Sejak inisiatif e-Tunai dilancarkan sejak 15 Januari lalu, ramai yang dah tuntut RM30 percuma dalam beberapa platform e-dompet utama terpilih iaitu Boost, Touch N Go dan GrabPay. Kami dah bincang sikit pasal inisiatif dan syarat kelayakannya dulu termasuklah pasal keselamatan data peribadi.
Kali ni, ada orang kata data peribadi sesiapa yang claim RM30 tu akan disimpan dan dijual kepada pihak yang tak bertanggungjawab. Akibatnya, segelintir masih takut nak ambik sebab takut penipu dalam talian cari mereka. Betul ke?
Dunia teknologi semakin canggih, banyak perlukan data pelanggan…
Masih ramai lagi tak sedar bahawa sepanjang hari, kita mungkin berada dalam situasi data peribadi kita diperlukan untuk sesuatu perkhidmatan agar lebih sesuai dengan keperluan kita. Perasan tak bila korang nak pasang sesuatu aplikasi kat telefon pintar korang, kadangkala ada dialog yang nak suruh korang benarkan akses aplikasi ke atas kamera, galeri dan nombor telefon kawan-kawan korang?
Kalau korang tak sedar, permintaan akses tersebut dan kebenaran korang amat penting untuk sesebuah perkhidmatan dapat berfungsi. Kadangkala akses lokasi korang macam GPS tu pun diperlukan, khususnya untuk sebarang perkhidmatan yang perlukan lokasi kedudukan korang masa tu seperti aplikasi e-hailing dan aplikasi waktu solat.
Ni sebenarnya adalah suatu isu yang kerapkali dibincangkan dan sentiasa menjadi keutamaan buat para penyedia perkhidmatan yang perlukan data peribadi pelanggan. Apa tidaknya, kepercayaan pelanggan ni sama penting dengan kekuatan kewangan para pelabur di belakang bisnes teknologi macam Facebook dan Grab. Kalau bisnes teknologi ni tak dapat buktikan kebolehan mereka nak jaga data peribadi, boleh jadi para pelabur pun tak nak labur duit lagi.
Lebih jauh, kebocoran data peribadi para pelanggan pun satu kerugian besar pada sesebuah negara. Macam kes pengharaman Blackberry pada 2010, beberapa negara haramkan Blackberry masuk negara mereka sebab takut sangat data dan rahsia kerajaan bocor. Kat Malaysia pun, wujud jugak cerita bahawa Blackberry akan diharamkan pada 2010 tapi tak jadi.
Negara kita tetap lindungi data peribadi guna Akta 709
Isu data peribadi ni bukanlah benda ringan, tak kira di mana-mana negara pun. Ada orang nak takutkan rakyat kita, seolah-olah nak nampakkan bahawa Malaysia ni langsung tak fikir pasal rakyat dan keselamatan data negara. Sebab tulah kita pun ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 atau dikenali sebagai Akta 709 agar dapat kawal sejauh mana para pelanggan boleh dilindungi dalam dunia data kini.
Dalam Akta 709, ada 7 prinsip utama yang wajib diketahui oleh penyedia perkhidmatan (pengguna maklumat) dan para pelanggan. Kalau korang rasa penyedia perkhidmatan tu tak ikut mana-mana di antara 7 prinsip yang digariskan, korang boleh buat aduan kat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Secara amnya, mana-mana penyedia perkhidmatan tak boleh ambil data korang tanpa persetujuan korang. Selain tu, korang kena jelas dan maklum mengenai tujuan dan kepentingan data peribadi korang diambil. Sebab tulah korang selalu diminta baca, fahami dan tandatangan (atau klik setuju) masa keluar notis atau Terma dan Penggunaan. Bab ni ramai yang enggan baca, main tekan ‘agree’ je…
Syarikat penyedia perkhidmatan pun tak boleh jual beli data korang dan kena disimpan dalam mana-mana keadaan yang terjamin keselamatannya serta untuk tempoh tertentu. Ertinya, takde syarikat akan dibenarkan untuk pegang data korang selama-lamanya. Mereka pun kena benarkan korang akses, mengemaskini data perbadi korang sendiri dan kena bertanggungjawab pastikan data peribadi yang diberikan tu betul dan tepat.
Kalau korang tak nak data peribadi korang disimpan oleh mereka lagi, korang boleh minta untuk mereka padamkan data korang kat simpanan mereka.
