Isu penubuhan KKDW di Sabah, penyokong GRS tak setuju

f1 min (13)

Kerajaan Pusat sentiasa beri keutamaan peruntukan kepada Sabah, yang disalurkan bukan sahaja menerusi agensi-agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), tetapi juga menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) serta Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pada tahun ini RM15.49 bilion atau 20 peratus daripada RM7.43 bilion peruntukan Pembangunan KKDW di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 telah diperuntukkan kepada Sabah.

“Bagi daerah Kinabatangan, KKDW juga telah memperuntukkan RM77.35 juta bagi tujuan pembangunan termasuk untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan serta utiliti desa. Saya juga difahamkan ada keperluan banyak untuk ‘tong biru’ di Kinabatangan ini, nanti saya mahu senarai…saya tahu ini masalah air, KKDW juga telah melihat beberapa kawasan yang memerlukan telaga tiub, kerana kawasan itu punyai tekanan rendah. Kita rasa setelah lebih 60 tahun merdeka rakyat juga perlu bekalan air, elektrik serta jalan yang sempurna, KKDW komited untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Sentuhan Kasih Desa KKDW dan Keusahawanan Desa Madani di Dataran Tamu Sukau.

Selain itu menurutnya, KKDW juga melaksanakan program lonjakan mega luar bandar dengan peruntukan RM9 juta serta Program Bersepadu Pemajuan Kawasan bernilai RM47.6 juta yang memberi manfaat kepada penduduk.

“KKDW melalui Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM2.31 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti dan latihan keusahawanan (RM1.17 juta); pendidikan kemahiran (RM1.14 juta) selain RM1.5 juta bagi naik taraf kemudahan premis bagi manfaat masyarakat luar bandar termasuk kawasan Kinabatangan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, RM18 juta juga diperuntukkan untuk pelaksanaan program pembangunan modal insan dan modal sosial di negeri Sabah seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek).

Ahmad Zahid berkata, RM155.24 juta telah diperuntukkan bagi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Latihan Kemahiran Pekebun Kecil untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan luar bandar di negeri Sabah.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani kepada Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung.

Ada bantahan terhadap penubuhan JKDM

Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa isu penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) mendapat campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, BBC GRS-PH Sabah tegas dengan pendirian tak bersetuju dengan penubuhan JKDM di Sabah seperti yang diusulkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ahli BBC GRS-PH Sabah menentang mana-mana pihak dari luar dan dalam Sabah yang mahu memecahbelahkan, mengganggu keharmonian yang kita bina semula setelah kehancuran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018. Jadi BBC GRS-PH Sabah minta Perdana Menteri campur tangan kepada isu ini dengan menasihatkan Ahmad Zahid supaya menarik semula pelantikan JKDM. Ini kerana ia bukanlah dasar kerajaan Persekutuan yang dibentang di Parlimen untuk kelulusan perbelanjaan bagi tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan

Dalam kenyataan bersama BBC Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Dr Yusof turut berkata, penggunaan wang rakyat untuk pembiayaan elaun jawatan itu hanya bermotifkan politik dan merupakan sebagai satu pembaziran yang merugikan rakyat.

Tambahnya, jika ia adalah dasar Kerajaan Persekutuan, mengapa negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Pulau Pinang tiada pelantikan jawatan tersebut.

Jelas beliau lagi, bagi Sabah ia bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri menerusi Persidangan DUN Ke-16 Penggal Keempat pada November 2023 yang meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang mana telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

“JKKK ini memainkan peranan dalam pentadbiran kampung dalam pelbagai aspek tadbir seperti keselamatan dan pembangunan untuk kemajuan kampung. Selain daripada mencabuli Perlembagaan Negeri Sabah, perkara ini juga akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat akar umbi,” katanya.

“Walaupun apa sahaja alasan diberikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa penubuhan JKDM tidak bercanggah dan lebih kepada memperkasa ekonomi dan keusahawanan tetapi sebenarnya ia bertindih dan mengelirukan.

“Sepatutnya program keusahawanan dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan dikordinasikan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah. Jadi, tidak perlu lagi JKDM ini diwujudkan di Sabah bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab yang mengelirukan rakyat dan pembaziran dana,” katanya.

Dengan semua isu ini, kemungkinan GRS dan UMNO tetap gabung

Perbincangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) berkaitan siapa rakan gabungan politik Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibincangkan dalam konvensyen yang diadakan pada Ogos depan.

Pengerusi MPN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud juga tak menolak kemungkinan ada perbincangan berhubung rakan gabungan untuk menghadapi PRN17 dalam mesyuarat MPN Sabah.

“Mungkin antaranya (gabungan politik) tetapi kita akan mendengar sendiri pengarahan-pengarahan daripada pimpinan juga dan akan lihat sama ada sesuai atau tidak kita umumkan masa itu atau pun perlu lebih masa untuk berbincang perkara ini.

“Konvensyen dijadualkan pada bulan Ogos,” katanya dalam sidang akhbar

Jelas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud itu lagi, sebagai persediaan untuk menghadapi PRN, MPN Sabah akan mengadakan konvensyen parti terdiri daripada semua pimpinan dari setiap cabang di negeri ini.

“Ia akan melibatkan kira-kira 1,000 penyertaan dan di sinilah kita akan merangka garis-garis masa dan bagaimana kita memantapkan jentera-jentera kita di peringkat negeri ini. Ramai juga pimpinan pusat akan turun, turut serta dan ini akan memulakan siri-siri kempen kita. Selepas itu kita akan pergi ke cabang-cabang untuk memantapkan jentera di peringkat cabang melalui jabatan pilihan raya negeri kita,” katanya.

Sebelum itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi memaklumkan MPN Sabah turut mengadakan mesyuarat bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

“Kita akan memulakan mesyuarat pimpinan negeri bersama Datuk Seri Anwar dan saya fikir beliau akan memberikan amanat kepada kami semua bagaimana untuk mendepani cabaran pilihan raya yang bakal menjelang tidak lama lagi. Kehadiran Datuk Seri Anwar juga untuk menyatukan kedua-dua kelompok supaya kita boleh bergerak dan bersedia bersama untuk mengangkat kembali parti ini supaya bangkit dan diterima rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *