphy

1. Kena renungi masalah dalaman dulu, berinovasi ikut kemampuan sendiri

Apapun jenis perniagaan korang, masalah dalaman sentiasa jadi antara perkara pertama yang korang kena peka. Menyalahkan para pelanggan semata-mata takkan buatkan perniagaan korang boleh berkembang, malah benda nilah yang akan buatkan para pelanggan korang lari. Ye lah, takde orang nak berurus-niaga dengan usahawan yang selalu berprasangka buruk dengan para pelanggan.

Dalam sebuah forum yang dihadiri oleh The Vulcan Post, Ernie Zainie yang merupakan salah seorang panel dari Sabah Electricity kongsikan antara masalah yang wujud ketika syarikat elektrik mereka nak pastikan takde orang ‘curi elektrik’ dari rumah orang lain kerana taknak bayar bekalan elektrik ke rumah mereka. Bahaya tau bila nak cuba-cuba ‘curi elektrik’ dari rumah orang lain, sampai ada yang kehilangan nyawa kerananya.

Curi Elektrik
Antara cara bijak para pencuri elektrik. -Via Berita Harian

Berbanding nak salahkan para ‘pencuri elektrik’ ni, Sabah Electricity cipta sebuah alat yang membolehkan bekalan elektrik terputus bila ia dapat kesan ada ‘pengguna haram’ yang nak tumpang bekalan elektrik dari rumah lain. Melalui kaedah ‘Remote Disconnection’ ni, ia turut digunakan untuk pastikan para pengguna bayar bil tepat pada masanya.

Kaedah ni digunakan dalam skala yang kecil je, tapi impaknya besar. Inovasi yang dimaksudkan ni pun bergantung ikut situasi dan keperluan sesebuah syarikat. Kalau dalam situasi Sabah Electricity tadi, kaedah Remote Disconnection ni perlu supaya mereka dapat kawal aliran bekalan elektrik pada para pelanggan dan dapat kenalpasti mana-mana pelanggan yang belum bayar atau curi elektrik secara haram.

Syarikat Elektrik Utama Malaysia
SESB merupakan antara syarikat besar jugak di Malaysia. -Via Docplayer.net

2. Kena bina budaya kerja berkualiti, berfikir luar kotak

Sebagai sebuah perniagaan, para pekerja sebenarnya adalah satu aset yang amat penting. Ramai majikan kat luar sana melihat pekerja ni hanya liabiliti je, iaitu orang yang perlu dibayar di hujung bulan nanti. Tapi jika korang adalah usahawan yang baik dan keterhadapan, korang kena tau bahawa para pekerja pun kena dibiasakan bekerja dan berfikir di luar kotak.

“Masalahnya dengan idea dan inovasi ni adalah ia amat sukar (untuk dilakukan) jika bukan dalam budaya (berinovasi). Jika anda ada orang yang selalunya tak berfikir di luar kotak dan anda suruh mereka berfikir lebih besar dari itu, ia takkan berlaku…”- Suresh Sidhu, CEO of edotco Group

Ada je sebenarnya para pekerja yang bijak, banyak idea dan geliga akalnya. Namun jika budaya kerja sesebuah syarikat tak memberi ruang suara untuk mereka tonjolkan idea mereka, sudah pasti tersia-sialah bakat intelektual mereka dan boleh jadi satu hari nanti, mereka pula yang akan menjadi saingan korang. Haa lepas tu jangan cakap kedai korang kena santau ye…

Via Giphy

Ray Dalio antara pengasas budaya kerja yang amat mementingkan suara para pekerjanya, hinggakan dia paksa semua para pekerjanya untuk ‘bergaduh’ sesama sendiri. Bukan gaduh santai ye, tapi gaduh pasal idea. Asal tak puas hati, para pekerjanya boleh emel terus kat Ray Dalio dan luah sekali. Takde orang dibenarkan ‘simpan dalam hati’ ataupun umpat sesama pekerja. Tapi tak semua boleh terima. Katanya, 30% pekerja baharu akan berhenti kerja kat sana dalam masa 18 bulan.

Inovasi dalaman boleh merangkumi perubahan budaya kerja, dan bagaimana korang urus aset intelek yang ada di syarikat korang. Memikirkan idea-idea baharu untuk kemajuan bisnes korang adalah tugas semua orang tanpa kira jawatan dan hieriarki, lagi-lagi yang selalu jadi wajah syarikat di depan para pelanggan atau yang selalu dapat beban kerja yang berat.

Kreatif juga ni…-Via Giphy

3. Cari sektor atau niche yang korang boleh lebarkan sayap perniagaan

Benda ni kita senang nak faham sebab banyak syarikat yang mulanya hanya jual satu atau dua benda, dah beralih ke produk seterusnya dimana mereka rasa mereka boleh kembangkannya untuk kukuhkan posisi industri mereka.

Air Asia
Via Marketing Magazine

Misalnya, AirAsia sekarang ni kita kenali sebagai syarikat penerbangan tambang murah yang selalu jadi pilihan utama rakyat kebanyakan kalau nak naik kapal terbang. Kini, mereka dah lancarkan produk dalam beberapa sektor yang seterusnya boleh bantu mereka mantapkan kedudukan mereka dalam industri perkhidmatan pula.

Bigpay merupakan salah satu produk yang tengah hangat sekarang yang dilancarkan oleh AirAsia. Secara asasnya, ia menawarkan perkhidmatan e-wallet kepada semua orang khususnya buat para pelancong yang gunakan Bigpay di luar negara. Sesiapa je boleh guna Bigpay ni, dan mereka turut tawarkan diskaun kepada para pengguna Bigpay yang beli tiket dengan AirAsia.

Bigpay Airasia
Via ABS-CBN News

Dengan tu, AirAsia dapat meluaskan lagi sasaran penggunanya daripada mereka yang terus beli dari laman web atau ejen pelancongan kepada para pengguna Bigpay yang mulai beli tiket dari AirAsia dah.

4. Tak harus cepat berpuas hati, buka hati pada perubahan baharu

Cepat berpuas hati merupakan salah satu sifat yang agak bahaya sebagai seorang usahawan. Nak berjaya, kerja keras dan kesungguhan tak cukup jika kita sendiri tak nak buka mata pada arus perubahan di sekeliling kita. Di sinilah kita betul-betul kena fikirkan strategi terbaik sama ada nak kekalkan bentuk dan strategi seperti biasa ataupun kena berubah ikut keadaan dah.

Nokia misalnya, amat popular pada akhir 90-an dan awal 2000-an. Kami pun sempat jugak pakai telefon bimbit Nokia, dan ketika tu, popularitinya macam beberapa jenama yang tak top pada masa dulu seperti Samsung kini. Mengikut analisis dari Yves Dos, Prof. Emeritus Pengurusan Strategik INSEAD kata kejatuhan Nokia ni adalah disebabkan sistem operasi Symbian yang lebih fokus pada gajet berbanding aplikasi.

Nokia Telefon Lama
Sekarang ni, orang tak pakai dah. Orang dah kumpul. -Via 123rf.com

Nokia tak dapat bersaing dengan kepesatan perubahan industri teknologi bimbit, ditambah lagi dengan beberapa masalah dalaman termasuklah peringkat pengurusan yang tak cukup mahir nak bawa Nokia tu selari dengan saingannya lain. Orang dah tumpukan perhatian nak bina telefon bimbit yang lebih fleksibel dari segi pembinaan aplikasinya macam Android sekarang.

“Pada 2010, limitasi Symbian terlalu jelas dan Nokia dah ketinggalan perubahan yang dipacu oleh Apple ke arah aplikasi. Bukan je pilihan strategik Nokia nampak terbatas, tapi takde lagi yang menarik (dengan Nokia)…”- Yves Dos, seperti yang dilaporkan oleh INSEAD Knowledge

Nokia Lumia
Unik jugak Nokia Lumia ni kan.. -Via Pocket-lint

Kejatuhan Nokia ni haruslah diteladani, kerana salah satu masalah mereka pun adalah mereka peka terhadap perubahan industri, cuma terlalu lambat dah. Harus diakui, Nokia taklah boleh dianggap ‘dah mati’ sebab kalau korang cari kat kedai telefon pun… masih ada lagi kan? Ada je peminat Nokia lagi khususnya dalam produk-produk baharu mereka, tapi mereka tak lagi jadi pemain besar dalam industri telefon pintar.

5. Nak minta bantuan kerajaan boleh, tapi jangan terlalu bergantung dengannya

Orang biasa nampak usahawan ni waktu dia senang je, bukan masa dia susah. Hakikat ni kami rasa semua usahawan setuju, jadi sebab tulah bila korang nampak ada usahawan kaya dan berjaya macam Dato Vida tu, banyak yang dia kena korbankan jugak.

Sekarang ni kerajaan memang nak galakkan lebih banyak start-up untuk para belia, hinggakan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) anggarkan lebih kurang 3,000 perniagaan kecil dah, hanya 0.25% je yang berdaftar. Tapi bila nak bandingkan dengan beberapa negara lain seperti Singapura dan Korea, jumlah start-up dah cecah 20,000 ribu tiap tahun!

Startup Malaysia
Via The Star

MaGIC ni antara sebahagian usaha kerajaan nak suburkan pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana, selain dari suntikan dana kerajaan. Tapi kami pun agak setuju jugak dengan pendapat Suresh;

“Apa yang kerajaan boleh buat untuk tolong saya? (Bagi saya) Itu bukan soalan yang patut ditanya oleh seorang usahawan. Saya rasa kita masih lagi dalam budaya yang memerlukan seseorang untuk tolong kita. Kita kena ubah pemikiran ni. Kalau tiada yang bantu, anda perlu bantu diri sendiri…”- Suresh Sindhu, seperti yang dilaporkan oleh The Vulcan Post.

Via Giphy

Minda usahawan ni lazimnya minda kuat dan tak berputus asa, ada kekuatan hati dan kesungguhan yang mendalam dengan apa yang dia buat. Ingat tak awal tadi kami katakan, benda paling sukar untuk usahawan adalah mengekalkan perniagaannya. Nak buat kiraan untung rugi lagi, nak fikirkan stok dan bermacam perkara…

Strategi kena sempurna, terus belajar perbaiki diri…

Dalam dunia perniagaan, strategi ni adalah salah satu penyelamat dalam haluan bisnes korang. Tanpa strategi, kita pun tak tau bagaimana nak tengok kesihatan bisnes kita tu. Yang paling penting, arah minda kita tu kena bersifat growth mindset.

Via Giphy

Ertinya, korang kena selalu fikirkan macam mana majukan diri, cara fikir dan bagaimana nak hidup dalam industri yang korang ceburi. Kami harap ni dapat bantu sedikit sebanyak dalam pembentukan strategi bisnes korang di awal tahun 2020 dan semoga maju jaya!

Leave a Reply

Your email address will not be published.