Sejak tahun lalu, Covid-19 menjadi salah satu cabaran besar kepada kita. Dari segi kesihatan awam, kita melihat sendiri bagaimana hospital dan klinik terbeban dengan peningkatan kes hari demi hari. Laporan kes jugak sentiasa jadi topik hangat, dan seringkali jadi kayu ukur masyarakat kepada keberjayaan sesebuah kerajaan untuk kawal penularan penyakit berjangkit ni.
Covid-19 jugak membawa pelbagai pengalaman. Untuk anggota barisan depan, diorang terdedah kepada risiko semasa berkhidmat menjaga pesakit Covid. Untuk anggota masyarakat yang biasa pulak, ada yang kehilangan hampir seluruh keluarganya akibat Covid-19. Ada jugak yang tengah menderita sakit, dan masih lagi mengalami kesan berpanjangan daripada Covid-19. Bak kata peribahasa Melayu, malang tak berbau.
BegituĀ jugaklah Covid-19; kita tak sedar sangat sehinggalah kita dah ada gejala. Kali ni, kami nak kongsi pengalaman salah sorang sumber kami (Cik N, bukan nama sebenar) tentang pengalamannya menjadi pesakit Covid-19. Pengajaran paling besar baginya adalah, lebih baik mencegah berbanding mengubati.
Sakit Covid-19 tak semestinya ada gejala berpanjangan, tiba-tiba je dah disahkan positif
Sangkaan ramai, bila dah terjangkit Covid-19… mesti ada gejala. Sebenarnya ada je yang disahkan positif Covid, awalnya takde gejala pun atau sekejap je demam. Paling tak, gejalanya hanya berlangsung sehari dua je sehingga korang pun boleh salah sangka bahawa korang cuma demam biasa. Itulah yang berlaku kat salah sorang ahli keluarga sumber kami. Pada mulanya, dia kata bapa dia pulang dari kerja… dah demam.
Demamnya tak seteruk mana pun. Bapanya berusia 56 tahun, dah ambil vaksin Pfizer. Nampak seperti demam biasa je pun, ada batuk sikit, ada selesema sikit. Lepas hari keempat tu, bapanya dah sembuh macam sediakala. Kemudian, ibunya yang berusia 50 tahun dah rasa sakit tekak. Dah gatal tekak. Ibunya jugak penerima vaksin Pfizer, dan merupakan sorang pesakit berisiko tinggi kerana ada diabetes (kencing manis) dan darah tinggi.
Pada hari yang sama ibunya dah sakit tekak, Cik N jugak rasa sakit tekak dah. Rasa seolah macam nak demam biasa je. Sehari lepas tu,Cik N rasa lemah badan je. Dah nak naik demam, panas dah rasa kepala tu. Dia telan ibuprofen, katanya dia alergik pada paracetamol. Cik N ni berusia 27 tahun, sihat walafiat takde penyakit berisiko tinggi dan penerima dos pertama Sinovac. Adik Cik N pulak berusia 22 tahun, jugak penerima dos pertama Sinovac dan takde penyakit berisiko tinggi. Ibu diorang dah demam, tetapi masih kuat bekerja untuk keluarga. Bapanya dah nampak ceria dan kuat. Sedikit batuk, namun takdelah rasa lemah badan sangat. Benar-benar nampak seperti demam biasa je.
Kemudian, bapa Cik N ni mencadangkan agar ibu Cik N yang tengah demam tu buat ujian PCR (swab test) melalui OSHA di tempat kerjanya. Ibu Cik N merupakan anggota petugas barisan depan, jadi tentulah risiko ia bukanlah demam biasa tu masih ada. Untuk dua hari, ibu Cik N dah ada gelang putih dan diarahkan agar kuarantin diri kat rumah. Pada hari ketiga tu, barulah hasil ujian mendapati ibu Cik N positif Covid-19. Sekarang ni, Cik N tengah demam dan batuk takde kahak, sama seperti adiknya. Bapa Cik N dah siap pakai topeng pelitup muka kat dalam rumah, sementara Cik N hanya berehat di biliknya dan terus bergantung pada ubat Ibuprofen yang ada.
Lepas tu pada hari kelima, tiba-tiba bapa Cik N dikejutkan dengan berita bahawa dah ada 9 orang di bangunan tempat kerjanya disahkan positif Covid-19. Laporan yang dikutip mengesahkan bahawa dah ada kluster kat tempat kerja bapa Cik N. Lalu bersegeralah bapa Cik N melapor diri untuk diuji PCR – hasilnya, positif. Bapa Cik N terkejut kerana dia benar-benar rasa tu macam demam biasa je. Simptomnya tak seteruk apa yang digambarkan oleh media. Khabar ni sampai ke telinga Cik N yang tengah demam.
Ketika tu, dah hari ketiga Cik N demam. Adiknya pulak cuma batuk je. Sahlah bahawa Cik N ni pun berkemungkinan besar turut positif Covid-19. Pada hari yang sama, dia dah hilang deria hidu dan rasa. Makanan dah tak rasa apa-apa, manakala Cik N jugak tak terhidu bau apapun walaupun hidungnya tak tersumbat. Batuknya masih kurang kahak, dan mulalah simptom lain seperti sakit kepala dan diarhea.
Adiknya pulak takde simptom hilang deria rasa dan bau. Demam pun tak sampai tiga hingga empat hari. Mungkin jugak hal ni disebabkan oleh antibodi adik Cik N yang sedikit kuat daripada Cik N. Salah satu suplemen tambahan yang menjadi genggaman Cik N adalah vitamin C. Kebetulan pada ketika tu, khabar bahawa Ivermectin boleh jadi ubat penyembuh masih lagi hangat diperkatakan ramai. Dengan sedikit carian, rupanya Ivermectin masih belum sesuai untuk kegunaan manusia dan masih lagi di peringkat kajian. Cik N dah tak terlalu fikirkan Ivermectin dan terus fokus nak ambil ubat-ubat biasa je.
Simptom yang dialami oleh seseorang mungkin tak sama dengan seseorang pesakit yang lain. Menyedari betapa sengsaranya sakit Covid-19 ni, Cik N mengakui dia dah faham bagaimana orang muda khususnya yang tinggal sorang, takde ubat dan takde vaksin boleh sakit teruk hingga terpaksa dikejarkan ke hospital. Bahkan ada jugak yang terpaksa dikejarkan ke ICU, walaupun awalnya dia bukanlah orang yang berisiko tinggi dan masih muda. Sedangkan orang muda pun boleh rasa sengsara sangat dengan sakit Covid-19, apatah lagi warga tua yang ada risiko dan komplikasi. Ibu Cik N yang berisiko tinggi tu dah dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.
Mysejahtera main peranan, jadi rujukan utama buat pesakit Covid-19
Aplikasi Mysejahtera dah maklumkan bahawa Cik N adalah kontak kasual tak bergejala. Tanpa ada pantauan dari pihak berkuasa, ternyata Mysejahtera hanya bergantung kepada data lokasi yang melaporkan lebih dari 9 kes dalam radius 1km dari tempat kediaman Cik N. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) hanya memanggil Cik N dan adik untuk buat ujian PCR (swab test).
Tak seperti ibu dan bapa sumber kami ni, keputusan diorang hanya dikemaskini menerusi aplikasi Mysejahtera selepas dua hari takde khabar daripada PKD. Sah, diorang positif Covid-19. Cik N masih lagi demam, batuk, hilang deria rasa dan bau, diarhea, sakit kepala, susah bernafas, gatal tekak dan rasa lemah badan. 38.2 celcius, sewaktu ibu Cik N periksa suhu badan Cik N.
