Masalah kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) ni kalau korang imbau balik, dah sangat lama tak selesai. Dah macam-macam operasi yang dilaksanakan oleh kerajaan, pun tetap berakhir dengan keadaan yang sama. Kita dah tawar tiket, dah tanggung makanan masa nak hantar mereka pulang, dah cuba longgarkan syarat daftar pekerja PATI untuk tindakan majikan.
Jadi, kami kupas beberapa punca kenapa masalah ni seakan takde penamat lagi…
Bayar mahal pun disuruh jalan kaki masuk hutan
Kebanyakan PATI yang menjejaki tanah Malaysia terpaksa mengharungi pelbagai bahaya, dan tentulah, kena bayar banyak kepada ‘ejen penyeludup’ mereka kat Malaysia ni. Macam kes Wang Kelian dulu, PATI dilaporkan wajib bayar RM2,000 untuk diseludup masuk. Dalam satu lagi laporan, harga nak masuk Malaysia cecah RM6,500 dan kena bayar kat ejen dari Myanmar.
Ejen-ejen haram yang tolong bawa masuk PATI ni pun betul-betul licik dan geliga nak elak kena serbu. Kata Berita Harian, lokasi paling utama untuk ejen-ejen ni beroperasi adalah di Sandakan, Sabah iaitu dengan membawa warga Filipina sebagai pekerja haram untuk para majikan yang tak nak bayar gaji mahal.
Ejen-ejen ni akan suruh majikan bayar dulu kos pengangkutan bakal pekerja tu, dan para pekerja PATI kemudian akan bayar semula kat majikan.
Kalau korang ni peminat setia filem Melayu, ada satu filem menarik yang menceritakan kisah PATI dan majikan yang curi-curi bawa mereka masuk Malaysia. “Crossroads: One, Two, Jaga” dinobat sebagai “Filem Terbaik” dan selain tu, dah menang lima lagi anugerah kategori lain seperti Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik kat Festival Filem Malaysia tahun ni.
Ejen haram kenyang lepas tipu dua pihak sekaligus…
Memang seronok bila kita dapat peluang keemasan untuk belajar kat luar negara. Apatah lagi kat Malaysia ni, jumlah institusi pendidikan tinggi kita memang banyak dibuka dan sentiasa tawarkan peluang belajar kat para pelajar antarabangsa. Belajar ni perkara yang mulia, jadi apalah salahnya nak tengok budaya orang, betul tak?
Namun tak semuanya indah belaka, apabila segelintir mereka dah tertipu dengan ejen-ejen jahat ni. Biasanya yang tinggal lebih dari tempoh yang ditetapkan (overstayed) ni terdiri daripada para pelajar antarabangsa. Oleh sebab mereka ni di bawah tanggungjawab pihak institusi berkaitan, maka urusan visa tu perlu diuruskan oleh pihak institusi pendidikan.
Rupanya ada juga yang nak kenyangkan diri dengan kelonggaran urusan visa pelajar ni. Pendedahan R.AGE terhadap student trafficking bocorkan modus operandi mereka yang tipu warga luar terutamanya orang-orang muda dari Bangladesh. Ejen-ejen haram ni ada rangkaian sendiri; jadi penipuan mereka ni nampak menyakinkan ramai pelajar muda dari sana.
Ternyata ejen ni dah aniaya dua pihak; kerajaan Malaysia sendiri dan kat para pelajar ni. Ramai yang takde duit dah nak balik, dan terpaksa kerja juga di sini. Sudahlah takde pas pekerja, risiko kena ‘angkut’ tu semakin tinggi terutamanya bila pihak Imigresen aktif jalankan operasi untuk tangkap PATI.
Selamat jalan, dan jangan guna jalan haram lagi!
Sejak 1 Ogos lalu, kita dah mula hantar para pendatang tanpa izin ke negara asal dengan tiga syarat mudah; ambil giliran untuk lapor diri, bayar je denda RM700 dan beli tiket pulang ke negara asal. Inisiatif Back 4 Good (B4G) telah diumumkan pada 18 Julai tahun ni oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan jangkaan 300,000 hingga 400,000 orang akan ambil peluang untuk pulang ke negara asal mereka.
Sebenarnya dah bertahun-tahun kita adakan inisiatif sebegini. Pada tahun 2017, denda kita hanyalah RM400 dan tahun ni pula, kerajaan naikkan sikit jadi RM700. Selain tu, program ni bukan setakat untuk kelompok yang takde dokumen perjalanan je, tapi para pelajar yang kena tipu tu pun boleh pulang semula kat negara masing-masing tanpa perlu takut kena tangkap.
Walaupun kerajaan kita bermurah hati nak buat kesempatan macam ni, kita masih tegas kepada mereka yang dah dihantar semula dalam program B4G. Tahukah korang bahawa kita dah mula pakai sistem yang boleh kesan individu pakai biometrik?
Haa… ni memang tak boleh main tipu-tipu. Mereka yang dah dihantar semula ni akan disenaraihitam dalam sistem BioSL kita dan tak dibenarkan masuk ke dalam negara kita selama lima tahun.
Dulu dah buat tapi macam tak berkesan je pun
Program ni ditambahbaik dari program 3+1 yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen. Selain dari harga denda yang dah naik, sistem pun banyak diperbaiki dah. Kalau dulu, waktu hujung minggu pun terpaksa buka sebab nak bagi peluang secukupnya kat PATI. Sekarang ni pula, nak bayar denda pun boleh pakai cashless. Mudah sangat kan?
Lebih penting lagi, program B4G semakin telus. Jabatan Imigresen dah awal-awal umumkan bahawa takde ejen-ejen luar yang ‘dilantik’ mewakili pihak mereka. Dengan usaha banteras rasuah yang semakin agresif dijalankan, Muhyiddin kata Jabatan Imigresen dah buat laporan polis pasal penipuan melibatkan Malaysian Immigration System (MyIMMs).
Program B4G ni mula pada 1 Ogos 2019 sehingga 31 Disember 2019 je, dan habis dari tempoh ni, kita terpaksa tahan dan hukum mereka kerana dah melanggar undang-undang negara kita. Antara hukuman yang diperuntukkan untuk kesalahan ni adalah penjara, tindakan sebat dan denda.
Ejen-ejen pentingkan diri guna keterdesakan dan simpati
Para ejen yang berani langgar undang-undang negara patut dikenakan hukuman yang setimpal. Negara kita bukannya halang orang nak bekerja ataupun nak berhijrah ke tempat kita, yang penting kenalah melalui saluran yang betul. Ejen-ejen ni biasanya tak nak bertanggungjawab kalau ada apa-apa berlaku kat orang-orang yang dia dah tolong seludup masuk. Tambah lagi, bila kita masuk ke mana-mana negara dari saluran yang betul, pihak kedutaan negara boleh tolong korang kalau ada apa-apa kecualilah bila korang langgar undang-undang negara yang korang lawati tu.
Mereka tahu orang yang sanggup setengah mati nak masuk ke Malaysia adalah orang yang bersungguh nak kerja dan nak bina kehidupan yang lebih baik. Tapi masuk secara haram bukanlah caranya. Korang bayangkanlah, nak masuk rumah orang tu masuk pintu ke masuk tingkap? Hmm… Ejen-ejen ni main langgar je; dapat duit terus lesap. Mangsa kena tangkap, ejen dapat duit.
Kena lebih agresif tangkap ejen-ejen manis lidah ni
Kadangkala ada ejen berlidah manis. Dia kata boleh jamin semua benda asalkan ada duit sehinggalah mangsa tu tertipu dan lepas beri sejumlah duit, mangsa ingat ejen ni sah. Bila mangsa kena tangkap, sangkaan meleset teruk. Hilang duit, hilang kerja, hilang barang-barang… kena cekup lagi macam pesalah, barulah perasan kena tipu. Belum masuk lagi majikan yang simpan dokumen pengenalan pekerja asing, kononnya nak elak dokumen tu ‘hilang’.
Kita kena ketatkan undang-undang serta selidik betul-betul para ejen yang menawarkan diri jadi ‘wakil’ tukang bagi kerja kat Malaysia ni. Menjadi peranan kita juga sebagai masyarakat untuk kenal pasti ejen-ejen haram dan laporkan mereka kat pihak berkuasa. Hentikan ‘penyeludupan’ buruh luar masuk kat negara kita guna jalan haram!