Pada 11 September 2001, semuanya berubah. Untuk Afghanistan, untuk Amerika Syarikat, untuk dunia Islam, untuk seluruh dunia. 11 September ni adalah tarikh keramat yang takkan luput dalam sejarah dunia, dan sentiasa dikenang sebagai tarikh yang mengubah segalanya. Selepas serangan ke atas World Trade Center, Afghanistan diserang oleh Amerika Syarikat. Dunia Islam dikutuk dan komuniti Islam seluruh dunia dikecam. Ramai samakan Islam sebagai agama “keganasan”, dan hal ni tak ditangkis pun oleh Amerika Syarikat. Bagi diorang, semakin ramai orang benci kumpulan radikal Taliban/Al-Qaeda… semakin menguntungkan pihak diorang kalau nak berperang.
Kini hampir 20 tahun lepas tu, barulah Amerika Syarikat putuskan untuk keluar dari Afghanistan selepas dah lama letakkan tenteranya di sana. Kejap je Taliban kalah, lepas tu kembali berpengaruh di sekitar kawasan sempadan negara tersebut. Kerajaan Afghanistan yang dibelakangi Amerika Syarikat masih lagi bergantung dengan tentera udara Amerika Syarikat untuk menahan serangan Taliban. Apa dah jadi sebenarnya antara Taliban, pihak Amerika Syarikat dan kerajaan Afghanistan sekarang?
Joe Biden umumkan tenteranya akan keluar pada 11 September, negara sekutu pun akan buat benda sama
Semasa pentadbiran Donald Trump dulu, Amerika Syarikat memang dah buat perjanjian untuk keluar dari Afganistan dengan menarik pasukan tentera yang diletakkan dalam negara tersebut. Bagi menghormati perjanjian tu, Joe Biden selaku presiden baharu dipilih menggantikan Trump dah umumkan pada April lalu bahawa diorang akan keluar pada 11 September. Kalau ikut rancangan awal, Trump janji nak keluar pada bulan Mei.
Namun Biden pulak rasakan tempoh masa yang diberikan tu terlalu singkat dan menangguhkannya hingga 11 September, sekaligus memperingati tragedi WTC 20 tahun lalu.Negara-negara sekutunya pun akan berbuat benda yang sama lepas Biden mengesahkan akan keluar dari Afghanistan. Menteri Pertahanan Jerman Annegret Kramp-Karrenbauer kata diorang masuk sama-sama ke Afghanistan dulu… jadi diorang pun akan keluar bersama-sama dengan Amerika Syarikat. United Kingdom turut mengumumkan akan panggil semula 750 tentera British yang ditempatkan di Afghanistan menjelang September nanti.
NATO pun akan buat benda yang sama. Keputusan tersebut haruslah kita raikan, sebab dari satu segi, kita dah memang yakin bahawa kehadiran kuasa asing di sana hanya memudaratkan keadaan. Lagipun, dengan perbelanjaan yang semakin meningkat dan kelesuan ekonomi dunia semasa pandemik ni.. macam tak logik je negara-negara ni terus membelanjakan wang kerajaan untuk jaga orang lain.
Walaupun begitu, keputusan menarik tentera jugak sedikit sebanyak merunsingkan kerajaan Afghanistan. Sebelum ni, kerajaan Afghanistan dah runding dengan wakil Taliban… tetapi masih belum ada sinar harapan untuk capai perkongsian kuasa antara Afghanistan dan Taliban sebelum tentera Amerika Syarikat berundur. Segelintir orang dalam kerajaan dahulunya berharap pentadbiran Biden ni akan letakkan perjanjian bersyarat ke arah proses rundingan aman dengan Taliban. Tetapi dengan keputusan terbaharu, nampaknya ia takkan berlaku.
