Media sosial telah mencipta revolusi dalam dunia komunikasi dan mempengaruhi pelbagai bidang termasuk politik. Politik Malaysia tak terkecuali daripada impak media sosial. Kami akan bincangkan impak media sosial terhadap politik Malaysia serta beberapa perubahan kaedah propaganda dan kempen jelas kelihatan sejak kebelakangan ini.
Media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan platform lain telah jadi saluran komunikasi yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Buat masa ini, orang ramai lebih gemar menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat dan medium untuk berinteraksi dengan orang lain. Ini termasuklah dalam perihal politik, yang mana media sosial telah membuka pintu kepada penyampaian maklumat, penglibatan awam, dan perbincangan politik yang lebih meluas.
Kami yakin ramai yang setuju sekiranya kami kata salah satu impak utama media sosial dalam politik Malaysia adalah memberi suara kepada rakyat. Media sosial membolehkan rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka dan berkongsi pandangan politik secara terbuka.
Situasi ini mampu membuatkan orang-orang yang sebelum ini tidak memiliki platform untuk menyuarakan pandangan dan kritikan mereka. Dengan adanya media sosial, pendapat dan kritikan politik dapat disebarluaskan dengan cepat dan secara meluas, memberikan tekanan kepada pemimpin politik dan pihak berkuasa untuk lebih bertanggungjawab.
Selain beri suara kepada rakyat, media sosial turut mainkan peranan penting dalam pilihan raya dan kempen politik. Parti politik dan calon-calon kini menggunakan media sosial sebagai alat untuk menghubungi pengundi. Mereka hasilkan kandungan khusus dan menggunakan strategi pemasaran digital untuk meningkatkan jangkauan dan keberkesanan kempen mereka.
Penggunaan media sosial dalam politik dah berikan platform yang lebih interaktif dan terlibat kepada pengundi, dengan adanya ruang untuk berinteraksi dengan calon dan parti politik secara langsung.
Fenomena kempen media sosial terutama Facebook dan Twitter kita boleh lihat pada PRU14, apabila kerajaan Barisan Nasional kalah buat kali pertama. Media sosial menjadi tumpuan sebagai ‘pusat maklumat’ rakyat Malaysia. Ketika PRU14, kempen maklumat berlaku pantas, berita demi berita disebarkan mengenai suasana dan isu semasa di seluruh negara.
Mereka tahu dan arif betapa kuatnya media sosial untuk meraih sokongan pengundi serta bagaimana ia boleh mencorakkan pendapat awam ke dalam bentuk bilangan ‘likes’ dan ‘shares’ yang kemudian boleh menjadi undi.
Hampir semua parti politik ketika itu memiliki ‘page’ tersendiri, seperti juga calon yang bertanding, selain kandunganan debat manifesto antara parti serta emosi penyokong dan pengundi dimuat naik segera dalam Facebook.
Kita sudah capai ke satu tahap di mana calon politik telah matang dalam penggunaan platform media sosial untuk hujahan politik. Pada PRU15 pula, kita sudah lihat kempen media sosial lebih kompleks apabila ia melangkui media sosial dengan penglibatan algoritm dan kecerdasan buatan. Data analisis semakin penting untuk kempen-kempen propaganda.
Cuma, impaknya media sosial dalam politik Malaysia turut membawa impak negatif. Salah satu cabaran utama adalah penyebaran maklumat palsu atau ‘fake news’. Media sosial membolehkan penyebaran berita palsu dengan cepat dan meluas, dan ini boleh mempengaruhi proses politik serta kestabilan negara. Kebimbangan mengenai kesahihan maklumat dan pemahaman yang tak seimbang boleh mengelirukan pengundi dan mencetuskan ketegangan sosial.
Media sosial juga boleh jadi platform untuk perpecahan politik dan perbahasan yang tak sihat. Komen-komen berbaur perkauman, penyebaran kebencian, dan retorik politik yang kasar sering kali berlaku dalam ruangan maya. Ini boleh mencetuskan ketegangan antara kumpulan etnik dan agama, dan menghalang usaha pembangunan negara yang bersepadu.
Dalam usaha untuk mengatasi cabaran ini, penting untuk menerapkan literasi media dan kesedaran siber. Rakyat Malaysia perlu dididik mengenai cara mengenal pasti dan menyaring maklumat palsu serta menggalakkan penggunaan media sosial yang bertanggungjawab dan beretika. Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya untuk mengawal penyebaran berita palsu dan memerangi isu-isu kebencian dalam ruang siber.
Media sosial telah memberi impak yang besar terhadap politik Malaysia. Ia telah memberi suara kepada rakyat, mengubah cara kempen politik dijalankan, dan membuka ruang perbincangan yang lebih luas. Cuma seperti yang kami katakan tadi, kita perlu menghadapi cabaran yang datang dengan perkembangan ini dan memastikan media sosial digunakan dengan bertanggungjawab dan berkesan.