Setelah 4 Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, akhirnya Malaysia bakal mengakhirinya. Walaupun PKP Fasa ke-4 ini belum berakhir, tapi kita dikejutkan dengan pengumuman daripada Perdana Menteri, bahawa aktiviti ekonomi akan dibuka pada 4 Mei. Kami pun pelik kenapa keputusan ini diumumkan secara tiba-tiba padahal PKP Fasa ke-4 ini akan berakhir pada 12 Mei.
Ramai juga netizen yang risau bila PKP dah dilonggarkan, kes COVID-19 akan mencanak naik balik padahal kita dah berjaya flatten the curve. Tapi, seperti yang diucapkan oleh PM, kita tak boleh selamanya berada dalam PKP. Jadi, alang-alang kita dah bersembang pasal pandemik ni, kami nak kongsi sikitlah pasal pandemik yang pernah berlaku sekitar 100 tahun yang lepas.
Spanish Flu, wabak yang membunuh mangsa seluruh dunia lebih tinggi dari Perang Dunia Pertama
Walaupun nama wabak ini ialah ‘Spanish Flu’, tapi wabak ini bukan berasal dari Sepanyol. Pada zaman Perang Dunia Pertama, Sepanyol dilihat sebagai sebuah negara yang ‘neutral’. Jadi, mereka tidak memihak kepada mana-mana blok dunia. Wabak ini dikategorikan sebagai Pandemik kerana kadar kematiannya paling tinggi dalam sejarah dunia iaitu sekitar 50 hingga 100 juta kes. Jumlah ini melebihi kematian akibat Perang Dunia Pertama.
Terdapat beberapa teori tentang dari mana wabak ini berasal, tapi kebanyakan pendapat mengatakan ia bermula dari Haskell County, Kansas, Amerika Syarikat pada tahun 1918. Wabak ini merebak dari kandang babi dan menjangkiti manusia. Simptom yang dialami oleh mangsa yang dijangkiti penyakit ini pula sama seperti selsema, cuma lebih teruk, mangsa akan mengalami demam panas yang teruk.
Bagaimana wabak ini merebak ke seluruh dunia?
Macam yang kita tahu, tahun 1918 adalah zaman Perang Dunia Pertama. Jadi, bila wabak ini menyerang tentera Amerika Syarikat, secara tak langsung bila mereka dihantar berperang ke negara lain, maka tersebarlah wabak ini sehingga mengakibatkan pandemik di seluruh dunia, termasuk Tanah Melayu. Tapi macam mana pula wabak dari kandang haiwan boleh sampai ke kem tentera pula?
Sejarah gelombang pertama wabak ini tak berapa jelas. Tapi apa yang pasti, gelombang pertama ini macam selesema biasa saja. Tak adalah sampai tahap membunuh. Semuanya jadi lebih teruk bila seorang tukang masak di kem tentera jatuh sakit akibat demam panas. Suhu badannya mencecah 39.4 darjah Celcius!
Bila tukang masak ni dah disahkan demam berpunca daripada virus Spanish Flu, jadi ia pun merebak kepada anggota tentera yang lain. Dan dari situlah, bermula Gelombang Kedua Spanish Flu yang lebih dahsyat!
Gelombang Kedua Spanish Flu membunuh dalam masa 24 jam selepas dijangkiti
Hidup di zaman Spanish Flu ini ibarat telur di hujung tanduk. Kalau korang tak mati sebab perang, korang mungkin mati sebab dijangkiti virus dari Spanish Flu ini. Kenapa? Bayangkanlah, hari ini kita sihat walafiat, umur pula masih muda, tak ada penyakit kronik. Tiba-tiba, esoknya, kita selsema sebab dijangkiti Spanish Flu. Tak sampai 24 jam, tanpa rawatan, kemungkinan besar kita akan mati. Secepat itu!
Tapi, masa itu, manalah ada teknologi canggih yang boleh kenal pasti sama ada selesema itu berpunca daripada virus atau tidak. Hanya selepas 10 tahun, baru saintis dapat kenal pasti gejala wabak ini. Simptom Spanish Flu ini bermula dengan demam melepuh, pendarahan hidung, dan akhir sekali, pneumonia. Fenomena daripada simptom-simptom ini dinamakan sebagai ‘cytokine explosion’. Bila tubuh diserang virus, sistem imuniti badan akan mengeluarkan protein cytokine yang mengakibatkan keradangan. Keradangan inilah yang akhirnya menyebabkan kegagalan fungsi paru-paru.
Bukan saja sebab tak cukup peralatan perubatan dan teknologi yang terhad, wabak ini juga semakin ganas apabila pesakit tidak dikuarantin langsung !
Tanah Melayu juga pernah dilanda Spanish Flu, betul-betul pandemik macam hari ni
Seperti yang diterangkan sebelum ini, wabak ini merebak ke seluruh dunia. Jadi, Tanah Melayu juga pernah mengalaminya. Antara mangsa Spanish Flu dalam kalangan kerabat diraja ialah Tuanku Sultan Abdul Jalil Shah, sultan Perak yang ke-29 dan Sultan Zainal Abidin III, sultan Terengganu ke-12.
Di Tanah Melayu, wabak ini mula menyerang di Pulau Pinang sekitar Jun 1918. Kenapa Pulau Pinang? Sebab Pulau Pinang pada waktu itu adalah negeri yang paling rancak dalam aktiviti perdagangan. Kiranya, pedagang akan singgah Pulau Pinang dulu sebelum ke negeri-negeri Melayu yang lain.
Seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today;
Serangan pertama Spanish Flu ini mangsanya hanya cuma puluhan orang penduduk di sekitar Pulau Pinang.
Dalam beberapa minggu Flu ini reda tiba-tiba. Namun orang British ambil mudah, mereka tak tunjukkan ketegasan atau apa jua tindakan drastik seperti ketatkan regulasi kawalan wabak atau menempatkan para doktor dan jururawat ke Negeri Selat.
– Dipetik dari FMT
Lagi teruknya pentadbiran kolonial British pada waktu itu, mereka dah dapat amaran dari gabenor British di Afrika Selatan pasal bahayanya wabak ini. Tapi mereka masih lagi tak ambil serius. Padahnya, seawal Oktober 1918 Spanish Flu serang Pulau Pinang untuk kali kedua dan serangan kali ini lebih dahsyat! Direkodkan seramai 267 orang mati di Hospital Pulau Pinang dalam masa 48 jam.
Serangan itu menyerang, merebak ke serata pelusuk negeri dan kampung membuatkan British tidak mampu untuk mengambil sebarang tindakan proaktif. Spanish Flu menyerang Tanah Melayu selama 41 hari dan mengorbankan hampir 35,000 orang di seluruh Tanah Melayu.
Sejarah Pandemik Spanish Flu dah membuktikan, jangan leka walaupun wabak dah terkawal
Mungkin COVID-19 tidaklah sedahsyat Spanish Flu setakat ini. Tapi, dalam keadaan seluruh dunia belum menemui vaksin COVID-19, tetaplah berwaspada. Kita sebagai rakyat tak mampu buat apa-apa apabila kerajaan dah longgarkan PKP dan para majikan dah menyeru kita pulang ke pejabat. Yang terkandas di kampung, mesti pulang ke bandar, walaupun bandar tersebut masih dalam zon merah.
Jaga diri masing-masing, yang tidak mempunyai kenderaan dan bergantung kepada LRT atau MRT atau kenderaan awam yang lain, pakai topeng muka dan selalulah membasuh tangan. Selamat menempuh pasca PKP. Moga anda semua dilindungi Tuhan daripada COVID-19.