Tunjuk perasaan di Indonesia, mungkin ada sniper upahan

Susulan pengumuman Joko Widodo atau Jokowi sebagai pemenang pilihan raya Presiden Indonesia (PilPres) dengan undi 55%, rusuhan tercetus di sekitar bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jakarta.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan memaklumkan 6 orang terkorban menjelang 22 Mei 2019. Enam mangsa maut itu berada di RS Tarakan, RS Pelni, Budi Kemuliaan, RSCM, dan RS Angkatan Laut Mintoharjo.

Bukan setakat enam orang meninggal dunia, sekurang-kurangnya 200 cedera

Sekurang-kurangnya 200 orang mengalami kecederaan ketika rusuhan meletus. Kekecohan mula terjadi menjelang tengah malam dan sedikit reda menjelang sahur. Pada waktu pagi, para perusuh kembali berhimpun ke sejumlah kawasan di Jakarta, di antaranya di hadapan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) dan Jl Jatibaru Tanah Abang.

Bawaslu adalah lembaga penyelenggara Pemilihan Umum (Pemilu atau Pilihan raya Umum – PRU) yang bertugas mengawasi penyelenggaraan PRU di Indonesia. Macam SPR kat Malaysialah.

Via Mstar

Terdahulu, Pengarah Hospital Kemuliaan, Fahrul W Arbi menyatakan bahawa satu kematian berlaku akibat ditembak ketika rusuhan di Tanah Abang, pagi 22 Mei 2019. Mangsa dikenali sebagai Farhan Syafero. Ketika dibawa ke hospital, beliau dalam keadaan kritikal tetapi masih bernyawa, namun kemudiannya gagal diselamatkan. Jenazahnya dibawa ke Hospital Cipto Mangunkusumo.

Terdapat luka tembakan pada bahagian belakang dada, yang mungkin mengenai paru-parunya.

Bekas tukang membuat perabot, Jokowi merupakan Presiden pertama Indonesia dari kalangan rakyat biasa, yang dipilih. Beliau memegang kuasa pada 2014, dengan janji untuk memartabatkan hak kaum minoriti dan wanita, selain memperbaiki infrastruktur di Indonesia dan paling utama, menghapuskan rasuah yang berakar umbi.

Di dalam sebuah masyarakat majoriti Muslim, Jokowi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di tempat kerja. 8 daripada 34 menterinya adalah wanita, dan mereka memegang kementerian penting seperti luar negeri dan kewangan.

Prabowo mengadakan pakatan dengan kumpulan muslim yang agak keras

Sewaktu pemilihan lalu, Jokowi berdepan Prabowo Subianto, juga lawannya pada 2014. Prabowo merupakan bekas jeneral tentera yang pernah mengahwini anak kepada Suharto, mantan Presiden Indonesia yang digelar sebagai diktator.

Meskipun Prabowo menggemari wain dan mempunyai ibu beragama Kristian, beliau mengadakan pakatan bersama golongan Muslim yang agak keras. Malah beliau juga membiarkan berita angin daripada penyokongnya, bahawa Jokowi merupakan seorang penganut Kristian. Beliau juga memperlekehkan kemampuan Jokowi menjadi imam solat, meskipun mengakui beliau sendiri tidak mampu mengimami solat jemaah.

Prabowo. Via Tribun Timur

Tatkala pihak demonstran mendakwa terdapat kertas undi yang sudah pun ditanda sebelum sampai ke tempat mengundi, ramai pihak percaya bahawa majoriti perusuh adalah penyokong Prabowo. Para perusuh mendakwa bahawa pihak berkuasa menembak dengan peluru hidup, dan dibuktikan menerusi kecederaan teruk yang dialami oleh demonstran yang terkena tembakan.

Namun, polis menjelaskan mereka hanya menggunakan peluru kapur, dan terdapat beberapa penembak hendap (sniper) yang diupah oleh pihak tertentu yang menembak mereka yang terlibat himpunan. Malah, salah-seorang penembak hendap telah ditangkap.

Via FMT

Terdahulu, pihak polis telah menyita sejumlah senjata api sebelum rusuhan 22 Mei. Mereka mendakwa ada kemungkinan senjata itu adalah sebahagian daripada usaha fitnah terhadap pihak berkuasa mahupun sebahagian peserta demo yang hadir secara aman.

Prabowo dalam kenyataannya meminta para pendukungnya tidak melakukan kekerasan fizikal saat berdemonstrasi. Beliau juga mengingatkan tentera dan polis agar tidak bertindak ganas. Beliau menyebut peristiwa keganasan 22 Mei menconteng maruah bangsa Indonesia.

Prabowo akan mencabar keputusan pilihan raya di mahkamah

Terdahulu, pada 21 Mei, wakil Prabowo menyatakan bahawa mereka akan mencabar keputusan pilihan raya ke Mahkamah Perlembagaan Indonesia. Hal ini dinyatakan selepas sebelumnya mereka menolak keputusan pilihan raya presiden dengan dakwaan berlaku penyelewengan serta salahguna kuasa.

Pada 6 Mei 2019, di hadapan ramai wartawan asing, beliau menegaskan;

“Kali ini kecurangannya terlalu banyak. Jadi tidak mungkin. Saya tidak akan menerima pemilu yang curang.” Pasangannya, Sandiaga Uno turut menyokong dengan menyatakan, “Pak Prabowo mengatakan tidak akan menerima a fraud result of a fraudulent election (hasil pemilu curang). Itu kata-katanya saya quote, fraudulent election. Jadi fraudulent election ini pemilu yang curang!”

Menteri Koordinator Bidang Politik Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dalang di sebalik rusuhan yang tercetus di sekitar bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jakarta pada Selasa.

Sehubungan itu, Wiranto berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas bagi memastikan keamanan terpelihara.

Wiranto kata; berdasarkan rangkaian peristiwa sehingga tercetus kekecohan, pihaknya melihat ada kecenderungan untuk menjadikan rusuhan berkenaan di peringkat nasional. Menurut beliau, perkembangan itu dapat dilihat berdasarkan kenyataan-kenyataan sebilangan pemimpin yang menyalahkan pihak berkuasa sehingga berlaku kematian.

Via Metro

Selain daripada mereka yang tak puas hati, ada pendemo upahan

Dalam masa sama, Wiranto juga menghidu ada usaha untuk meniup api kebencian kepada kerajaan. Sedangkan, katanya, aksi keganasan yang berlaku dilakukan oleh kelompok lain selain daripada kumpulan pendemo iaitu terdiri daripada mereka yang diupah.

Sejak semalam, ketenangan di ibu negara Indonesia tercemar dengan tindakan rusuhan pasca Pemilihan Presiden (Pilpres) 2019 susulan pengumuman keputusan pilihan raya oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). KPU mengumumkan pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’aruf Amin menang dalam Pilpres menewaskan pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Pengumuman kemenangan Jokowi pada Selasa sehari lebih awal dari yang dijadualkan selepas proses pengiraan undi di 813,350 pusat pengundian selesai jam 11.30 malam Isnin lalu.

Via Suara

Ekoran rusuhan itu, enam orang disahkan maut manakala 200 lagi cedera akibat ketegangan yang melanda di ibu kota Jakarta. Polis Indonesia terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang dilapor bertindak ganas termasuk membaling mercun ke arah anggota polis.

Lebih 50,000 anggota polis dan tentera dikerahkan ke kawasan terjejas bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

Bagi rakyat Malaysia yang mahu ke Indonesia, dinasihatkan mendaftar

Rakyat Malaysia yang berada di Jakarta atau merancang untuk berkunjung ke Indonesia dinasihatkan agar mendaftar dengan kedutaan menerusi borang pendaftaran di goo.gl/ixYVfy. Sekiranya memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Indonesia boleh dihubungi menerusi talian +62215224947 atau +6281380813036.

Via Berita Harian

Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengelak kawasan-kawasan terjejas dan mengikuti perkembangan terkini melalui laporan media tempatan.

Antara kawasan terjejas adalah seperti yang berikut: Bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU) di Jalan Imam Bonjol, Bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) di Jalan M.H. Thamrin, sekitar kawasan Tanah Abang, Thamrin, Sabang dan Menteng.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *