Sepanjang tempoh pandemik ni, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan. Sempadan negara terpaksa ditutup, dan para pelancong dari luar mahupun dalam negara sendiri tak dapat menyumbang banyak kepada sektor pelancongan. Perkara ni dirasakan khususnya untuk negara-negara yang bergantung banyak kepada sektor pelancongan dalam ekonomi diorang.
Dulu, kami dah bincangkan idea gelembung perjalanan antara negara pada tahun lalu. Beberapa negara Asia termasuklah kita sendiri menerima idea ni dengan senang hati. Namun begitu, lepas ‘serangan’ baharu dengan hadirnya mutasi virus yang lebih pantas sebarannya… tak banyak negara berani buka semula sempadan diorang. Kali ni, kita akan tengok pulak bagaimana eksperimen Thailand untuk buka pelancongan diorang.
Pelan ‘Phuket Sandbox’ jadi eksperimen Thailand untuk buka pelancongan tanpa tempoh kuarantin
Thailand selalu jadi destinasi pelancongan masyarakat seluruh dunia sebelum pandemik melanda. Tak hairanlah bila kita dengar laporan bahawa 20% daripada ekonomi negara tu disumbangkan daripada sektor pelancongan dan rantaian perkhidmatan lain. Tanpa ketibaan para pelancong antarabangsa, ekonominya menguncup sebanyak 6.1% tahun lalu. Menyedari hakikat tersebut, diorang nak jugak buka sektor pelancongan diorang masa pandemik ni.
Salah satu pelan diorang ni adalah ‘Phuket Sandbox’, yang mana Phuket dijadikan sebagai kawasan pelancongan utama untuk melihat sejauh mana situasi pelancongan semasa pandemik ni. Kerajaan Thai berhasrat menggunakan pulau tersebut sebagai batu lonjakan, dengan kedatangan para pelancong yang perlahan-lahan dibenarkan untuk mendarat ke tempat lain secara berperingkat. Diorang cadang nak buka keseluruhan negaranya menjelang pertengahan Oktober.
Para pelancong yang dibenarkan datang ke Thailand tidak perlu menghabiskan sehari dalam kuarantin sekiranya diorang memenuhi syarat-syarat tertentu. Salah satu daripadanya adalah mereka perlu dah divaksinkan sekurangnya 14 hari sebelum perlepasan diorang ke Thailand. Vaksin tu pulak mestilah dah didaftarkan di bawah senarai Kementerian Kesihatan Awam Thailand atau diiktiraf oleh WHO.
Ditambah lagi, sijil vaksinasi jugak perlu dikemukakan sebagai bukti. Hasil keputusan PCR negatif yang diberikan mesti tak lebih daripada 72 jam sebelum bertolak, dan insuran untuk perbelanjaan Covid-19 dengan perlindungan minimum sebanyak $100,000 juga diperlukan. Para pelancong mesti sampai ke Thailand daripada negara berisiko rendah dan sederhana sepertimana yang dah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Dalam pelan ‘sandbox’ ni jugak, para pelancong dibenarkan untuk sambung melancong ke destinasi lain dalam negara tersebut hanya lepas menghabiskan masa sekurangnya 14 hari di Phuket. Mereka jugak masih perlu jalani tiga ujian PCR dengan tanggungan sendiri – kali pertama semasa ketibaan, pada hari 6 atau 7, dan kali ketiga hari 12 atau 13. Kesemuanya perlu negatif.
Risiko masih lagi ada, nampaknya masyarakat tempatan masih ragu dengan pelan ‘Phuket Sandbox’
Eksperimen ni datang dengan risikonya yang tersendiri. Di sebalik syarat-syarat yang dah dikenakan, kerajaan Thai jugak bersedia untuk menunda atau membatalkan pelan tersebut sekiranya diorang mengenalpasti 90 kes disahkan setiap minggu, jangkitan rentas tiga daerah dan enam sub-daerah, atau kejadian jangkitan yang tak dapat dijejaki. Pembatalan pelan ni boleh berlaku jugak kalau wujud situasi superspreader yang tak terkawal hingga menyebabkan 80% atau lebih kapasiti katil hospital pulau tu digunakan untuk rawatan Covid-19.
Ada jugak yang yakin dan gembira dengan rancangan ni, khususnya dalam kalangan usahawan dan wakil rangkaian hotel domestik serta antarabangsa. Namun bagi pekerja kedai-kedai tempatan, diorang masih ragu tentang keberjayaan pelan ni. Tambah lagi, pulau tu buat masa ni, dah jadi kurang menarik kepada sesetengah pelancong sebab banyak restoran dan kedai dah gulung tikar. Pub dan bar jugak tak dibenarkan beroperasi di bawah undang-undang kini, dikuatkuasakan untuk kawal pandemik.
Salah satu syarat yang harus kami sebut di sini adalah senarai negara yang dibenarkan masuk ke dalam sempadannya. Sayang sekali, Malaysia belum lagi dimasukkan ke dalam senarai tersebut. Jepun pulak dapat kebenaran khas untuk masuk, cuma atas tujuan perniagaan je. Keseluruhannya, cuma 67 negara dan wilayah yang dinilai berisiko rendah dan sederhana je dibenarkan untuk melancong ke Phuket.
Walaupun begitu, negara-negara lain turut bersaing sesama sendiri untuk capai ‘keberanian’ Thailand nak buka sektor pelancongan diorang semula. Bali pun rancang nak buka jugak sempadan diorang kepada para pelancong asing, tetapi tarikh sebenarnya pembukaannya masih ditunda. Diorang sasarkan nak buka pada akhir Julai atau awal bulan Ogos, tetapi ia bergantung tentang lonjakan kes aktif diorang baru-baru ni di Indonesia.