Calon terbaik untuk menggantikan Lee Chong Wei nampaknya dah muncul

Calon terbaik untuk menggantikan Lee Chong Wei nampaknya dah muncul

Kehilangan Lee Chong Wei sebagai pemain badminton negara benar-benar meninggalkan kesan pada ramai orang. Macam yang kami dah cakap dalam artikel kami sebelum ni, dia adalah simbol penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Umpama pasangan yang baru putus cinta, nampaknya kita terpaksa move on – sebab Lee Chong Wei pun dah banyak berkorban untuk negara dan sekarang sedang bergembira bersama keluarganya. Tiba masanya untuk kita mula bergerak ke hadapan, dan berfikir tentang pengganti Lee Chong Wei.

Walaupun harapan masih nampak suram, ada seorang pemain ni kalau dibentuk dengan betul, tak mustahil jadi sehebat atau lebih hebat dari Lee Chong Wei…

Anak Razif Sidek yang merupakan legenda badminton negara  ada potensi yang besar…

Keluarga Mohd Sidek Abdullah Kamar dianggap keluarga legenda dalam bidang badminton apabila anak-anaknya menguasai pentas dunia. Kami kenal diorang dari kartun Anak-anak Sidek. Selepas dah 20 tahun, ketika keluarga ni kebuntuan untuk cari pelapis keluarga diorang, seorang demi seorang cucu-cucu Sidek mula tampil. Boleh buat kartun jugak ni, Cucu-cucu Sidek. Sejarah badminton negara menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh Razif dan adik-beradiknya.

Ingat lagi? Via CariGold

Pada tahun 1982, Razif dan adiknya, Jalani menang gelaran juara Kejohanan All England. Selain tu, diorang turut bantu skuad negara menjulang Piala Thomas 1992. Kejayaan legasi anak-anak Sidek melalui Misbun, Mohamed Jalani, Razif, Abdul Rahman dan Abdul Rashid dah mengangkat mutu sukan badminton negara. Tapi hari ni kami nak cerita pasal anak Razif yang makin menyinar – ingat nama ni; Muhammad Fazriq Razif.

Razif kata, besar harapan diorang sekeluarga untuk melihat Muhamad Faqriz menjejaki langkahnya sebagai seorang pemain badminton profesional. Nampaknya harapan Razif ni tak sia-sia, nama Muhammad Fazriq dah semakin dikenali ramai kerana kehebatannya, walaupun dia baru je berusia 15 tahun.

Selepas mencipta nama di pentas antarabangsa, Muhammad Fazriq Mohamad Razif memasang impian besar untuk mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei. Baru je merangkul gelaran pada Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun di Jepun baru-baru ni, anak bongsu kepada legenda beregu lelaki negara tu mengakui mengimpikan untuk meraih kejayaan seperti Lee Chong Wei.

Tapi dia sedar, untuk realisasikan hasrat tu, dia perlu berusaha keras dan tampil dengan aksi terbaik pada setiap kejohanan disertainya.

“Untuk mencapai tahap setanding Chong Wei, saya juga perlu menimba lebih banyak pengalaman dan meraih kejayaan demi kejayaan di peringkat antarabangsa. Bukan mudah menjadi pemain nombor satu negara pada usia yang masih muda, saya baru berusia 15 tahun. Saya perlu menyusun jadual saya sebaik mungkin, dan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun saya akan cuba menjadi wakil negara (di peringkat senior).” – Muhammad Fazriq Mohamad Razif, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian

Dia juga percaya dia boleh jadi macam Lee Chong Wei kalau dia terus pamerkan aksi terbaik pada setiap kejohanan.

Ada potensi yang besar tapi perlu mendapat tunjuk ajar yang betul untuk setanding Lee Chong Wei

Muhammad Fazriq jadi juara kejohanan GP Sirkit Remaja Kebangsaan, semalam. Pada final yang penuh mendebarkan tu, dia pamerkan aksi agresif pada set pertama, namun berjaya diekori rapat pencabarnya sebelum dia menang 22-20. Bangkit pada set kedua, dia pamerkan aksi terbaik dengan mudah menumpaskan Hooi yang mewakili Kuala Lumpur dengan keputusan 21-15. Power bak hang.

Yang dirindukan. Via NST

Dia yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kata; kemenangan hari tu jadi penyuntik semangat kepadanya untuk menampilkan aksi terbaik pada kejohanan-kejohanan akan datang.

“Dalam kedua-dua set, pihak lawan bermain dengan cukup bagus dan kualiti sangat tinggi. Saya juga ada membuat sedikit kesilapan pada awalnya, tetapi saya cuba mengatasi lawan dengan meningkatkan konsisten,” Muhammad Fazriq, dipetik dari Sinar Harian

Dia selalu menjadi sebutan antara bintang muda yang bakal menggantikan Lee Chong Wei, setelah merangkul kejuaraan kesembilannya di peringkat remaja kat Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun, selepas menumpaskan Alex Lenier, 21-16, 21-10 pada final di Jepun, 30 Jun lepas.

Dia menanam cita-cita untuk bermain di Sukan Olimpik satu hari nanti…

Apabila dia ditanya tentang perancangan masa depan, Muhammad Fazriq kata dia mensasarkan untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik pada suatu hari nanti.

Razif Sidek. Via BERNAMA

Sementara tu, ayahnya – Razif berkata dia tak menaruh harapan terlalu tinggi kepada anaknya itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Chong Wei selaku pemain nombor satu negara, dalam tempoh singkat kerana Muhmmad Fazriq masih muda dan perlu menimba lebih banyak pengalaman.

“Walaupun saya lihat beliau mempunyai ciri-ciri untuk menjadi pemain bertaraf dunia, buat masa ini saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, kerana beliau masih muda dan perlu menimba lebih banyak pengalaman terutama di pentas pertandingan. Saya berharap dia dapat mengekalkan prestasi, itu amat penting,” – Razif, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian

Razif turut berharap pada masa hadapan, Muhammad Fazriq dapat mengecapi kejayaan untuk muncul juara kejohanan All England, Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik serta Piala Thomas. Nampaknya ada harapan yang besar unruk anak Razif ni, kami kat ORANGKATA akan cuba ikuti perkembangan dia dari masa ke semasa. Mudah-mudahan dia betul-betul akan jadi jaguh badminton dunia satu hari nanti…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print