Malaysia dilaporkan jadi penyumbang pencemaran plastik terbesar di ASIA…

F1

Kadang-kadang ada benda yang kita tak nampak impaknya secara individu, tapi jadi masalah besar apabila benda tu dilihat secara kolektif. Contohnya isu buang sampah, katakanlah seorang buang sampah kecil seperti pembungkus gula-gula. Secara individu benda ni mungkin dilihat benda kecil je, sebab pembungkus gula-gula tu takdelah besar mana. Cuma, cuba bayangkan ada sejuta orang buang pembungkus gula-gula ni, mesti impaknya jadi lebih besarkan?

Di Malaysia, ini antara masalah pemikiran yang kita tengah hadap. Ramai yang fikir kalau diorang buat sesuatu, tak akan beri impak yang besar pun. Hakikatnya apabila semakin ramai fikir macam ni, maka jadilah malapetaka. Salah satunya…

Jumlah pelepasan gas karbon berkaitan plastik di Malaysia lebih tinggi dari gabungan Thailand, Vietnam, Filipina

Sebuah analisis berkaitan penggunaan plastik terbesar di Asia memperlihatkan rakyat Malaysia merupakan pengguna plastik terbesar, menurut aktivis dari World Wide Fund for Nature (WWF). WWF ni bukan yang gusti tu ye. Kumpulan aktivis ni mendesak kerajaan Malaysia mengehadkan penggunaan plastik dan bekerjasama dengan syarikat yang terlibat dengan aktiviti kitar semula.

S1
Banyaknya sampah! Via The Star

Laporan WWF tu menunjukkan China, Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam menyumbang 60% daripada anggaran 8 juta tan plastik yang memasuki lautan setiap tahun. Kajian ni berfokus pada penggunaan harian plastik, plastik yang selalunya berakhir di laut. Dari 6 negara ni – dipercayai 27 juta plastik digunakan pada tahun 2016, data yang paling terkini kita boleh dapati. Kami harap lepas ni adalah data terbaru supaya kita boleh tengok – ada peningkatan atau tak.

Secara global, unjuran memperlihatkan akan berlaku peningkatan sebanyak 4 kali ganda dari tahun 2010 ke 2050. Benda ni bermakna; laut mungkin akan ada lebih banyak plastik (dari segi berat) berbanding ikan. Kalau benda ni diteruskan, nanti orang dah tak jual ikan dekat pasar, tapi jual sampah.

Via Giphy

Selain tu, pelepasan gas karbon di Malaysia (yang dikaitkan dengan plastik), tak kisahlah masa dihasilkan atau dibakar – ia dah mencecah 860 juta tan pada tahun 2019, lebih tinggi berbanding gabungan Thailand, Vietnam, Filipina. Maksudnya benda ni memang tinggi gila, sampai level kalahkan gabungkan tiga negara.

Sampah ni bukan sekadar menyakitkan mata dan alam, ia jugak boleh masuk ke dalam badan kita

Malaysia sekali lagi Malaysia mengungguli carta apabila jadi negara tertinggi dari segi penggunan pembungkusan plasti per-kapita (tahunan). Dianggarkan setiap tahun – setiap rakyat Malaysia gunakan 16.8 kg plastik. Tempat kedua dimiliki Thailand, dengan 15.5 kg seorang, setahun.

“Ada banyak penghantaran makanan yang menggunakan plastik, selain tu banyak jugak produk harian yang menggunakan plastik di pasar raya,” – Schuldt, wakil WWF, seperti yang dilaporkan oleh NST

S1
Inikah alam yang kita wariskan kepada anak bangsa? Via Asia Nekkei

Di Asia, ada banyak negara yang ada pertumbuhan ekonomi dan populasinya yang meningkat mendadak. Ia menyebabkan negara-negara ini memiliki bandar berpenduduk padat, termasuklah di bandar-bandar yang berhampiran dengan laut. Malangnya, sistem mengutip sampah di kawasan tu masih ketinggalan, menyebabkan banyak masalah berlaku. Akhirnya, untuk mudahkan kerja, penduduk ni cenderung untuk buang sampah ke laut.

Setelah China melarang import sampah plastik pada awal tahun 2018, pengeksport sampah besar seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah memindahkan sampah mereka ke negara lain. Malaysia jadi salah satu tempat ‘pembuangan sampah’ ni, kami pernah tulis pasal ni dulu.

Selain mengganggu industri pelancongan, industri perikanan dan perkapalan, sampah plastik boleh mengancam hidupan laut dan masuk ke dalam badan manusia. Yalah, sebab kita memang suka makan makanan laut. Secara logiknya, kalau hidupan plastik tu makan sampah, kita pun ada potensi untuk termakan sampah yang diorang makan.

Ini cara mudah nak bagi korang faham. Via Giphy

Schuldt (wakil WWF) desak Malaysia dan kerajaan Asia yang lain untuk kaji semula dasar berkenaan penggunaan plastik rakyat mereka. Dia mintak kerajaan Malaysia bekerjasama dengan pemain industri dan aktivis alam sekitar untuk mendorong perniagaan menggunakan lebih sedikit plastik dan memberikan dana untuk aktiviti kitar semula. Benda ni dah lakukan oleh lebih 30 buah negara, termasuklah negara-negara di Asia.

Dalam isu ni, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim enggan untuk berikan komen.  Sampah di Malaysia yang biasanya terkumpul di tempat pembuangan akhir (TPA) dan hanyut ke laut kerana faktor cuaca. Menurut Schuldt, kempen-kempen kesedaran perlu untuk mendidik rakyat Malaysia tentang isu ini.

Kita harus mengubah diri, jangan sampai Malaysia jadi negara sampah

Ramai orang yang ada idea untuk ubah macam-macam benda, tapi dia terlupa nak ubah sikap dirinya. Benda ni simple – kalau setiap individu ada rasa tanggungjawab untuk ubah sikap pada peringkat individu, ia akan membawa kesedara pada peringkat keluarga dan dari kesedaran keluarga membawa kepada kesedaran masyarakat dan seterusnya. Macam model perniagaan MLM lah, cuma ini ‘perniagaan’ untuk memastikan Malaysia tak jadi negara ‘sampah’.

 

Artikel ini diterjemahkan dan disunting dari artikel Report: Malaysians Asia’s biggest plastic consumers terbitan NST.

Leave a Reply

Your email address will not be published.