Malaysia dengan isu ‘double standard’ bukanlah sesuatu yang baharu, di beberapa kejadian sebelum ni; kita dapat melihat di Malaysia seperti ada dua set undang-undang. Set pertama untuk rakyat kebanyakan, dan set kedua adalah untuk para VIP. Kalau kita lihat isu pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kita dapat lihat ramai VVIP suka-suka hati je langgar peraturan. Selalu diorang akan terlepas daripada dikenakan tindakan, sebab itu rakyat jadi marah.
Minggu lepas benda yang lebih kurang sama terjadi, apabila ada menteri yang kemalangan kerana jalan berlubang, bukan main laju Jabatan Kerja Raya (JKR) lakukan permohonan maaf. Kalau ada rakyat biasa – ada kes melibatkan kemalangan maut – takde siapa pun yang tergerak hati nak kemukakan permohonan maaf.
KJ jatuh basikal, JKR cepat-cepat lakukan permohonan maaf
Minggu lepas, Ahli Parlimen Rembau memuat naik gambar kesan calar di dahi, hidung di ruangan Instagram Story (IG Story) setelah mengalami kecederaan ketikan menaiki basikal. Menerusi perkongsian di IG Story itu, Khairy turut meletak kapsyen ringkas menyatakan kecederaan dialami disebabkan terlanggar lubang ketika menunggang basikal hingga menyebabkannya terjatuh ke dalam parit.
Setelah kemalangan kecil yang dihadapi KJ ni jadi tular, cepat-cepat JKR lakukan permohonan maaf kepada KJ. Permohonan maaf Jabatan Kerja Raya kepada KJ ni dah mengundang kecaman warga net, yang menyifatkan ia sebagai antara dua darjat.
Seorang pengguna Twitter, @amiruddinfadzli, bagaimanapun tertanya adakah JKR akan terus meminta maaf pada hari yang sama kalau rakyat biasa yang kemalangan.
“Sehingga ada yang mengalami kemalangan maut,” katanya.
“Tiba-tiba teringat cerita dulu-dulu…’antara dua darjat’,” kata @Bdkklg3
“Apa yang saya minta cuma tolong ambil tindakan dan pantau jalan raya rosak yang lain, terutamanya laluan motosikal. Kasihanilah penunggang motosikal seperti saya.”
KJ ada jelaskan tujuannya memuat naik insiden terjatuh ketika berbasikal menerusi Twitter adalah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain. Dia tak menyangka perkongsian ciapan Twitter beliau itu mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR. Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat. Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula,” – KJ, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Seorang warga emas maut akibat jalan berlubang, ada sesiapa nak lakukan permohonan maaf?
Semalam seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang setelah melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra di sini. Mangsa, Ho Yan Fee, 75, meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis menerima laporan pada 7.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Jalan Connaught menghala ke pusat beli-belah Midvalley terbabas sendiri. Mangsa melanggar jalan berlubang di lokasi lalu terjatuh dan meninggal dunia,” – Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, seperti yang dilaporkan Harian Metro
Cerita tentang kejadian ada mangsa kemalangan yang maut akibat daripada jalan berlubang dah terlalu banyak kita dengar. Seperti yang kami katakan pada awal artikel tadi, memang susah nak lihat mana-mana pihak berkuasa akan memohon maaf apabila kes tu cuma melibatkan rakyat biasa je. Beberapa tahun lepas, Kelab motor Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) katanya ada sediakan khidmat guaman bagi menuntut keadilan kepada mangsa kemalangan jalan raya.
Ketuanya Lando, nama popular Azlan Sani Zawawi kata masyarakat tak menyedari tindakan sedemikian boleh diambil jika kemalangan berpunca daripada kecuaian pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dengan banyak kemalangan maut, kami mengambil pendekatan menyemarakkan lagi kerja kami. Kami mengambil pendekatan lebih drastik untuk melantik peguam. Peguam kami akan mula mengambil tindakan saman, bukan sahaja terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi juga PBT. Dengan peguam, kami sudah berbincang minggu lepas dan akan bermula secepat mungkin. Mungkin ambil masa sedikit untuk peguam dan kami kaji undang-undang sesuai,” – Lando, seperti yang dilaporkan oleh ProjekMMO.
Lando kata dengan langkah macam ni pihak berkuasa perlu buka mata dan tak sambil lewa menguruskan kerja baik pulih jalan raya. Brotherhood jugak buat kerja-kerja kontraktor seperti mengecat dan membaiki rumah untuk menambahkan dana kegiatan mereka. Brotherhood juga membuat kerja-kerja kontraktor seperti mengecat dan membaiki rumah untuk menambahkan dana kegiatan mereka.
Isu jalan berlubang bukanlah isu kecil kerana ia melibatkan nyawa orang
Isu jalan berlubang di Malaysia bukanlah sesuatu yang kita boleh bawak main-main, sebab ia melibatkan nyawa orang – terutamanya mereka yang menggunakan motosikal. Apa yang penting – kita harus terus mendesak pihak berkuasa untuk lebih produktif dalam menangani isu ini; kerana selalunya apabila ada orang yang meninggal dunia, barulah ada aksi yang ingin diambil.