Zyson Kang Zy Sun, pelajar 9 tahun dari Malaysia yang korang kena tahu

Fok

Jika korang masih ingat lagi awal Mei lalu, heboh jugak satu negara bila ada pelajar Malaysia mendakwa dia dah terpilih dalam Top 1% oleh NASA. Dakwaan ni kemudiannya dilaporkan begitu meluas, sehingga tak sampai sebulan lepas tu barulah kami rungkai bahawa pelajar tersebut sebenarnya mungkin kena scam. Walau bagaimanapun, kami percaya anak muda dan mudi Malaysia memang layak dapat pencapaian antarabangsa. Rasa bangga dan menginspirasikan tu tetap wujud.

Kali ni, kami nak kongsikan satu lagi pencapaian besar yang dipegang oleh anak muda Malaysia dan kami rasa personaliti paling muda yang pernah kami tulis kat ORANGKATA. Kisahnya pun ada kena mengena jugak dengan NASA, jadi jom layan dulu artikel ni…

Nst Mars Zyson
Via NST

Kanak-kanak 9 tahun cipta cara nak ‘membuang’ tanpa perlu ke tandas kat angkasa, mungkin boleh diaplikasikan untuk frontliner

Seperti yang kita dah tau, graviti ni antara perkara yang amat penting untuk hidup bagi seseorang manusia. Bila nak berdiri, berjalan atau berlari… gravitilah hukum alam yang memudahkan kita untuk tak jatuh atau terapung-apung di udara. Apatah lagi bila nak ke tandas; tentunya kita akan rasa susah dan tak selesa jika takde graviti untuk ‘menghilangkan’ sisa kita tu agar tak terapung bersama di luar badan kita.

Idea pertandingan NASA Lunar Loo Challenge ni adalah untuk menyelesaikan masalah angkasawan nak ‘membuang’ bila takde graviti. Tentunya sekarang ni, mereka ada sistem tersendiri, namun NASA tetap buka peluang kepada orang awam untuk mencuba selesaikan dilema tersebut. Kot-kotlah sistem tu secara praktikalnya sesuai untuk digunakan terutamanya dalam mikrograviti. NASA Lunar Loo Challenge ni sebenarnya ada 2 kategori, iaitu kategori junior dan teknikal (untuk 18 tahun ke atas).

Zyson Kang Zy Sun, 9 tahun dinobatkan sebagai pemenang cabaran tersebut dan berjaya mengalahkan lebih dari 897 peserta dari 85 negara. Dengan bantuan gurunya, Chong Soo Sheong, idea Zyson ternyata menarik hati para juri cabaran kat NASA. Sejak Jun lalu, Zyson membina modelnya untuk menepati kehendak cabaran tersebut dan menghantar model ciptaannya pada Ogos.

“…Kemudian pada 29 Oktober ni, NASA menjemputnya ke dalam sebuah webinar. Kumpulan NASA kagum dengan (betapa) mudahnya model Zyson. Tandas tersebut tidak perlukan bateri atau bekalan elektrik. Bila (angkasawan) gerakkan kaki, air kencing tersebut akan mengalir ke dalam sebuah bekas yang terdapat dalam but kasut angkasawan.”- Chong Soo Sheong, guru pembantu Zyson Kang Zy Sun, seperti yang dilaporkan New Straits Times

Tambah Chong lagi, model pakaian khas yang dihasilkan oleh Zyson mungkin boleh digunakan untuk tenaga barisan depan khususnya yang terpaksa pakai Personal Protective Equipment (PPE). Bila frontliner dah pakai PPE, mereka dah tak boleh tanggalkan sehinggalah di hujung hari atau dah tak guna lagi. Ni disebabkan PPE tu sendiri menelan kos yang besar, dan oleh tu, kakitangan frontliner terpaksa jimatkan penggunaan PPE kerana atas faktor kebersihan dan keselamatan, ia kena digunakan sekali je.

Zyson Kang
Anak cilik Malaysia, Zyson Kang.. -Via Chinapost

Cakap pasal kejayaan bakat cilik yang berbakat dan pandai belaka, apa khabar Genius@Pintar?

Macam kami dah cakap awal tadi, Malaysia sebenarnya memiliki tenaga muda yang bijak dan bertaraf antarabangsa dah. Malah sebelum ni, kita sendiri dah buat inisiatif yang sepatutnya mengumpul dan menggilap potensi generasi muda yang hebat belaka ni seperti PERMATAPintar (dah jadi Genius@Pintar). Namun begitu,kami rasa kita kena tanya jugak soalan cepu emas ni; apa sumbangan anak-anak di bawah inisiatif Permata Pintar ni?

Bila kita fikirkan balik.. kita tak dengar sangat perkembangan inisiatif sebegini, terutamanya bila ada sorang pengguna Reddit bernama Azri, yang mendakwa dirinya sorang pelajar dalam program PERMATApintar kata tak ramai keluarga bukan Melayu yang tau pun wujudnya program-program gilap intelektual negara. Adakah media Malaysia yang tak peduli sangat, para pelajar di bawah inisiatif tersebut tak menonjol ke ruang awam ataupun program tersebut gagal buat promosi sebaiknya?

Soalan-soalan macam ni perlu dijawab. Setakat ni, kami cubalah jugak cari mana-mana berita lalu yang ada sebut pencapaian anak-anak gilapan Genius@Pintar ni. Izz Imil, sorang kanak-kanak yang menghidapi autisme mampu menyelesaikan soalan-soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat dalam usianya hanya pada 5 tahun. Kecerdasan di usia muda ni mengingatkan kami tentang Adi Putra, jugak sorang jaguh Matematik yang kini mulai luput dalam radar awam.

Dalam perkongsian Azri, dia kata kebanyakan pelajar di bawah Genius@Pintar ni mempunyai masa depan yang cerah untuk diserap ke dalam program ASASI di UKM. Selain tu, mereka guna silibus yang lebih sukar tingkatnya berbanding hanya ikut tahap umur je. Memandangkan mereka jugak cerdas, mereka senang dapat biasiswa dan lebih banyak ambil ujian persediaan untuk belajar di luar negara seperti SAT dan TOEFL.

Ni suatu yang baik untuk mereka, tetapi mendengarkan hal ni jugak membawa kepada soalan lain… jika kebanyakan dari mereka belajar ke luar negara, apa yang dapat membuatkan mereka tertarik kembali untuk pulang semula ke dalam negara? Kerajaan kena tumpukan jugak usaha untuk membawa pulang para pelajar di bawah inisiatif ni agar dapat menyumbang tenaga dan ilmu yang telah dipelajari di luar negara ke dalam negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *