Pengeluaran simpanan KWSP, sebenarnya kita ada masalah yang lebih parah

F1
Pengeluaran simpanan KWSP, sebenarnya kita ada masalah yang lebih parah

Selepas orang ramai dah naik bengang dan mendesak kerajaan, akhirnya diorang kata dah sedia untuk kaji saranan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang pekerja (KWSP) untuk bantu rakyat yang berhadapan dengan situasi yang menekan. Pengumuman ini berbeza dengan apa yang dikatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiga hari lepas – dia kata rakyat tak boleh keluarkan wang simpanan KWSP kerana ia merupakan wang untuk persaraan.

728 X 90

Kebanyakan rakyat Malaysia menghabiskan semua gaji mereka, mengapa ini berlaku?

Sebelum kita bahaskan mekanisme yang perlu kerajaan ambik dalam isu simpanan KWSP ini, elok kita bincang tentang akar kepada permasalahan wang simpanan rakyat Malaysia. Lebih-lebih wang simpanan untuk digunakan pada waktu-waktu kecemasan.  Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2019 dengan kerjasama Visa dedahkan sebanyak 43% rakyat di negara ini membelanjakan semua pendapatan mereka. Diorang tak simpan satu sen pun.

Menurut kajian yang sama, 3 daripada 4 rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 di akaun bank mereka. Memang tak adil untuk kita katakan semua orang yang takde simpanan mengamalkan hidup yang bergaya, walaupun papa kedana. Masih ada keluarga yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada gaji bulanan tanpa ada ruang untuk menyimpan.

Hakikat ini masih berlaku disebabkan beberapa faktor – kadar gaji yang rendah, kenaikan gaji tahunan yang perlahan dan eksploitasi buruh. Kajian tentang penduduk PPR di sekitar Kuala Lumpur pada 2018 memperlihatkan mereka yang datang daripada keluarga yang susah selalunya bekerja lebih lama berbanding purata waktu bekerja setempat.

Bnm Pay Per 1k Chart
Rakyat Malaysia dibayar rendah berbanding negara lain. Via Bank Negara

Walaupun bekerja dengan lebih masa, gaji mereka masih terlalu kecil untuk membolehkan mereka menyimpan. Taraf pendidikan yang rendah menyebabkan kumpulan ni kerap dieksploitasi oleh majikan dengan bayaran yang rendah dan takde caruman KWSP atau Perkeso. Akhirnya mereka menjadi individu yang bergaji rendah, tiada wang simpanan – dan lebih teruk, tiada jaringan keselamatan sosial dan simpanan persaraan.

Pandemik Covid-19 “mengkantoikan” masalah pasaran buruh kita yang sebelum ini kebanyakan ahli politik cukup ‘malu’ untuk bercakap tentangnya.

Menilai seseorang hanya melalui harta benda yang mereka miliki dalah mentaliti yang salah

Kemudian, bagi mereka yang memiliki ruang untuk menabung pula, mereka sering hanyut dengan permainan materialistik yang menjadi kiblat kebanyakan masyarakat kita pada hari ini. Akibat terlalu yakin dengan kestabilan kerja dan kesihatan diri, ada segelintir yang gemar menghabiskan wang dengan berhutang pelbagai bentuk harta benda – yang selalunya mereka tidak perlukan.

Telefon pun mestilah ada gaya. Via Giphy

Mentaliti masyarakat seperti ini harus diubah, keberjayaan seseorang tidak boleh dilihat semata-mata dengan kereta apa yang mereka guna, atau sebesar apa tandas rumah yang mereka miliki. Oleh sebab tu, program literasi kewangan harus diperbanyakkan dan wajib bermula di peringkat sekolah.

Pendidikan formal di Malaysia takde subjek khusus yang mengajarkan pelajar untuk mengurus kewangan secara berkesan. Kelompangan ini sering diambil oleh “money guru” yang mengenakan bayaran yang tinggi dan ada sesetengah mereka terkenal dengan skim penipuan. Akibat masalah yang wujud sejak zaman-berzaman ni – kita harus menghadapi cabaran rakyat kehabisan wang simpanan dan kehilangan sumber pendapatan.

Mekanisme pengeluaran simpanan KWSP harus diperhalusi dengan lebih teliti

Salah satu cara untuk memberi pelegaan kepada masalah ini adalah pengeluaran wang KWSP dalam jumlah tertentu. Sebelum semua hal ini dilaksanakan, ada beberapa hal yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan. Salah satunya menubuhkan sebuah entiti bebas untuk meneliti mekanisme pengeluaran. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah dengan semata-mata bergantung kepada sentimen emosi semata-mata.

Entiti yang perlu diketuai oleh ahli profesional ini perlu datang dengan kajian mekanisme dan impak terhadap keputusan ini. Apa jua kaedah yang digunakan dalam pengeluaran simpanan KWSP, perlu dipastikan wang yang dikeluarkan adalah untuk tujuan kelangsungan hidup, bukan untuk pembelian hal yang tidak perlu.

Selepas itu, perancangan untuk meningkatkan simpanan tersebut harus difikirkan. Cara yang paling mudah adalah meningkatkan kadar caruman bagi pihak majikan atau meningkatkan tempoh perkhidmatan selepas keadaan ekonomi pulih. Sudah tentu ia akan mendatangkan kesan sampingan seperti rungutan majikan dan hujah peningkatan umur persaraan akan menyebabkan kekosongan pekerjaan semakin berkurang.

Semua ni kerajaan kena fikirkan. Kalau kami yang kena fikir, baik kami yang jadi kerajaan. Via Giphy

Semua persoalan ini perlu difikirkan oleh kerajaan yang digajikan oleh rakyat. Covid-19 memperlihatkan masalah yang berlaku secara sistematik di Malaysia. Walaupun kita gusar dengan keadaan yang sedang berlaku, ia adalah peluang untuk kita membetulkan masalah yang telah lama ada. Peluang untuk menjadikan negara kita lebih baik ini tidak sepatutnya dilepaskan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top