Ahli UMNO perlu berhenti menanam syak wasangka dan bangkit memperteguhkan kepercayaan terhadap setiap keputusan yang dilaksanakan oleh pimpinan. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu yakin segala keputusan besar diambil bukan berdiri atas satu bahu tetapi lahir daripada musyawarah kolektif kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti berkenaan.
“Setiap keputusan pasti mendatang cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada yang tercela, tetapi percayalah selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan dikhianati selagi kepercayaan kalian semua berikan.
“Namun saya tahu, masih ada di antara kita yang hatinya diselimuti keraguan, masih ada yang terbuai dalam alunan sentimen dan bisikan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 dan Konvensyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC)

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, beliau sedar keputusan membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih menjadi bahan tohmahan dan percakapan. Menurutnya, masih ada yang mempertikai keikhlasan parti selain ada pihak menghasut rakyat dengan naratif UMNO kini tunduk kepada DAP.
“Hakikatnya ini bukan persekongkolan eksklusif, ia adalah keputusan kenegaraan. Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain. Ia adalah kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan rakan gabungan dan parti lawan untuk sentiasa menjaga batas sempadan dalam menyuarakan pandangan atau kenyataan. Ini kerana dalam dunia yang sarat dengan perpecahan dan prasangka menurutnya, ada pihak yang bersemangat meniupkan api ekstremisme di segenap lapisan.
“UMNO mesti teguh sebagai nakhoda politik kesederhanaan kerana melaluinya, parti akan kembali menjadi sandaran bukan hanya buat bangsa Melayu tetapi buat seluruh rakyat. Tetapi pesan saya buat kawan atau lawan, jangan meragui kepercayaan dan jagalah batas sempadan. Api kecil yang dijaga rapi, jika dikhianati akan menjulang menjadi bara. Bila ia marak, panasnya tidak tertahan, nyalanya tak terelak, bimbang ia membakar semua tanpa memilih rupa dan badan,” ujarnya.
Dinamik politik semakin berubah, perlukan formula baharu
Jangkaan meraih undi dengan perkiraan ‘satu campur satu bersamaan dua’ tidak lagi relevan dalam perkembangan politik masa kini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata formula itu merujuk kepada penjumlahan bilangan undi yang diterima di atas kertas seperti bilangan undi yang diterima calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, secara di atas kertas, campuran bilangan undi yang diterima BN dan Pakatan Harapan (PH) di dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak menghasilkan sasaran lebih 15,000 undi seperti yang dijangka dalam PRK DUN Ayer Kuning.
“Cerita keputusan di atas kertas cerita lama. Realitinya dalam politik satu campur satu bukan dua kerana mungkin tiga, atau mungkin lima, atau mungkin juga kosong. Berlaku di Ayer Kuning, apabila atas kertas 9,000 undi BN campur 6,000 undi PH menjadikan 15,000 undi. Tetapi apakan daya yang keluar mengundi cuma 58.4 peratus. Jadi, kita dapatlah undi kira-kira 11,000 walaupun majoriti kita meningkat berbanding PRU lalu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, semua ahli UMNO harus menanam azam UMNO wajib menjadi parti yang dominan semula dalam PRU akan datang, khususnya dengan memperoleh kerusi Parlimen terbanyak. Katanya, keazaman itu perlu bagi memastikan UMNO tidak dianggap ‘melukut di tepi gantang’ dalam pembentukan kerajaan.
Ahmad Zahid berkata, usaha memastikan UMNO kembali dominan terserlah selepas banyak calon BN dalam beberapa PRK menang, manakala UMNO dianggap tunjang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Mengapa saya kata tunjang? Kerana walaupun BN hanya ada 30 kerusi yang kita sumbangkan, kehendak dan takdir Allah SWT kita jadi kerajaan walaupun jumlah kita tidak banyak. PN (Perikatan Nasional) ada 73 kerusi pun, namun jadi pembangkang,” katanya.
Veteran dan Umno Johor menegaskan keperluan memelihara status quo di Johor
Veteran UMNO Johor menegaskan bahawa agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dikekalkan berdasarkan keputusan pilihan raya lalu. Naib Pengerusinya, Datuk Adam Abdul Hamid berkata, pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan wajar berpegang pada status quo PRN Johor 2022.
“Pandangan dan pendirian Veteran UMNO Johor adalah tegas, iaitu berpegang kepada prinsip keputusan PRN yang lepas. Pembahagian kerusi adalah status quo untuk PRN yang akan datang. Jika tidak capai kata sepakat, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dibenarkan bertanding demi menghormati dan menjunjung demokrasi. Kemudian, setelah ada keputusan pilihan raya kelak, barulah berunding untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah yang mahu UMNO menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan tidak melayan polemik PRN.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain menggesa Pakatan Harapan (PH) negeri menetapkan pendirian sama ada akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau bertanding secara solo.
Katanya, perkara itu penting bagi memudahkan perancangan gerak kerja PRN yang dijangka berlangsung seawal tahun depan. Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRN.

UMNO Johor turut menegaskan pendiriannya untuk terus memberi tumpuan kepada usaha membela kebajikan rakyat negeri itu berbanding melayan polemik politik menjelang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, keutamaan parti adalah memastikan segala dasar dan tindakan kerajaan negeri memberi impak langsung kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
“Bangsa Johor mahukan pemimpin yang mendengar, bekerja dan membawa hasil. Bukan hanya sibuk berpolitik tanpa henti. Kami bukan parti musim pilihan raya. Kami parti kerja untuk rakyat, sepanjang masa,” katanya
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain pada Sabtu menggesa agar Pakatan Harapan (PH) Johor segera membuat ketetapan berhubung kerjasama politik bersama BN menjelang PRN. Menurut Md Israk, UMNO Johor di bawah pimpinan Menteri Besar yang juga Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kekal komited dengan agenda Maju Johor tanpa terikut-ikut dengan agenda pembahagian kerusi atau rundingan gabungan politik semata-mata.
“Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa dan desakan keperluan rakyat yang semakin meningkat, kerajaan negeri menumpukan sepenuhnya kepada dasar dan tindakan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan Bangsa Johor. Tumpuan utama ialah memperkukuh pembangunan negeri, bukannya sekadar mengatur strategi politik seperti pembentukan gabungan atau pengagihan kerusi,” ujarnya.
Tambah beliau, sejarah telah membuktikan UMNO Johor konsisten berkhidmat untuk rakyat sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang dan kepercayaan rakyat hari ini adalah bukti kepada keikhlasan perjuangan tersebut.
Pada PRN Johor 2022, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga. Ini menerusi kejayaan BN menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. PH pula menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.