займ срочно

Rakaman perbualan Najib dan Rosmah, pemimpin UMNO kata SPRM tak beretika

F1
Rakaman perbualan Najib dan Rosmah, pemimpin UMNO kata SPRM tak beretika

Kami rasa macam tengah tengok filem pulak apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bongkar audio yang libatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Terasa macam tengah tengok filem yang CIA dan FBI, lepas tu orang jahatnya mestilah datang dari Rusia. Cuma kali ni, penjenayahnya orang tempatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya kata; rakaman berdurasi 45 minit tu diterima pihaknya beberapa hari lalu melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International Sdn Bhd dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)

SPRM percaya benda ni melibatkan kepentingan awam, sebab tu diorang dedahkan pada umum

Menurutnya, rakaman tu libatkan tindakan salah guna kuasa, pecah amanah, memalsukan dokumen, pendedahan maklumat sulit, ancaman keselamatan negara dan konspirasi jenayah.

“Semua ini adalah pelbagai tindakan jenayah yang serius termasuklah yang membabitkan penyalahgunaan kuasa. Ada elemen untuk melindungi dan ada juga elemen rasuah berlaku,” – Latheefa, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

S1
Oi, curi-curi dengar aku ke. Via The Star

Dia kata, pihak forensik SPRM telah mengesahkan ketulenan rakaman audio tu. Diorang percaya benda ni adalah kepentingan awam yang perlu didedahkan. Media adalah pihak pertama diberikan pendedahan ini. Latheefa kata, rakaman audio tu akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Latheefa dah arahkan pegawainya untuk serahkan semua rakaman suara kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan. Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dimaklumkan mengenai rakaman audio tersebut.

Menarik. Via Giphy

Sembilan rakaman audio yang diperdengarkan kepada media antaranya perbualan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkefly Ahmad yang ketika itu sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara yang hubungi Najib untuk minta pandangan selepas cadangan SPRM berhubung penyelewengan RM42 juta milik SRC.

Dalam perbualan telefon tu, Dzulkefly lahirkan kebimbangannya dengan penemuan panel khas tersebut dan Peguam Negara ketika itu Tan Sri Apandi Ali meminta bantuannya.

“Bila tengok kertas siasatan (IP) saya rasa nak menangis Datuk Seri (Najib). Dari segi undang-undang, Tan Sri Apandi dan saya boleh handle, tak ada isu. Selain daripada itu, saya tak sangka betapa seriusnya benda tu,” – Rakaman yang dipercayai Dzulkefly, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Rakaman audio tu dedahkan yang Najib ada telefon Sheikh Mansour

Selain itu, SPRM turut memainkan rakaman audio perbualan telefon antara Najib dan Pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC) Sheikh Mansour yang meminta untuk menyediakan satu perjanjian terhadap anak tirinya Riza Shahriz Abdul Aziz berkaitan dana untuk terbitkan filem. Ia dipercayai bertujuan bagi menyelamatkan Riza daripada tuduhan pengubahan wang haram oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

S1
Wolf of Wall Street, filem yang dikaitkan dengan dana 1MDB. Via Vanity Fair

Selain rakaman Najib, Dzulkefly dan Sheikh Mansor, SPRM turut dedahkan rakaman perbualan Dzulkefly bersama bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Rahim, Dzulkefly dengan Pegawai Khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Antara nama- nama yang dipetik dalam rakaman perbualan tu adalah adalah Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Apandi Ali, Datuk Seri Azeez Rahim, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, Datuk Suboh Md Yasin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Abdul Aziz Ismail, Tan Sri Shukri Abdull, Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC) Sheikh Mansour Zayed al Nahyan, Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak, Presiden UAE Khalifa Zayed Sultan Al Nahyan, Riza Aziz, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan turut disebut Senator Khairul Azwan Harun.

Bagi pemimpin UMNO ni, tindakah SPRM tu tak professional sebab boleh jejaskan hubungan antarabangsa

Tindakan SPRM dedahkan rakaman audio perbualan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu termasuk tokoh asing ni tak menepati standard profesionalisme, kata salah seorang pimpinan UMNO.

S1
Via New Malaysia Herald

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kata; agensi tu sewajarnya bertindak menyerahkan segala bukti baharu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada polis bagi siasatan dan tindakan.

Pendedahan perbualan pemimpin negara dengan sorang pemimpin negara asing merupakan kerahsiaan yang sangat penting. Ia tidak wajar didedahkan dengan sewenangnya tanpa melalui proses undang-undang.

S1
1MDB, sesuatu yang tak akan dilupakan oleh sejarah Malaysia. Via Bloomberg

“Pendedahan hari ini akan pasti mengundang masalah dengan kerajaan UAE (Emariah Arab Bersatu). SPRM sewajarnya memahami kepentingan bagi Malaysia tidak berkonflik dengan mana-mana negara dalam usaha mencari kebenaran berkaitan skandal itu,” – Mohamad, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian

Mohamad kata; polis perlu lakukan siasatan terperinci berkaitan pendedahan bukti baru tu supaya hak, kepentingan dan keadilan diperoleh. Menurutnya pendedahan yang dilakukan seolah-olah mensabitkan nama-nama mereka yang terlibat sebagai bersalah dan menimbulkan prejudis yang sangat mendalam terhadap mereka.

SPRM ialah institusi awam yang mesti menjalankan tugasnya secara berperlembagaan dan penuh wibawa. Apa yang dilakukan hari ini telah menyebabkan profesionalisme, wibawa dan integriti mereka dipersoalkan.

Pada akhirnya Mahkamah yang akan tentukan bukti tu boleh digunakan atau tidak

Kebetulan kami ada kawan peguam; kami pun ada borak tentang dia pasal benda ni. Pertama dia kata – kita kena tengok; adakah rakaman telefon tu nak dijadikan bukti di Mahkamah, atau sekadar nak cipta persepsi. Sebab katanya persoalan ni penting. Kedua, dia kata – kalau nak dijadikan bukti, adalah lebih baik untuk bukti ni dikemukakan ke Mahkamah untuk bukti pendakwaan sebelum disebarkan kepada umum. Cuma dia kata; setiap pengamal undang-undang mesti ada pandangan tersendiri.

Pada akhirnya Mahkamah yang akan buat keputusan – bukti itu boleh digunakan atau tidak, bukan media atau pandangan orang awam. Kalau bukti tu tak nak digunakan sebagai bukti pulak, dia berpandangan sepatutnya audio tu diberikan pada ahli politik, sebab tak wajar KP SPRM ‘berperangai’ ahli politik, ia akan cemarkan SPRM tu sendiri.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top