“Sukan seharusnya bersifat menyatu-padukan serta memupuk keharmonian.”
Itulah frasa indah yang selalu jadi siulan ramai ketika membicarakan tentang kebaikan sukan. Namun, saat realiti menggigit, kita juga terpaksa menelan hakikat pahit bahawa sukan, sangat terikat dengan geopolitik serta isu semasa. Bola sepak, sebagai sukan yang paling diminati seantero dunia, juga disulami dengan pelbagai kisah pahit serta kontroversi di dalam dan luar padang.
Kali ni kita akan meneroka cerita tentang Qatar, yang baru ja layak ke perlawanan akhir Piala Asia selepas membelasah UAE. Barangkali kekalahan ini telah dijadikan ‘idola’ oleh Chelsea sehingga mereka sengaja kalah pada jumlah jaringan yang sama. Kami gurau, saja usik penyokong Chelsea. Jangan marah ah…
Hubungan diplomatik Qatar yang semakin bermasalah
Seperti yang kita sedia maklum, Qatar, sebuah negara kecil dengan suhu yang panas terik (sekitar 25-30 darjah celcius) serta kemudahan sukan yang terhad, telah dipilih oleh FIFA sebagai tuan rumah Piala Dunia 2020. Pastinya pemilihan ini dilingkari oleh skandal FIFA dan UEFA, yang akhirnya membawa kepada penyingkiran beberapa nama besar bola sepak dunia.
Ketika Qatar berusaha keras untuk memastikan tujuh stadium baru yang mereka impikan siap menjelang 2020, timbul pula isu logistik. Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir telah memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar, selain turut membabitkan sekatan terhadap sektor pengangkutan dan perdagangan.
Pada tahun 2014, UAE, Arab Saudi dan Bahrain menarik kembali duta mereka sebagai bantahan terhadap sokongan Qatar kepada Ikhwanul Muslimin dan beberapa kumpulan Islam lain. Saudi juga mengumumkan rancangannya untuk membina saliran di sepanjang sempadan bersama Qatar, yang akan menyebabkan Qatar bertukar menjadi pulau yang terputus daripada seluruh dunia.
Doha nampaknya tetap teguh dengan situasi semasa, dan ini ditambah dengan kejayaan mereka untuk mara secara bergaya di dalam Kejohanan Piala Asia yang sedang berlangsung ketika ini. Padakala Jepun telahpun menempah tiket ke perlawanan akhir selepas menewaskan Iran, 3-0, Qatar berdepan seteru mereka, UAE di Stadium Mohamed bin Zayed, Abu Dhabi. Ramai yang menggelarkan perlawanan ini sebagai “Pertembungan Sekatan” atau “Blockade Derbies”. Di luar padang, kedua-dua negara bermusuh ni sering menyokong pihak yang berbeza dalam beberapa siri konflik di Timur Tengah.
Umpama perlawanan Manchester City menentang PSG
Bagi pihak Qatar, kejayaan mara ke final ni satu pencapaian yang memberangsangkan, memandangkan ini kali pertama mereka berjaya ke peringkat tu. Ada juga yang mengaitkan pertemuan ini sebagai ‘Manchester City (Man City) menentang Paris Saint-Germain (PSG)’; memandangkan pemerintah kedua-dua negara kecil Teluk ini mempunyai proksi masing-masing dalam pasukan berkenaan. PSG dimiliki oleh syarikat pelaburan sukan kerajaan Qatar, Qatar Sports Investments, sejak Jun 2011.
Man City pula dipunyai oleh syarikat pelaburan yang mempunyai ikatan dengan pemerintah Abu Dhabi, salah-sebuah wilayah emiriah di bawah UAE, iaitu Abu Dhabi United Group. Bagaimanapun, pihak Abu Dhabi mendakwa bahawa pembelian City oleh Sheikh Mansour (anggota keluarga pemerintah berketurunan Al Nahyan) adalah pembelian secara peribadi, bukannya oleh negara tersebut.
Kedua-dua negara yang kaya ni sentiasa bersaing bagi meluaskan pengaruh dan keberadaan mereka, khususnya dalam bidang sukan dan kebudayaan. Qatar memang memenangi hak penganjuran Piala Dunia 2022, tapi jangan kita lupa, Abu Dhabi merupakan hos kepada Grand Prix Formula Satu dan sedang membina beberapa buah cawangan Galeri Seni Louvre dan Muzium Solomon R. Guggenheim.
Perlawanan epik di antara dua negara: Qatar vs UAE
Qatar yang menerima sekatan daripada UAE, tetap teguh mengharungi Piala Asia 2019 dengan jayanya. Sebelum perlawanan ni, mereka telah menumbangkan Arab Saudi, 2-0 pada peringkat kumpulan. Sekatan yang dikenakan menyebabkan para penyokong Qatar dilarang daripada menghadiri sebarang perlawanan di UAE. Qatar, di bawah kendalian bekas jurulatih skuad belia Barcelona, Félix Sánchez Bas, asalnya tidak diberikan harapan yang banyak dalam Piala Asia 2019, memandangkan mereka tidak mempunyai penyudah yang bagus, berdasarkan statistik sebelum pertandingan.
Perlawanan tu menyaksikan kontroversi berlaku, apabila para penyokong UAE membaling para pemain Qatar dengan sandal dan botol minuman ke dalam padang. Jaringan Boualem, Almoez Ali, Hassan al-Haydos dan Hamid Ismail membolehkan mereka melangkah ke perlawanan akhir. Ketangkasan penjaga gol Qatar, Saad al-Sheeb membolehkan skuad negaranya mencatat kemenangan penuh bergaya. UAE yang asalnya berharap untuk mara ke final buat kali kedua, kini berdepan penggantungan AFC kerana tindakan tidak bijak daripada penyokong mereka. Penyokong mereka juga mengejek lagu kebangsaan Qatar ketika permulaan permainan.
Setelah usaha penyokong mereka membanjiri padang dengan botol dan selipar bagi tujuan merosakkan momentum permainan Qatar gagal, kini UAE cuba menggunakan taktik terbaru. Dua jam selepas perlawanan epik tersebut, UAE membuat bantahan kepada AFC bahawa Qatar menggunakan pemain yang tidak layak beraksi dalam kejohanan tersebut, khususnya ketika mereka tewas 0-4 pada Selasa lepas.
Aduan ni menambah satu lagi usaha sekatan oleh UAE, selepas menyekat Qatar secara diplomatik dan politik. Almoez Ali, penyerang berusia 22 tahun dari Sudan, dan Bassam Al Rawi, pertahanan berusia 21 tahun dari Iraq, didakwa tidak memenuhi syarat kewarganegaraan yang diperlukan untuk mereka beraksi dengan Qatar. Pihak Qatar pula dengan tenang menyatakan bahawa dua pemain ini mempunyai saudara yang lahir di Qatar, selanjutnya melayakkan mereka dianggap sebagai rakyat Qatar.
Agak-agaknya macam manalah Piala Dunia di Qatar nantikan?
Ada yang melihat kejohanan Piala Dunia di Qatar akan bermasalah kerana isu sekatan daripada negara-negara jiran terutamanya – dari segi logistik dan keselamatan. Ada juga yang berpandangan bahawa kepanasan suhu geopolitik di Timur Tengah dan polemik UEFA-FIFA juga akan membolehkan kejohanan Piala Dunia 2022 lebih ‘hidup’ dan mengujakan, kerana banyak negara bermusuh akan bertembung sesama sendiri, dan cuba bersaing bagi menjadi yang terbaik.
Bagi Qatar, buat masa ini mereka hanya memberikan fokus sepenuhnya kepada Final Piala Asia 2019. Kemenangan ke atas Jepun akan membuka satu bab baru dalam sejarah bola sepak dan politik mereka. Agak-agaknya siapa akan menang?
[poll id=”5″]