Mysejahtera mengemaskini semula status Cik N kami dan adik, daripada kontak kasual menjadi ‘Confirmed Case’, atau kes yang disahkan. Daripada putih biru, ia bertukar menjadi merah dan terkemaskinilah status tersebut kat depan profil Mysejahtera tu. Ni memudahkan orang ramai khususnya para ‘pengawal’ keluar masuk sesebuah premis untuk lebih berhati-hati sekiranya ada pesakit positif Covid-19 ni cuba bergerak masuk ke dalam komuniti. Boleh jadi tu jugak antara sebab berlakunya jangkitan sporadik, yakni dimana orang tu tak tau dah sumber asal dari mana atau siapa yang dia terjangkit.
Mysejahtera turut mempunyai ciri seperti pemeriksaan kendiri tentang simptom-simptom untuk sesiapa yang ada kontak dengan pesakit Covid-19. Cik N setia menjawab persoalan yang dikemukakan dengan jujur, berharap perkara ni akan memudahkan dirinya nanti bila pihak KKM nak bawa dia untuk rawatan lanjut sekiranya perlu. Simptom dah semakin pulih, sehinggalah pada hari ke-14, dia tak rasa sesak nafas.
Demam Cik N dah kebah pada hari keenam, namun simptom lain masih lagi berpanjangan. Selain tu, polisi PKD jugak penting dalam urusan pengawalan penyakit. Bapa Cik N dah dibawa ke Covid-19 Assesment Centre (CAC), dimana para pesakit akan diperiksa kesihatan untuk ditentukan sama ada pesakit tu cukup sihat ke tak untuk dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Cik N dan adiknya masih lagi di bawah arahan kuarantin kat rumah. Arahan ni dikemaskini jugak dalam Mysejahtera, beserta tarikh mula dan tarikh akhir tamatnya kuarantin di rumah. Ikut polisi awal PKD negeri Cik N, para pesakit akan dihantar ke PKRC jika cukup sihat manakala sekiranya perlukan rawatan, akan diletakkan di pusat rawatan lain atau ke hospital utama.
Akan tetapi, polisi terbaharu negeri menyatakan para pesakit kini hanya perlu kuarantin di rumah dan tak perlu dihantar ke PKRC khususnya daripada daerah yang jauh dari daerah terletaknya PKRC. Cik N dan adiknya tak dipanggil ke PKRC, sebaliknya hanya dipanggil ke CAC untuk diperiksa kesihatan diorang dan dilepaskan daripada arahan kuarantin di rumah. Gelang putih diorang pun kena potong kat CAC oleh para doktor yang periksa diorang.
Mengikut perkongsian khabar Cik N, dia masih lagi alami batuk dan sedikit sukar untuk melakukan kerja fizikal yang terlalu berat tanpa rasa semput. Ibu Cik N dah stabil, disahkan sihat untuk kembali ke rumah dan begitu jugak dengan bapa Cik N. Adik Cik N jugak dah sihat kembali, dengan sedikit batuk. Cik N cukup bersyukur bila ahli keluarganya dapat pulang semula ke rumah, sementara ramai lagi keluarga lain yang pergi mendapatkan rawatan dan tak dapat kembali lagi ke rumah.
Vaksin mengurangkan risiko simptom semakin teruk. Ubat-ubatan pulak, berjaya bantu antibodi dalam badan diorang untuk terus melawan virus Covid-19. Doa daripada keluarga dan rakan taulan jugak membantu diorang untuk terus kuat menghadapi Covid-19. Cik N berpesan sekali lagi, bahawa mencegah lebih baik dari mengubati. Bila dah sakit, kesannya boleh berpanjangan dan masih lagi menganggu kualiti hidup korang. Cegahlah dengan terus menjaga penjarakkan fizikal, banyakkan bersihkan tangan sama ada dengan sabun atau sanitizers serta jangan leka sehingga hilang pelitup muka tu. Sekali dah positif, kontak rapatlah yang turut terkena tempiasnya.