Nama, nombor kad pengenalan dan gambar litar pintas antara jenis data dilindungi
Menurut portal rasmi Jabatan Perlindungan Data Peribadi, antara data peribadi yang dilindungi dalam Akta 709 adalah:
Data ni akan dianggap sebagai data peribadi selagi seseorang tu masih hidup. Jadi kalau korang tiba-tiba ternampak gambar korang digunakan untuk tujuan komersial tanpa kebenaran korang, jangan teragak-agak buat aduan kat Jabatan Perlindungan Data Peribadi. Di dalam Akta tersebut, beberapa kesalahan jenayah baharu telah disenaraikan. Beberapanya kami himpunkan kat sini:
- Memproses data peribadi tanpa perakuan pendaftaran
- Memproses data peribadi selepas pendaftaran dibatalkan
- Melakukan perlanggaran terhadap mana-mana prinsip data
- Memproses data peribadi selepas persetujuan di tarik balik
- Memproses data peribadi sensitif tidak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan
- Menjual atau membuat tawaran untuk menjual data peribadi
- Kegagalan mematuhi kehendak Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi bagi mematuhi notis mengenai pemasaran langsung.
Menurut pemerhatian kami, biasanya kegusaran rakyat kita adalah nombor 6 dan 7, yang mana data peribadi tu dijual untuk pihak berkepentingan khususnya yang kerap buat teknik pemasaran langsung. Sebenarnya, korang boleh je laporkan syarikat yang suka ganggu korang lagi-lagi bila korang tak pernah pun guna perkhidmatan mereka.
Pengguna pun kena peka, tak kongsi data peribadi kepada awam…
Kerajaan dah siap bentuk sebuah jabatan, dan akta untuk melindungi para pengguna. Kini tugas para pengguna lagi untuk lindungi sebahagian besar dari data peribadi mereka. Ye kami faham, kadangkala seronok jugak nak berkongsi kat mana korang tinggal dengan kawan-kawan khususnya kat Facebook. Paling kurang pun, main kuiz seronok kat Facebook tu… nak tau peribadi korang jenis apa, nak tau korang kucing apa dan sebagainya.
Tak ramai faham bahawa benda-benda kecil macam ni adalah salah satu cara buruk untuk dapatkan data korang di luar pengetahuan korang. Kat Facebook pun, dah cukup banyak korang boleh letakkan macam di mana korang lahir, di mana korang sekolah dan di mana korang kerja sekarang. Korang main pasang aplikasi yang tak terjamin keselamatannya macam malware dan bloatware pun bahaya jugak sebab ia boleh ‘curi’ data peribadi korang.
Zon Cyber ada senaraikan beberapa cara nak jaga keselamatan data peribadi korang dalam talian tu, dan paling utama, korang kenalah berhati-hati bila guna Wi-Fi percuma dan terbuka. Kadangkala orang pun boleh tengok apa yang korang taip bila guna Wi-Fi tersebut, dan Android Authority pernah buktikan betapa mudahnya orang nak tengok data korang kalau korang guna Wi-Fi yang tak diketahui keselamatannya.
Inisiatif e-Tunai selamat, kerajaan takkan salahguna
Kebimbangan para pengguna yang nak tebus RM30 tu akhirnya dapat perhatian Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Katanya, kerajaan takkan salahguna data peribadi tersebut dan akan selamat disimpan. Macam kami sebutkan tadi, takde data peribadi yang akan kekal disimpan oleh syarikat pemproses data.
“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh… Ia bernilai kepada syarakat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” – Lim Guan Eng, seperti yang dipetik oleh Selangorkini.my pada 17 Januari 2019
Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng. Kerajaan yang uruskan data tu untuk kita, jadi kenapa pula kerajaan nakkan data peribadi korang pula? Ada orang hujahkan bahawa inisiatif RM30 ni ‘taktik’ kerajaan nak tau perbelanjaan kita yang menggunakan e-wallet. Kami pun hairan jugak, bukankah data-data ni boleh diakses oleh kerajaan jika mereka perlukan walaupun tanpa inisiatif e-tunai tersebut?
Yang penting di sini adalah kita sebagai para pengguna yang kena jaga maklumat peribadi kita, lagi-lagi untuk pengguna media sosial tegar dan kelompok pengguna yang masih kurang faham bahawa dunia teknologi kita kini lebih bersifat data-driven (dipacu oleh data peribadi). Data peribadi amat penting untuk mudahkan hidup kita dengan bantuan perkhidmatan dalam talian, selain dari dijadikan ‘bahan kajian’ untuk memudahkan para syarikat memahami tabiat pengguna dan pembeli.