Ucapan lantikan politik Anwar dipersoal NGO C4

f1 min (4)

Lantikan politik dalam kerajaan yang mengangkat individu layak seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata, lantikan politik adalah satu bentuk balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.

“Ini kerana terdapat ramai individu tidak bernama yang kehilangan kerja dan kehabisan wang ringgit secara sukarela demi menyokong perjuangan parti untuk menjadi kerajaan memerintah. Saya teringat, seorang bekas penjawat awam dikenali sebagai Pak Kudus di Tanjung Karang. Dia antara individu terawal menyokong saya ketika saya dipecat dahulu dengan berbekalkan pencen RM1,800 sebulan.

“Ada juga pensyarah akademik dan doktor pakar yang hilang kerja kerana menyokong saya sebelum ini, dan mereka kehabisan ratusan ribu ringgit tetapi tidak pernah minta balasan, sebaliknya menghabiskan sisa hidup secara sederhana sahaja. Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak, sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” katanya.

download (2)
Anwar Ibrahim. Via MalayMail

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2025.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, parti itu adalah antara parti yang dianggotai masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di negara ini dengan setiap golongan akan diberi hak sama rata.

“Insya-Allah, kita akan bantu ahli-ahli yang telah berjuang demi parti. Kita parti pelbagai kaum yang serius, induknya mungkin majoritinya Melayu dan Bumiputera namun ia juga mewakili semua kaum. Orang Cina dan India juga diangkat oleh ahli-ahli Melayu PKR untuk menjawat jawatan Naib Presiden parti,” katanya.

Anwar turut memuji perwakilan PKR sebagai matang dan boleh membezakan pemimpin yang baik dan perlu diangkat. Perwakilan tak peduli ‘cai’. Ada kumpulan yang bawa Cai, namun keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), lain. Ini bezanya kedua-dua kumpulan (ketika pemilihan), namun kedua-duanya kita rangkul.

Mengulas mengenai keputusan pemilihan semalam, beliau yakin barisan kepimpinan baharu itu mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan baik bagi mengangkat PKR ke tahap lebih tinggi, selepas ini.

NGO C4 berpandangan apa yang diumumkan Anwar adalah sesuatu yang salah

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menegaskan lantikan politik seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

NGO itu menegaskan kenyataan perdana menteri mengkhianat agenda reformasi dengan mengesahkan pelantikan berasaskan kesetiaan politik.

“Anwar telah berulang kali mempertahankan pelantikan politik, mendakwa ia dibenarkan jika calon mempunyai kelayakan ‘profesional’ dan bahawa pertalian politik mereka tidak relevan. Namun, C4 dan pertubuhan masyarakat sivil lain menolak hujah ini, sebaliknya mencadangkan proses pelantikan yang telus berdasarkan garis panduan jelas yang merangkumi kriteria kelayakan dan larangan,” kata C4 dalam kenyataan media

Kenyataan terkini Anwar itu menurut C4, lebih membimbangkan kerana dibuat secara terbuka mengakui dan mempertahankan ganjaran berdasarkan kesetiaan politik. Katanya, ia berbeza dengan pendirian awalnya yang mendakwa pertalian politik tidak diambil kira.

“Persoalannya, adakah calon yang setia kepada Anwar dan PKR akan diutamakan walaupun terdapat ramai calon lain yang sama layak Pelantikan politik berisiko mengukuhkan rangkaian kroni, di mana pemimpin GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sering membuat keputusan untuk memanfaatkan parti atau individu yang melantik mereka. Anwar kini secara terang-terangan menyokong politik patronase (naungan) menjadikan kesetiaan sebagai mata wang transaksi untuk mendapatkan kuasa,” kata kumpulan itu lagi.

Tambah C4, kenyataan Anwar bukan sekadar menjadi bahan ketawa, tetapi petanda bahawa dia tidak serius membanteras rasuah dan kronisme dalam budaya politik Malaysia.

“Sebagai perdana menteri dia menetapkan duluan berbahaya dengan menormalkan rasuah. Jika beliau bebas memberi ganjaran jawatan kepada penyokong setia, apa yang menghalang parti lain daripada berbuat sama?

“Politik patronase mengubah pelantikan menjadi cip tawar-menawar, bukan peluang untuk rakyat. GLC dan badan berkanun mempunyai fungsi awam penting dalam sektor seperti pengangkutan, kesihatan, dan pendidikan. Integriti mereka mesti dilindungi daripada dieksploitasi untuk kepentingan peribadi atau politik,” kata kenyataan itu.

C4 turut mengingatkan betapa alasan Anwar bahawa calon perlu ‘berkelayakan’ juga bermasalah kerana individu berkelayakan itu masih boleh terlibat dalam patronase.

“Tanpa dasar pelantikan yang jelas, kerajaan boleh mentakrifkan ‘kelayakan’ secara sewenang-wenangnya untuk mencapai agenda sendiri,” tambah badan itu.

Akmal ucapkan terima kasih kepada Anwar Ibrahim kerana memahami Umno

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berkata perdana menteri, Anwar Ibrahim akhirnya faham mengenai isu lantikan politik dalam kerajaan.

“Alhamdulilah. Terima kasih PMX akhirnya memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu,” kata Akmal dalam hantaran ringkas di Facebook.

Ketika berucap dalam sesi penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Johor Bahru semalam, Anwar menegaskan lantikan politik seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa. Anwar berkata, perkara tersebut merupakan balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.

“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” katanya seperti dilaporkan media

Pada 22 Oktober tahun lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mencadangkan di Parlimen supaya hanya golongan profesional dilantik ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan mengecualikan mereka yang mempunyai latar belakang politik.

dr akmal saleh
Dr Akmal. Via Kosmo!

Namun, Anwar ketika itu menegaskan pendirian kerajaan bahawa ahli politik tetap boleh dilantik ke jawatan tertentu, kecuali sebagai ahli lembaga pengarah institusi kewangan dan agensi-agensi tertentu yang berkaitan, melalui proses berasaskan merit.

Dia menambah semua lantikan ke jawatan penting dalam GLC tertakluk kepada saringan ketat, melibatkan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Namun, pendirian itu dikritik oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), yang menegaskan bahawa saringan teknikal sedemikian tidak menyelesaikan isu utama dalam lantikan politik — iaitu pengaruh politik dan budaya politik naungan.

Pada Mei 2023, Dr Akmal mengkritik pelantikan ahli politik dari PH ke beberapa agensi utama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Ketika itu, dia menyatakan bahawa pelantikan tersebut bercanggah dengan prinsip kerajaan perpaduan serta semangat reformasi yang dilaungkan oleh Anwar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *