Malaysia ada KLUSTER baru Covid-19, ini maklumat yang korang perlu ambik tahu

F1

Semalam kita dapat lihat kes pulih untuk kes Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan peningkatan berbanding kes baru. Semalam, sebanyak 95 kes dah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 3,197 kes atau 59.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Cuma ada 84 kes baru Covid-19 dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 5,389.

Ia adalah perkembangan yang baik untuk Malaysia, cumanya – seperti yang telah diperkatakan oleh Kementerian Kesihatan, korang tak boleh ambik mudah dengan Perintah Kawalan Pergerakan hanya kerana kes dah semakin berkurang. Korang kena terus amalkan penjarakan sosial dan duduk di rumah kalau takde benda penting nak dibuat.

Singapura dah potong Malaysia dari segi jumlah kes, 92 rakyat Malaysia positif Covid-19 di sana

Tujuh rakyat Malaysia jadi sebahagian dari 942 kes baru jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kes di sana sebanyak 5,992. Setelah penambahan tujuh kes baru ni, kini dah ada 92 rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 di Singapura.

Menurut data harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura, dua daripada mereka ada kaitan dengan dua pekerja asing yang dijangkiti di Asrama Tuas View dan Sungei Tengah Lodge. Daripada 942 kes baru, diorang kata 22 kes dalam komuniti: 27 pemegang Permit Kerja yang tinggal di luar asrama manakala 893 pemegang Permit Kerja yang duduk kat asrama.

Selain daripada TTJ Design & Engineering Pte Ltd, Singapura laporkan dua lagi kluster baru iaitu di Homestay Lodge di Kaki Bukit Avenue 3; dan Asrama CDPL Tuas di Tuas South Street 15. Setakat ni, 740 kes COVID-19 telah dibenarkan discaj daripada hospital atau fasiliti isolasi komuniti diorang.

Ada kluster baru dari Indonesia, mujurlah rakyat yang pulang dari luar negara dikuarantin

Kementerian Kesihatan (KKM) dah kesan satu lagi kluster baru babitkan rakyat negara yang baru pulang dari Indonesia. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kata, kluster tu babitkan 43 pelajar yang pulang dari Temboro melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.

Temboro ni merupakan salah satu kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Indonesia.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 34 orang telah dikuarantin di negeri Melaka dan sembilan orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini menunjukkan bahawa tindakan kerajaan untuk mengambil langkah untuk kuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan. Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia,” – Dr Noor Hisham, seperti yang dilaporkan AWANI

Adham Baba
Via HRASIANMEDIA

Jelasnya, ia jadikan jumlah keseluruhan kes positif babitkan mereka yang pulang dari luar negara adalah 65 kes, dengan sebanyak 8,401 sampel dah diambil setakat ini. Selain kes import dari Jawa Timur, KKM juga jelasnya dah kesan tiga kes dari Acheh, Indonesia dan masing-masing satu kes dari Turki dan Kalimantan, Indonesia.

MOSTI pulak cadangkan bina pusat kajian vaksin, langkah persediaan untuk pandemik akan datang

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pulak tengah bincang secara serius kepentingan wujudkan sebuah pusat penyelidikan pembangunan vaksin bagi membolehkan vaksin dikeluarkan dalam negara.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim kata, pembangunan pusat tu dilihat penting bagi menghadapi cabaran penularan sesuatu penyakit berjangkit atau wabak pada masa akan datang.

“Kita pernah ada makmal kajian biotek (bioteknologi) yang maju pada satu ketika dahulu, tetapi barangkali penumpuan tidak diberikan selama ini kerana tidak menjangkakan akan berdepan dengan situasi ini (COVID-19). Dari segi kepakaran pula kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini (biotek) di Malaysia,” – Ahmad Amzad, seperti yang dilaporkan AWANI

Bercakap kepada pemberita selepas lancarkan aplikasi web TanyaDoktor.com di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dia kata kerajaan lihat keadaan terkini dengan wabak COVID-19 yang melanda, benda ni dah jadi keperluan.

Adham Baba
Kami dah pergi lawat website ni, korang boleh pergi tengok.

Ahmad Amzad jugak kata MOSTI dah serahkan geran penyelidikan sebanyak RM50,000 kepada UniSZA untuk bangunkan sebuah sistem penilaian risiko COVID-19 secara dalam talian yang dinamakan ‘COVID-19 Health Risk Assessment And Self Evaluation System’ (CHaSe).

Katanya sistem tu gunakan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) bagi mengesan dan mengurus risiko jangkitan COVID-19, dan buat permulaan ia akan dilaksanakan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UniSZA.

Kita harap rakyat Malaysia yang positif Covid-19 di luar negara dibantu, dan moga vaksin segera ditemukan

Kita tak akan dapat hidup normal sehingga vaksin Covid-19 dapat ditemukan. Untuk mencipta vaksin, ia bukanlah sesuatu yang mudah, dan memerlukan proses yang panjang. Ketika ini, ada beberapa jenis vaksin yang sedang diuji; dan selagi ujian klinikal yang perlu masa yang panjang tak diluluskan, kita kena tunggu. Logik jugak apa yang MOSTI ni cadangkan, buka satu pusat untuk kajian terhadap vaksin dilakukan.

Kita jugak sedih apabila dengar ada rakyat Malaysia yang positif Covid-19 di luar negara, sebab kalau kat Malaysia – kita tahu fasiliti dan rawatan kesihatan dalam menangani Covid-19 adalah di antara yang terbaik di dunia. Moga-moga diorang segera sembuh dan akan diberikan bantuan, jika perlu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *