Zafrul letak jawatan Umno Selangor, timbulkan spekulasi

f1

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah umumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor pada hujung bulan lepas.

Keputusan itu dikatakan dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat. Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar, malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya

Tengku Zafrul berkata, pendekatan dan prinsipnya mudah iaitu jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan. Dia berkata lebih baik dia mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif. Sewaktu dia dipilih sebagai ahli MKT UMNO dari Selangor dan dilantik Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dulu, dia sudah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di Selangor,” katanya.

UMNO sukar digelar parti nasional atau parti untuk masa depan jika tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, katanya.

Selangor negeri amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak. Demografinya majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” katanya sambil menjelaskan, strategi ampuh sepatutnya dirangka dengan ketetapan sesuai dengan realiti semasa.

“Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lalu sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera. Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” katanya.

Katanya, kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

Zafrul patut bincang dulu sebelum letak jawatan

Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendakwa kebangkitan UMNO Selangor sebagai hambar dan tidak sehaluan dengan Pusat hanya memberikan gambaran negatif pihak luar terhadap parti itu di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, tindakan Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya di media sosial dianggap keterlaluan.

Menurut beliau, Tengku Zafrul sepatutnya berunding dengan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin terlebih dahulu sebelum mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.

“Beliau tidak pernah berikan pandangan yang menyokong atau menentang sebarang keputusan diputuskan secara kolektif oleh UMNO Selangor.

“Kalau hendak letak jawatan sekalipun, apakah tidak boleh berunding dengan Pengerusi UMNO Selangor terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya mewakilkan Setiausaha Politik beliau untuk berjumpa dan memaklumkan perkara ini secara keluarga serta membuat kenyataan akhbar bersama jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaidi memberitahu, Tengku Zafrul sepatutnya menjiwai UMNO Selangor selepas menerima jawatan tersebut

“Kita dipilih atau dilantik dalam UMNO Selangor jangan harap dihampar dengan permaidani merah untuk diraikan.

“Sebaliknya kita kena abadikan diri kita untuk sama-sama bekerja membantu Pengerusi UMNO Selangor yang telah sanggup menggalas tanggungjawab dalam keadaan daif dan serba kekurangan dari semua segi,” ujar beliau.

Ujar beliau, apabila seseorang individu dilantik memegang jawatan dalam pengurusan UMNO Selangor ia membuktikan kepimpinan di peringkat negeri parti itu melihat keupayaan dimiliki individu tersebut.

“Ramai lagi rakan KB (Ketua UMNO Bahagian) lain yang layak dan sanggup memikul tugas dan amanah diberikan kepada kita.

“Apabila kita menerima amanah ini, sepatutnya kita kena libatkan diri dalam semua mesyuarat rasmi dan pertemuan tidak rasmi yang dipanggil oleh Pengerusi UMNO Selangor pada bila-bila masa,” ujarnya.

Jelas beliau, melalui mesyuarat rasmi itu segala perbincangan tentang halatuju dan strategi parti diputuskan terutama dalam membuat keputusan penting melibatkan masa depan parti.

“Tetapi saya menyaksikan dan mengesahkan kurang dari 10 peratus kehadiran Tengku Zafrul bukan sahaja dalam mesyuarat dan perjumpaan, malah di dalam program anjuran UMNO Selangor seolah-olah tidak penting dan bukan prioriti sama sekali.

“Jika kekangan masa dihadapi beliau dijadikan alasan, maka boleh saja berjumpa sendirian dengan Pengerusi (Megat Zulkarnain) mengikut kelapangan masa beliau sekiranya ada sebarang pandangan atau teguran yang hendak diberikan demi kebaikan dan masa depan, tetapi perkara ini tidak berlaku,” tambahnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *