Pepatah Melayu ada mengatakan berani kerana benar, takut kerana salah – saya fikir pepatah ini menjadi pegangan hidup Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor apabila berhadapan apa jua situasi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat Sanusi merupakan ahli politik yang paling lantang bergaduh di media sosial. Dia tidak kisah siapa lawannya – dari Tengku Mahkota yang membelanjanya sejambak bunga dan McDonald’s, sehinggalah rakyat biasa yang melaporkan Sanusi bersiar-siar dengan Ford Raptor ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – semua ingin dibantainya. Malangnya, Sanusi bukan sahaja berani ketika dia benar, dia juga berani ketika memfitnah. Akibatnya, baru-baru ini dia telah diarahkan membayar RM120,000 kepada Datuk Wira Mahfuz Omar berhubung saman fitnah.
Perikatan Nasional ketandusan tokoh
Semua tindakan yang dilakukan oleh Sanusi bukanlah sesuatu yang mengejutkan, lebih-lebih melihat Perikatan Nasional (PN) yang ketandusan tokoh pemimpin yang berkualiti. Apabila anda tidak mampu melahirkan pemimpin yang berkualiti, selalunya akan lahir pemimpin-pemimpin yang bising dan gemar menang sorak – umpama tin kosong. Saya berpandangan sikap Sanusi ini telah menjadi ‘kiblat’ kepada pergerakan kempen-kempen PN menjelang pilihan negeri tidak lama lagi. Kita dapat lihat ramai pemimpin-pemimpin PN bising dan melakukan aksi retorik – tanpa ada apa-apa hujah konkrit atau idea-idea bernas. Lihat sahaja di Parlimen, apabila pemimpin PN berhujah, sukar untuk kita mencari apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh mereka.
Walaupun Sanusi ini terkenal dengan sikapnya yang gemar berkata dusta, popularitinya tidak boleh diambil remeh. Pada era digital, kebenaran sesuatu hal tidaklah sepenting bagaimana hal itu disampaikan. Berita palsu yang berkali-kali diulang selalunya akan dilihat sebagai kebenaran oleh sesetengah kumpulan masyarakat. Saya percaya hakikat ini yang menyebabkan gelombang hijau berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15. Perikatan Nasional berbelanja besar dalam kempen media sosial mereka dengan fakta-fakta yang kurang tepat atau ‘misleading’, tetapi diulang berkali-kali di pelbagai platform media sosial. Akhirnya, ada segmen pengundi yang mengambil hal-hal tersebut sebagai sebuah kebenaran.
Berhadapan dengan Sanusi, anda tidak boleh masuk ke kolam permainannya. Ia umpama ingin melawan siapa paling Islam apabila berhadapan dengan PAS, anda tidak akan menang. Saya ingin memuji apa yang telah dilakukan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi apabila berhadapan dengan serangan Sanusi berhubung dengan pengurangan jumlah Tanah Rizab Melayu di Kedah. Ketika membaca hujah Sanusi yang membandingkan luas Tanah Rizab Melayu Kedah pada tahun 1933 sebagai perbandingan, saya gagal menahan ketawa – barangkali dia boleh mengambil perbandingan ketika zaman kerajaan Kedah Tua, memandangkan ia di antara kerajaan tertua di Tanah Melayu.
Ketika menjawab isu ini, Nik Nazmi tidak beremosi atau bermain ‘petty politics’, melainkan datang dengan data yang dibekalkan kepada kementeriannya. Strategi seperti ini perlu diikuti oleh kerajaan sekiranya mereka ingin menang melawan pemimpin seperti Sanusi. Sudah tentu penyokong Sanusi akan cuba memutarbelitkan fakta, tapi pada akhirnya kita ingin memastikan kelompok atas pagar tidak terpengaruh dengan pemimpin yang hanya tahu bersorak kosong.
Apabila kita berhadapan dengan individu yang dahagakan perhatian, hal yang paling mudah boleh dilakukan adalah tidak membuang masa memberikan seseorang itu perhatian. Bergaduh dengan Sanusi hanya membuang masa dan membantu objektifnya untuk mendapat liputan yang meluas. Tindakan beberapa pemimpin politik mengheretnya ke mahkamah adalah tindakan yang lebih baik – memandangkan mahkamah memutuskan sesuatu berdasarkan fakta bukan auta.
Kita perlu pemimpin yang lebih baik
Rakyat memerlukan pemimpin yang bukan sahaja vokal, tetapi mampu membawa idea dan perubahan kepada negara. Sudah menjadi lumrah, sesebuah masyarakat memerlukan ‘hero’ untuk disanjung dan diberikan sokongan. Malangnya, rasa dahaga untuk mendapatkan ‘hero’ sering membuatkan kita beranggapan mereka yang datang dengan keberanian semata-mata adalah orang yang membawa kebenaran. Sanusi dalam beberapa kes mahkamahnya telah membuktikan bahawa keberanian kadang-kadang dibungkus dengan fitnah dan propaganda.