Rafizi kekal letak jawatan, perkenalkan pasukan yang membantu

f1 min (13)

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi gambaran kekal dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan menteri Kabinet apabila hadir buat kali terakhir ke pejabatnya di sini, hari ini. Menerusi perkongsian di platform X, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan, beliau hadir ke pejabatnya bagi menyelesaikan urusan terakhir termasuk mengemas ruang tempat kerjanya.

“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini untuk urusan terakhir termasuk mengemas pejabat,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR yang berlangsung bulan lalu. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan itu untuk memikirkan secara teliti sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Jemaah Menteri.

rafizi 13mp will have policies sam theedgemalaysia theedgemalaysia
Rafizi Ramli. Via The Edge Malaysia

Perdana Menteri berkata, jika boleh beliau mahu Rafizi dan Nik Nazmi menyertai semula Kabinetnya.

Sementara itu, dalam perkongsian sama, Rafizi turut mengambil kesempatan memperkenalkan dan menghargai barisan pegawai dasarnya yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada pelbagai dasar ekonomi besar di bawah kendaliannya.

“Mereka adalah pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya. Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), gaji progresif sehinggalah RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13), mereka banyak menterjemah idea saya sehingga dilaksanakan,” katanya.

Pasukannya itu membabitkan pakar endokrinologi lulusan University of Cambridge, Dr Azraai Bahari Nasruddin; bekas pengurus dana berkelulusan kewangan dari Monash University dan sarjana Matematik Gunaan dan Komputasi dari Johns Hopkins University, Benjamin Quek.

Pelajar terbaik undang-undang University of London dan lulusan sarjana undang-undang dari Oxford University, James Chai; lulusan kelas pertama bidang PPE (Politics, Philosophy and Economics) dari London School of Economics, Ismat Qayyum serta graduan Politik dan Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham, Haqimi Zamri.

“Mereka banyak menterjemah idea saya kepada sesuatu yang boleh dilaksanakan. Saya banyak belajar daripada mereka, mungkin lebih daripada apa yang mereka pelajari daripada saya,” katanya.

Isu Raifizi letak jawatan jadi perbualan hangat, tapi agenda kerajaan tetap diteruskan

Pengunduran Rafizi Ramli menjadi topik perbualan wargamaya khususnya mereka yang meminati dunia politik tanah air. Segelintir berpandangan bahawa Rafizi sememangnya ‘anak jantan’ kerana tetap berpegang pada janji akan melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya kalah pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei lalu dan kata-kata itu dibuktikan serta-merta.

Tidak kurang juga yang melampiaskan komen nista dan sindiran kononnya Rafizi merajuk hanya kerana tidak dipilih serta gagal mempertahankan jawatan disandang beliau. Meskipun ramai tidak menyukai pendekatannya yang tegas dan berprinsip, kenyataan bahawa beliau menteri yang bekerja untuk rakyat usah dinafikan.

6fb4128b9d724c93bdcb5ac7e86437221e04c15f0847eca7a9fd025a82d1e4b0
Rafizi Ramli. Via The Straits Times

Atas dasar prinsip demokrasi, beliau katanya ingin memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan agenda kerajaan.

Tidak lama kemudian, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengikuti jejak langkah Rafizi iaitu melepaskan jawatan dalam Kabinet lantas mengejutkan ramai pihak. Usai berita pengunduran Rafizi dihebahkan, pastinya ramai tertanya-tanya status dasar ekonomi utama seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Dasar Gaji Progresif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang digerakkan beliau.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, inisiatif tersebut tetap diteruskan walaupun Rafizi tidak lagi menerajui Kementerian Ekonomi selepas ini.

Beliau berpendapat, tiada sebarang isu bakal timbul memandangkan pelaksanaannya dipantau pihak kementerian. Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan turut senada dengan Muhammad Kamil sekali gus menekankan bahawa perubahan kepimpinan tidak sepatutnya membawa kepada perubahan dasar secara menyeluruh.

Beliau menegaskan, dasar yang dirangka Rafizi tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya ia hasil perbincangan dan keputusan secara kolektif bersama pegawai tertinggi kementerian. Anwar selaku ketua kerajaan juga menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi tidak akan dibubarkan, sebaliknya ia akan terus memainkan peranan penting dalam merancang pembangunan negara dan melaksanakan dasar ekonomi semasa.

Memandangkan hari terakhir Rafizi disambut secara tertutup, beliau beranggapan ilmu dipelajari daripada penjawat awam di Kementerian Ekonomi sebagai cenderahati terbesar yang akan dikenang sampai bila-bila.

Sudah semestinya individu yang bakal menggantikan kedudukan beliau dalam Kabinet berdepan cabaran besar iaitu menyambung semula rencana Rafizi atau melaksanakan dasar baharu. Calon terpilih juga pasti tidak dapat lari daripada hujatan dan hinaan wargamaya selepas ini, sepertimana dirasai Rafizi sepanjang lebih dua tahun memegang jawatan menteri ekonomi.

Johari dicanang ganti Rafizi, beliau serahkan kepada PMX

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa sebarang perubahan dalam Kabinet adalah keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan dirinya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang mendakwa beliau bakal menggantikan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebelum ini.

“Itu tanya Perdana Menteri. Semua orang ada hak masing-masing, tetapi keputusan lantikan menteri adalah hak Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar

datuk seri johari abdul ghani by kenny yap 20210323203312 theedgemarkets
Via The Edge Market

Johari turut menekankan bahawa kerajaan ketika ini berada dalam keadaan stabil dan harmoni tanpa isu besar yang boleh mengganggu pentadbiran negara.

“Saya melihat kerajaan sekarang sangat harmoni. Tidak ada perkara besar yang berlaku, jadi kestabilan itu ada. Dengan kestabilan, kita boleh terus bergerak ke hadapan. Saya gembira berada di Kementerian Perladangan dan Komoditi kerana kementerian ini memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat luar bandar serta pemain industri yang terlibat dalam eksport produk-produk utama,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pencapaian Malaysia dalam industri komoditi termasuk negara ini merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar dunia dengan nilai eksport RM114 bilion tahun lepas. Menurutnya, pengeluaran koko walaupun dalam skala kecil, negara masih mencapai eksport bernilai RM15 bilion, hasil daripada proses tambah nilai.

“Getah pula, Malaysia menjadi salah satu pengeksport utama dunia dengan eksport mencecah RM15 bilion, hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Negara kini berdepan cabaran dalam mendapatkan bekalan getah sehingga terpaksa melakukan import,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *