Kesan fenomena katak politik ni sungguh dahsyat dan suatu kengerian untuk rakyat. Ye lah, mustahil kita nak lupa apa yang terjadi ketika awal Februari 2020… bermulanya dengan Langkah Sheraton dan isu angka, nak tunjuk SD untuk dibawa ke Istana. Pada waktu tu, rakyat dah semakin keliru, bingung dan gusar dengan apa yang berlaku dalam lanskap politik negara. Ditambah lagi pada waktu yang sama, pandemik Covid-19 mulai menular. Ahli politik dengan angkanya, rakyat pulak dengan angka kes jangkitan dan kematian setiap hari. Ramai kehilangan anggota keluarga, sumber pendapatannya, kerjanya; manakala ahli kerajaan pulak nampak macam acuh tak acuh je. #Kitajagakita mengingatkan kita bahawa kerajaan dan orang kayangan tak rasa apa yang rakyat biasa tengah rasa.
Pertukaran parti politik dilihat antara punca ketidakstabilan negara. Katak-katak politik sibuk selamatkan diri sendiri, sedangkan rakyat dah muak dan penat dengan krisis politik negara. Di situlah, kita sedar bahawa ahli politik khususnya yang diundi dahulu perlu diajar dan ‘disekat’ pergerakan diorang dari satu parti ke parti yang lain. Maka, RUU Antilompat Parti sangat perlu untuk kestabilan negara – dan akhirnya diluluskan pada akhir Julai ni dengan sokongan majoriti 2/3 Dewan Rakyat.
RUU halang Ahli Dewan Rakyat tukar parti kena adil untuk semua pihak
Sebelum ni, RUU Antilompat antara usul yang paling ditunggu ramai kerana boleh je ahli parlimen lain tolak kerana dianggap mengugat kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Awalnya, RUU ni diakui secara asasnya memang ada kewajaran dan keperluannya jika dilihat dari sejarah dan lanskap baharu politik tanah air. Namun begitu, ramai jugak ahli Parlimen yang tampak runsing sebab ada jugak kemungkinan di mana parti tu sendiri yang salah guna RUU ni bagi menghukum seseorang wakil rakyat.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen jugak ditubuhkan bagi mengkaji RUU ni. Pelbagai soalan dikemukakan oleh beberapa ahli parlimen, misalnya tentang pindaan Perkara 10 (peruntukan bagi kebebasan berpersatuan), penguatkuasaan RUU ni di peringkat DUN dan beberapa hal teknikal lain melibatkan keluar parti khususnya jika dalam gabungan yang sama atau kalau setakat sokong, apakah hal tu pun dikira keluar parti.
Banyak perkara ni turut diperhalusi supaya ia memberi keadilan kepada para wakil rakyat. Terdapat beberapa situasi di mana yang bermasalah tu adalah partinya, bukan wakil rakyatnya. Wakil rakyatnya, di peringkat kawasan yang dipegangnya tu memang seseorang yang bertanggungjawab dan sangat pentingkan kebajikan setempat. Namun oleh disebabkan pergeseran peribadi melibatkan anggota tinggi parti yang diwakilinya, ada kemungkinan ia digunakan untuk hukum wakil rakyat tu pulak sehingga dia dibuang dari parti, dipaksa atau terpaksa untuk meninggalkan parti.
Mana-mana wakil rakyat yang tukar parti termasuklah Bebas akan hilang kerusi
Secara amnya, mana-mana ahli parlimen yang keluar parti… akan kehilangan kerusi yang diwakilinya. Ini jugak tertakluk kepada calon bebas, di mana diorang tak bebas nak suka hati masuk keluar parti lain ye. Bila masuk ke parti lain sebagai wakil rakyat, dia jugak dianggap bertukar parti (walaupun dia seorang wakil rakyat Bebas) dan tetap akan kehilangan kerusinya. Kalau setakat beri sokongan kepada parti lain, takpe.
Namun begitu, bagaimana kalau wakil rakyat itu pulak yang dipecat dari partinya? Haa… ada pengecualian untuk kes ni. Diorang tak hilang kerusi yang dipegangnya kalau diorang dipecat dari parti, sebab itu tak dianggap tukar parti dengan sukarelanya. Namun begitu, perkara ni akan dipertimbangkan ikut kes wakil rakyat tu jugak. Beberapa pertimbangan telahpun diutarakan oleh Wan Junaidi:
- pemecatan disebabkan ahli Dewan Rakyat yang ada isu disiplin atau kerana isu dalaman parti
- hal pemecatan perlukan pendekatan yang berbeza supaya parti politik tu tak salahguna untuk hukum wakil rakyat tersebut
- hal pemecatan bukan di dalam kawalan dan atas keputusan ahli Dewan Rakyat
Di sini wujud jugak persoalan – Ahli Dewan Negara macam mana pulak? Ada jugak anggota Dewan Negara ni dilantik kerana penglibatan politiknya, jadi soalan ni memang bernas dan penting untuk dibangkitkan. Jawatankuasa Pilihan Khas setuju bahawa pindaan tersebut buat masa ni tak terpakai bagi Ahli Dewan Negara kerana diorang tak fokus kajian tu dulu dengan ahli Dewan Negara. Masih ada beberapa isu perundangan yang belum lagi diputuskan, malah belum ada perundingan dan perbincangan mengenai ahli-ahli Dewan Negara.
Idea wujudkan pilihan raya tarik balik mandat ditolak, ini akan berlaku jika muncul isu Parlimen tergantung
Satu lagi cadangan yang dah dikemukakan dulu melibatkan RUU Antilompat ni adalah dengan mewujudkan pilihan raya khusus bagi menyelesaikan isu ahli Dewan Rakyat tukar parti. ‘Recall election’ atau perjanjian tarik balik mandat ni banyak dilakukan oleh negara lain, dimana ia akan dilaksanakan kalau sesebuah masyarakat dari kawasan yang diwakilinya tu taknak lagi wakil rakyat tersebut. Mungkin wakil rakyat tu menimbulkan ketidakpuashatian atau reputasinya kurang baik dalam tempoh pegangan jawatan sebagai wakil rakyat… jadi recall election merupakan salah satu alternatif bagi masyarakat setempat memilih semula wakil rakyat.
Walaupun begitu bagi kerajaan, cadangan tersebut perlukan penelitian dan kajian lanjut, termasuklah dengan ambil kira implikasi kewangan kepada kerajaan. Usul RUU Persendirian yang dibawa oleh Azalina Othman Said (ahli Parlimen Pengerang) terdahulu ditolak kerana Perkara 67 dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 67 memperuntukkan bahawa sesuatu RUU atau pindaan yang perlu peruntukan langsung atau tak langsung kepada kerajaan tak boleh dibawa atau dicadangkan kecuali oleh Menteri Kewangan. Isu-isu teknikal dalam kajian recall election pun agak rumit, jadi buat masa ni, kerajaan pilih untuk buat dahulu yang mudah dan lebih utama iaitu mengehadkan masalah lompat parti dengan lebih berkesan.
Dalam hal Parlimen tergantung pula, perjanjian gabungan pasca pilihan raya boleh dibuat oleh parti-parti politik dan parti-parti gabungan agar dapat bentuk kerajaan, tanpa menyebabkan para anggotanya dianggap tukar parti. Selain tu, Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan dalam situasi ni. Yang Dipertua Dewan Rakyat kena maklumkan pada SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari bilangan parti yang bentuk majoriti terjejas kerana kekosongan tu, lalu dalam keadaan demikian, kekosongan tu mesti diisi dalam masa 60 hari dari tarikh pemberitahuan diterima.
Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berhasrat menghantar suatu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat. pic.twitter.com/u3AEOyPGDo
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) September 1, 2021
Ada jugak ahli Parlimen nak tambah, mohon masukkan sekali hukuman/penalti kepada mana-mana yang tukar parti. Dalam hal ni, Jawatankuasa Pilihan Khas rasa takde keperluan pada waktu ni untuk adakan peruntukan hukuman/penalti kepada ahli Dewan Rakyat tersebut. Kewajiban untuk mengosongkan kerusi dan pulangkan mandat kepada rakyat melalui proses pilihan raya tu sendiri adalah bentuk hukuman/penalti.
Kami harap RUU Antilompat ni akan mengekang masalah lompat parti dan seterusnya elak fenomena katak politik terus mengotori demokrasi negara. Kita dah pernah rasa betapa membingungkan situasi ni, dan secara tak langsung memberi tekanan emosi kepada rakyat sendiri apabila mandat yang diberikan seolah tak dihargai oleh katak-katak politik ni. Kerajaan stabil jugak diperlukan untuk memajukan semula negara pasca-pandemik. Masih banyak isu rakyat yang perlu diselesaikan agar kita kembali pulih.