Amerika Syarikat dan sekutu akhirnya terpaksa berkawan dengan Taliban, elakkan pengaruh al-Qaeda atau militan lain bertapak
Merenung kembali sejarah konflik Afghanistan, Taliban berjaya menawan Kabul pada 1996 dan mentadbir sebahagian besar negara tersebut dalam masa 2 tahun. Dalam tempoh tu, diorang pakai kaedah tatanegara Islam radikal dan menguatkuasakan pelbagai hukuman. Pada 2001, banyak tentera asing masuk dan berperang dengan Taliban. Dalam masa 2 bulan, rejim Taliban tumbang dan para pejuangnya melarikan diri ke Pakistan. Kerajaan baharu yang dibelakangi Amerika Syarikat ambil alih pentadbiran negara pada 2004, dan Taliban kembali menghantui lepas dapat banyak sokongan moral dan kewangan daripada perniagaan dadah, perlombangan dan percukaian.
Pada 2009, negara-negara NATO dan Amerika Syarikat hantar lebih banyak tentera masuk Afghanistan. Akibatnya, Taliban melancarkan lebih banyak serangan berani mati sehingga pada 2014, Amerika Syarikat dan UK menamatkan operasi kombat diorang di Afghanistan. Sebenarnya sejak 2011, Amerika Syarikat janji nak keluarkan tentera diorang di bawah pentadbiran Obama dulu. Pada 2015, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani dikatakan minta Amerika Syarikat tinggal lama sikit. 9,800 tentera ditinggalkan manakala yang lain dah dihantar pulang. Jumlah ni berkurangan pada 2016, apabila Obama umum 8,400 tentera lagi ditinggalkan. Bakinya dihantar pulang.
Donald Trump pada 2017 pulak mengumumkan dia akan hantar lebih banyak tentera untuk lawan Taliban. Jumlahnya, walau bagaimanapun, tak jelas. Dari September 2019 hingga Februari 2020, Amerika Syarikat dah berunding dengan Taliban di Doha untuk mengundurkan tenteranya di Afghanistan.
Salah satu syarat pengunduran tersebut adalah janji Taliban untuk elak bertapaknya pengaruh al-Qaeda atau militan lain dalam kawasan yang diorang tengah pegang sekarang. Untuk pengetahuan korang, sejak Amerika Syarikat dan UK hentikan operasi kombat di beberapa kawasan tu… Taliban dah ambil alih kebanyakan kawasan tersebut, dan kini dikatakan menguasai hampir 70% kawasan di Afghanistan pada 2018.
Pengunduran tentera asing memang suatu yang menguntungkan negara asing tu sendiri dari segi kewangan, sebab kos nak beroperasi tu amatlah mahal. Namun, tindakan berisiko ni menggusarkan ramai pihak termasuklah kerajaan Afghanistan yang akan terpaksa berhadapan dengan Taliban tanpa bantuan tentera luar lagi lepas ni. Hal ni jugak dikritik hebat oleh kumpulan pro-perang di Washington, yang mana ni akan mencipta ruang vakum kuasa untuk meluaskan kuasa Taliban atau mana-mana kumpulan militan lain.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Rakyat yang terhimpit dengan dua kuasa tempatan masih tak dapat hidup dengan aman. Diorang lebih risaukan pasal hidup diorang lepas Amerika Syarikat dah keluar nanti sebab ada kemungkinan, perang saudara akan tercetus. Kabul dan Taliban berkemungkinan besar sedang bersedia untuk sebarang pertembungan nanti, manakala ada jugak laporan yang kata ketua-ketua puak pun dah pandai kumpul orang dan senjata. Tinggal tunggu masa lagi untuk tentera luar berundur, barulah diorang akan masuk sekali merebut kembali kawasan lama diduduki oleh tentera.
Kami berharap perang saudara takkan berlaku, dan rundingan damai antara dua pihak iaitu kerajaan Afghanistan (di Kabul) dan Islamic Emirate of Afghanistan (proksi Taliban) dapat dicapai. Yang harus dikekang bersama adalah kebangkitan lebih ramai pemimpin tempatan yang turut nakkan kuasa, dan bersedia nak perang kedua-dua pihak ni. Rakyat yang tersepit dan tak mampu nak lari keluar daripada situasi ni terpaksa menghabiskan hayat diorang dalam keadaan ketakutan dan serba kekurangan.