Dr Mahathir Mohamad mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’. Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, jawatankuasa itu juga bertujuan untuk membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.
Katanya, jawatankuasa itu akan menjadi platform bagi penyelesaian masalah orang Melayu yang gagal ditangani oleh kerajaan.
“Kita sudah bersetuju bahawa kita akan tekankan masalah orang Melayu, bukan masalah parti itu parti ini dan masalah orang Melayu melibatkan semua orang Melayu. Mereka (orang Melayu) memerlukan pejuang untuk menangani masalah mereka, kini mereka belum dapat pejuang khusus, kita tak peduli tentang masalah-masalah lain, kita cuma nak tumpu kepada satu perjuangan saja, iaitu perjuangan menyelamatkan orang Melayu.
“Kita tahu ada banyak masalah yang dihadapi oleh orang Melayu cuma boleh diatasi kalau kerajaan ini dikuasai oleh orang Melayu, sebab itu perjuangan kita ialah untuk mencari jalan supaya kita berkuasa semula supaya kita dapat menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Kita bersetuju dengan mengadakan satu gerakan tidak rasmi, yang kita panggil sebagai ‘payung besar’ supaya semua orang Melayu boleh ada dalam satu kumpulan,” katanya
Terdahulu Mahathir mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin politik bagi membincangkan agenda berkenaan.
Hadir sama pada sesi perbincangan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara itu, ditanya sama ada gerakan itu akan melibatkan parti tunjang orang Melayu iaitu, Umno, Mahathir berkata dia sedia menerima ahli parti itu untuk bersama perjuangan mereka.
“Walaupun dia jadi ahli-ahli Umno, kalau dia bersetuju dengan usaha kita ini, kita terima,” katanya.
Bagi Wan Fauzuldin payung besar Tun M telah lama bocor
Agenda penyatuan Melayu yang pernah diperjuangkan Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi simbol ‘payung besar’ disifatkan sudah tidak relevan dan gagal mencapai matlamat. Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, kegagalan itu terbukti melalui sejarah pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri, selain 22 bulan ketika kembali menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, sepanjang tempoh itu, perpecahan Melayu semakin ketara, malah UMNO sendiri pernah diharamkan pada 1988, sekali gus menyaksikan tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46.
“Perpecahan Melayu bukan sahaja tidak dapat dibendung, malah semakin parah apabila Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, hingga mencetuskan era reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Nasional, yang kini dikenali sebagai PKR. Selepas itu, beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kemudian Pejuang. Semua ini adalah parti berteraskan Melayu, namun hanya menyumbang kepada perpecahan yang lebih teruk akibat kerakusan politik,” katanya
Beliau turut mendakwa kemunculan semula Dr Mahathir pada usia hampir 100 tahun ini hanya kerana bimbang dengan kedudukan diri dan keluarganya sekiranya Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Anwar terus mendapat sokongan rakyat.
“Tiada jalan lain bagi Dr Mahathir melainkan sekat Anwar. Maka, pelbagai propaganda dimainkan untuk gambarkan Anwar sebagai ancaman kepada orang Melayu dan negara ini,” katanya.
Selain itu, Wan Fauzuldin memberitahu, rakyat kini semakin sedar dan mempersoalkan sama ada penyatuan Melayu boleh dilakukan melalui kepimpinan Dr Mahathir yang penuh dengan sejarah hitam.
Umno kekal yakin bahawa mereka adalah pejuang utama masyarakat Melayu
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa parti itu tak akan melupakan sejarah cubaan untuk mengharamkan UMNO oleh individu yang kini mengajak ahli parti menyertai gerakan baharu. Beliau merujuk kepada pelawaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu ahli UMNO menyertai Sekretariat Orang Melayu, satu gabungan politik baharu yang didakwa ditubuhkan bagi memperjuangkan pengembalian kuasa politik Melayu.

“Terima kasih Tun, kami menghargai pelawaan itu. Tetapi kami masih tidak lupa apa yang terjadi. Orang yang sama juga pernah mahu mengharamkan UMNO ketika mereka berada di tampuk kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Muhamad Akmal berkata, jika benar agenda menyatukan orang Melayu menjadi keutamaan, ia seharusnya lahir daripada keikhlasan hati demi agama dan bangsa, bukannya bermotifkan jawatan atau kedudukan.
“Kalau benar mahu menyatukan bangsa ini, biarlah datang dari hati yang ikhlas kerana sayangkan agama dan bangsa, bukan hanya semata-mata ingin mendapatkan jawatan untuk diri sendiri,” katanya.
UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan membela nasib Melayu dan bumiputera meskipun bekerjasama dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perjuangan itu kekal utuh sejak penubuhan parti dan termaktub jelas dalam asas serta tujuan perlembagaan UMNO.
Katanya, UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan orang Melayu sejak penubuhannya sehingga sekarang.
“Dengan siapa pun kita memerintah, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan berkenaan. Sebab perkara itu termaktub dalam perlembagaan UMNO,” katanya

Beliau mengulas inisiatif terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menghimpunkan orang Melayu di bawah satu `payung besar’ melalui Sekretariat Orang Melayu. Timbalan Menteri Kerja Raya itu turut menegaskan, walaupun UMNO kini bersama Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan, perjuangan untuk membantu Melayu dan bumiputera tetap diteruskan.
“Di Malaysia ini, dianggarkan bumiputera seramai 70.1 peratus, Cina 22.6 peratus, India 6.6, peratus dan lain-lain 0.7 peratus. Perjuangan UMNO dalam mukadimah asas dan tujuan menyebut tentang Melayu bumiputera termasuk di Sabah, Sarawak dan Orang Asli,” katanya.
Tambah beliau, UMNO melihat kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu kelebihan untuk terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera secara lebih menyeluruh.
“UMNO ini bukan hanya perjuangan utamanya untuk Melayu bumiputera, pada masa yang sama kita juga berjuang untuk kaum-kaum lain. UMNO tidak pernah berhenti berjuang sejak dahulu hingga sekarang. Walau siapa pun kita bersama dalam kerajaan, perjuangan itu tidak pernah kita tinggalkan,” katanya.