Isu ahli Parlimen lompat parti, Azalina dan Nik Nazmi kongsi pandangan yang sama

f1

Ketika krisis politik di negara kita berlaku sekali lagi, ada satu nama yang betul-betul menonjol kerana sikap professional yang dia tunjukkan. Siapa lagi kalau bukan bekas Timbalan Speaker dan juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said. Siap ada seruan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan peranan yang lebih besar kepada Datuk Seri Azalina Othman Said, iaitu sebagai Speaker Dewan Rakyat.

728 X 90

Seruan ini dilakukan oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengatakan reformasi sistem demokrasi mesti bermula dari Parlimen dan tak salah sekiranya Ismail Sabri melantik Azalina. Shabery Cheek berpandangan Parlimen yang kita lihat sekarang memerlukan banyak pembaharuan untuk menuju ke satu tahap baharu bagi meletakkan Parlimen kita ke kelas dunia.

Apa yang kita lihat hanyalah perbahasan di Dewan utamanya, walhal bagi pembuat undang-undang, sepatutnya lebih banyak kerja-kerja di peringkat lebih kecil tetapi mendalam misalnya kerja-kerja di pelbagai peringkat Jawatankuasa Parlimen atas sesuatu hal. Perlunya ada pendengaran awam terhadap sesuatu dasar yang memerlukan pemurnian yang lebih halus. Semuanya ini memerlukan seorang ketua Parlimen yang dinamik, seorang demokrat dan tidak mudah tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak.

Azalina berpandangan wakil rakyat yang telah menjadi katak perlu dipecat kerana khianat mandat

Azalina menunjukkan sikapnya yang benar-benar mendukung demokrasi apabila dia mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat melompat parti. Katanya ‘recall election’ merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti.

4
Azalina. Via Yahoo News

Apabila hal ini dilaksankan ia akan membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat baharu. Ini merupakan beberapa ciapannya:

1. Apa itu Akta Mencegah Lompat Parti?

Akta Mencegah Lompat Parti adalah undang-undang yang akan menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat (pengundi) sewaktu pilihan raya daripada ‘melompat dengan kerusinya’ ke parti politik lain selepas menang kerusi pilihanraya tersebut. Pada masa ini, tidak ada undang-undang yang mencegah seseorang itu dari melompat ke parti politik yang lain kerana hak ini dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.

2. Kenapa lompat parti sesuatu sikap yang tidak profesional?

Perbuatan ini mengganggu imbangan kuasa wakil rakyat (ahli Parlimen) di Dewan Rakyat yang membuat undang-undang, kelangsungan kerajaan dan Demokrasi Berparlimen.

3. Apakah akibat lompat parti yang paling besar di Malaysia?

Ibaratkan lompat katak yang sentiasa lompat tidak kira masa dan tempat, lompat parti wakil rakyat menjadikan politik kucar kacir dan kepentingan rakyat diabaikan.

gur
Via DG

4. Apakah contoh jenis cara kejadian lompatan parti?

a) Tinggalkan parti politik atau dibuang dari Parti tersebut.

b) Parti Politik tersebut diharamkan atau dibuang pendaftarannya.

c) Tidak ikut cakap atau arahan parti politik dan mengambil pendirian sendiri di dalam keputusan mengundi dalam Dewan Perundangan.

5. Apakah Objektif Akta Mencegah Lompat Parti?

a) Untuk memelihara semangat demokrasi dengan mengelakkan mandat rakyat digadai untuk kepentingan pelompat dan biar rakyat menentukan sama ada pelompat boleh kekalkan kerusinya.

b) Untuk mengurangkan kejutan kepada keseimbangan kuasa dan kemelut antara semua parti Politik.

6. Apakah salah satu cara untuk menghalang Lompatan Parti ini?

Salah satu kaedah yang boleh diambil dalam Akta Mencegah Lompat Parti ialah memperkenalkan pilihan raya untuk memecat wakil rakyat’ (Recall Election). Recall Election merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti, dan pilihan raya kecil akan diadakan semula di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat baru.

7. Apakah itu Pilihan Raya Bermandat untuk Parti (Elections with Mandate for Parties)?

Pilihan Raya Bermandat untuk parti adalah satu mekanisme di mana rakyat akan mengundi berdasarkan pilihan parti politik dan bukannya individu. Parti akan memenangi kerusi berdasarkan peratusan keseluruhan undi yang diperolehi. Ini perlukan perubahan sistem pilihan raya.

8. Apakah yang dimaksudkan dengan Confidence & Supply Agreement?

Confidence & Supply Agreement (Perjanjian Percaya dan Pembekalan) merupakan satu persetujuan yang di buat antara pihak kerajaan (biasanya kerajaan minoriti) dan pembangkang, di mana pembangkang bersetuju untuk menyokong kerajaan atau sekurang-kurangnya berkecuali atas undian kepercayaan, ketidakpercayaan, belanjawan dan penerimaan titah raja.

9. Apakah itu Pemerkasaan Blok Pembangkang dan Ahli Parlimen Kerajaan Bukan Menteri (Empowerment of Oppositions and Government Backbenchers)?

la merupakan satu usaha untuk memperkasakan dan menjaga kepentingan wakil-wakil rakyat yang bukan dari kalangan menteri kabinet dan timbalan menteri untuk memastikan wakil-wakil rakyat ini tidak melompat parti atas janji untuk diberikan pangkat dan harta.

Nik Nazmi mengatakan wakil rakyat tidak boleh dibiarkan menjadi katak melainkan dia meletakkan jawatan

Semangat reformasi dan pembaharuan ini turut dikongsi oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, apabila dia mengatakan perlunya untuk mengembalikan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap fungsi demokrasi negara setelah krisis politik yang bermula dari Februari 2020 hingga ke hari ini. Isu lompat parti harus segera ditangani. Di negara kita, sistem pilihan raya kita tidak membezakan undi di antara calon atau parti politik.

Disebabkan hal ni Nik Nazmi merasakan Ahli Parlimen yang ingin melompat parti tidak boleh dibenarkan melakukannya kecuali dia meletakkan jawatan dan kembali bertanding di kerusi mereka di bawah parti baharu atau bebas. Pengundi kemudian diberi pilihan untuk mengekalkan calon yang telah lompat ataupun tidak. Ini pernah berlaku ketika Shahrir Samad, semasa krisis UMNO pada tahun 1988 melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, dan memenangi kerusi itu secara bebas, yang pada dasarnya menandakan bahawa kawasannya menyetujui pengunduran dirinya. (Shahrir bergabung semula dengan UMNO setahun kemudian).

Ketika ini Perlembagaan Persekutuan dan negeri telah dipinda dengan melarang wakil rakyat yang meletakkan jawatan untuk bertanding di dalam pilihan raya selama lima tahun. Hal ini perlu diperhalusi.

Kita dapat melihat bagaimana ahli politik rentas parti ingin satu dasar yang lebih progresif untuk membendung katak-katak daripada melompat parti. Kami percaya sekiranya kita perkenalkan akta lompat parti dengan segera, kita akan mendapat kerajaan yang lebih stabil – lebih-lebih lagi kalau kerajaan yang menang tu memiliki majoriti yang tipis, seperti kerajaan kita pada hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *