Berita penciptaan vaksin baru-baru ni memberi harapan baharu buat kita susulan cabaran pandemik yang dilihat ramai sebagai ‘merosakkan’ tahun 2020. Sebelum ni kami dah kupas sikit pasal perkembangan vaksin seluruh dunia. Ketika tu, seluruh dunia hanya mampu jadi penonton perlumbaan negara-negara besar cipta vaksin tersendiri.
Lepas melalui ujian klinikal dan ujian ke atas manusia, akhirnya vaksin tersebut dianggap dah selamat untuk digunakan oleh orang ramai. Ni suatu berita baik, memberi sinar bahawa kita akan boleh kembali semula sepertimana gaya hidup kita sebelum pandemik tercetus. Kali ni, kami nak kongsikan perkembangan terbaharu vaksin ni dan bila kita boleh dapat vaksin tersebut.
Dua vaksin yang hangat diperkatakan, melawan virus dengan 95% berkesan
Antara vaksin terkenal sekarang ni adalah vaksin daripada Pfizer dan Moderna. Negara kita kini dilaporkan dah beli vaksin dari Pfizer, jadi ada baiknya kita ambil maklum pasal vaksin tu. Penciptaan vaksin sebenarnya amat sukar dan memerlukan teknologi dan kepakaran yang tinggi. Kedua-dua ni pulak memerlukan dana kewangan yang besar.
Walaupun begitu, Pfizer antara pihak yang berjaya mencipta vaksin yang diharap mampu membantu hentikan penyebaran virus COVID-19. Untuk meningkatkan keyakinan kita terhadap vaksin, kami rasa ada baiknya kalau kita faham dulu bagaimana vaksin Pfizer ni berfungsi. Mengikut artikel pada 8 Disember lalu oleh New York Times, ujian lalu menunjukkan bahawa vaksin Pfizer ni tak mendatangkan kesan teruk kepada kumpulan ujian.
Prinsip utama yang digunakan dalam vaksin Pfizer ni berbeza dengan apa yang dicanangkan oleh kumpulan anti-vaksin. Biasanya vaksin anti-virus ni gunakan virus yang dah mati untuk ‘diperkenalkan’ kepada sistem pertahanan badan supaya antibodi tu kenal dan tau macam mana nak kawal suatu virus yang masuk dalam badan.
Tetapi dalam vaksin Pfizer ni, ia mempunyai data yang boleh ajar badan kita untuk hasilkan protein yang ‘menguatkan’ virus COVID-19. Sistem pertahanan badan kita kemudiannya akan kenal jenis protein macam tu, lalu dapat melawan semula sekiranya ada virus yang masuk ke dalam badan dan cuba paksa sel kita buat protein penting untuk virus tu hidup. Virus tu tak boleh hidup dah bila protein yang dikenalpasti tolong virus tu dimusnahkan oleh antibodi kita.
Antara vaksin Pfizer dan Moderna, mana lebih baik? Buat masa ni, kedua-dua baik. Kedua-dua jugak mempunyai sedikit perbezaan, terutamanya dari segi permohonan had umur, tempoh suntikan kedua dan cara penyimpanannya. Ia jugak didapati efektif tanpa mengira jantina dan kaum. Ni menunjukkan bahawa kepelbagaian demografi kaum dan jantina yang ada dalam negara-negara lain tak jadi masalah untuk vaksin ni berfungsi dengan baik.
Negara-negara lain mula membeli vaksin Pfizer termasuk Malaysia, dijangka tiba pada Februari dan diagihkan bermula tahun depan
Amerika Syarikat dan United Kingdom menjadi antara negara pertama yang menerima vaksin ni. Ada jugak hikmahnya mereka dulu dapat, sebab kita boleh tengok sendiri sekiranya ada apa-apa masalah timbul untuk kumpulan pertama yang terima vaksin ni. Ia dahpun disahkan selamat oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Switzerland, Singapura, Kanada misalnya dah beli vaksin tersebut. Singapura jugak jadi negara pertama di Asia yang bakal terima vaksin tersebut, manakala untuk Malaysia, KKM dan MOSTI positif dengan perkembangan vaksin Pfizer. Sebanyak 12.8 juta dos dah ditempah bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ni secara percuma. 12.8 juta dos ni pulak tak dihantar pada masa yang sama; ia dilakukan secara berperingkat.
Memetik Bernama, penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.
Selain dari pemerolehan vaksin Pfizer ni, kita jugak masih ada perjanjian beli vaksin daripada China. Vaksin ni jugak dahpun dibeli oleh beberapa negara lain seperti Indonesia dan Brazil. Vaksin Sinovac ni turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di Brazil. Untuk Malaysia, perjanjian vaksin Sinovac ni bakal memenuhi keperluan imunisasi 10 peratus lagi rakyat. Walau bagaimanapun, kita masih lagi memantau ketat perkembangan dan keberkesanan vaksin-vaksin yang ada.
https://youtu.be/btwUIahZX3Q
Muhyiddin bukanlah orang Malaysia pertama yang terima vaksin, doktor Malaysia kat UK dah dapat lebih awal
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jugak dilaporkan ‘menawarkan diri’ untuk terima vaksin lebih awal. Ni diikuti dengan petugas barisan depan, seterusnya kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik. Sebelum ni, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menawarkan diri menjadi orang pertama di Malaysia untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
Walaupun begitu, sebenarnya ada je rakyat kita kat luar negara yang dah terima vaksin dan sihat walafiat lepas disuntik. Dr. Zainab Kassim dan Leorita Joseph Henry antara rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai kakitangan perubatan di UK mengakui masih rasa sihat lepas suntikan. UK merupakan negara pertama yang terima vaksin Pfizer pada November lalu.
Bahkan Leorita, penghidap penyakit Lupus kata dia antara kakitangan hospital berisiko tinggi dan didahulukan terima vaksin. Dia turut mempunyai sejarah rawatan kimoterapi disebabkan penyakit tersebut, dan kurang mempunyai sistem imuniti badan yang kuat sebagaimana orang lain. Meskipun dengan keadaan kesihatannya, dia tetap ambil vaksin dan tahap kesihatannya tak terjejas.
Keyakinan rakyat terhadap vaksin amatlah penting untuk dibentuk dan dipelihara supaya kita lebih berjaya mengawal penularan jangkitan ni khususnya kepada kelompok rakyat berisiko tinggi. Terdahulu kami dah tulis sikit pasal geng anti-vaxx yang dah aktif cuba mempengaruhi orang ramai, malah ada antaranya tak percaya COVID-19 tu wujud. Ia suatu yang dikesali dan perlu dibanteras bersama-sama dengan cara yang lebih baik.