Lee Chong Wei gantung raket, ini lima pencapaian terbaik dia pernah lakukan

Lee Chong Wei gantung raket, ini lima pencapaian terbaik dia pernah lakukan

“Dengan doa seluruh rakyat Malaysia, doa isteri-isteri Razif dan Jalani yang sedang mendodoikan anak-anak mereka; sejarah akan tercipta di final Piala Thomas ini!”….

“Ohhhh… pukulan ‘cross court’! Bulu tangkis meniti di jaring lalu meleleh-leleh jatuh ke gelanggang pihak lawan!”

– Datuk Haji Hasbullah Awang, Piala Thomas 1992.

Siapa yang boleh melupakan celoteh Allahyarham Dato’ Haji Hasbullah Awang, yang sangat sinonim dengan siaran langsung sukan badminton dan bola sepak tanah air. Pastinya kita juga tak boleh melupakan ulasan beliau setiap kali berada di gelanggang yang melibatkan legenda badminton negara dan dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Semalam, air mata rakyat Malaysia jatuh lagi, bila Chong Wei mengumumkan persaraannya, untuk mengelakkan kanser hidungnya kembali serius. Betapa cintanya Chong Wei dengan sukan ini dan tanah air ini. Banyak pencapaian Lee Chong Wei yang sebenarnya ramai tak tahu…

1. Pemain No. 1 Dunia selama 199 minggu, ingat setahun ada 52 minggu ye…

Chong Wei adalah bekas pemain nombor satu perseorangan lelaki dunia selama 199 minggu, iaitu dari 21 Ogos 2008 sehingga 14 Jun 2012. Selain itu, selama 9 tahun, beliau menduduki ranking nombor 1 dunia. Namun, ia bukanlah secara berturut-turut. Ia dicapai pada Oktober 2009 hingga Jun 2012, September 2012 hingga Disember 2014, Jun 2016 hingga Mei 2017, dan kali terakhir berada di puncak dunia pada 1 Jun 2017.

2. Raja Superseries Dunia BWF, cuba kira berapa kejuaraan dia dapat

Chong Wei telah muncul selaku Juara (4 kali) dan Naib Juara (1 kali) Pusingan Akhir Superseries Dunia BWF. Beliau juga merupakan Juara (12 kali) dan Naib Juara (4 kali) Superseries Premier Dunia BWF. Selain itu, beliau pernah muncul Juara (30 kali) dan Naib Juara (13 kali) Superseries Dunia BWF.

Macam manalah agaknya diorang ambik gambar ni. Via I0

3. Dapat 3 Pingat Perak Olimpik

Tatkala beregu legenda, Razif dan Jalani Sidek meraih gangsa pada Olimpik 1992, sebelum Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit mendapat perak dan Rashid Sidek memungut gangsa pada Olimpik 1996, mereka dipuji kerana meraih pencapaian hebat. Namun, cabaran hebat buat Chong Wei kerana sering menerima tekanan untuk mendapatkan emas pertama negara dalam sejarah Olimpik. Beliau tetap mengerah keringat dan menyumbang 3 pingat perak menerusi Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016.

4. 3 Emas Komanwel

Meskipun ketiadaan ketumbukan atlet China, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia dalam Sukan Komanwel, ia tidak bermakna jalan untuk meraih emas adalah mudah. Tetapi, Chong Wei membuktikan beliau adalah pertaruhan terbaik negara, apabila meraih 3 pingat emas acara perseorangan iaitu pada Sukan Komanwel 2006, 2010 dan 2018.

Via The Star

5. 12 kali Juara Terbuka Malaysia

Sebagaimana kejohanan berprestij lain, Terbuka Malaysia menjadi medan Chong Wei membuktikan kemampuannya. Dengan latihan keras dan gigih, beliau menjadi juara sebanyak 12 kali, iaitu pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018. Terbuka Malaysia 2006 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak dikatakan sebagai final paling epik yang telah mempertemukan Chong Wei dengan Lin Dan.

Dalam set ketiga final Terbuka Malaysia 2006 itu, Chong Wei asalnya ketinggalan 13-20. Namun, beliau berjaya mengatasi badi menentang Lin Dan apabila mengutip mata demi mata, sebelum memenangi perlawanan akhir itu, 23-21.

Berjaya menyatukan rakyat Malaysia, sesuatu yang gagal dilakukan ramai orang

Chong Wei telah melakukan sesuatu yang gagal dilakukan oleh ahli politik, ahli agama, ahli akademik dan kita semua, iaitu menyatukan rakyat Malaysia didalam satu gelombang: melalui semangat juang, pengorbanan dan kesetiaan yang ditunjukkan di dalam dan luar gelanggang.

Tiada perasaan yang sesuai selain rasa hormat. Via Giphy

Tahun 2019 ini dua legenda sukan negara dan dunia kita bersara: Dato’ Nicol David dan Chong Wei. Semoga negara dapat pengganti sehebat mereka, yang sentiasa digeruni pihak lawan. Terlalu banyak jasanya buat negara. Pada usia melebihi 30-an, beliau masih mampu bersaing dalam pertarungan penuh kompetitif, dengan jagoan dari seluruh dunia. Kini Jepun, Denmark, India dan China semakin rancak membariskan barisan pemain perseorangan dan beregu berwibawa; yang mempunyai masa depan cerah.

Kita perlu menggandakan usaha, serta mengurangkan politiking dalam persatuan, agar Malaysia kembali berdiri sebaris jaguh antarabangsa yang lain. Salute tinggi, buat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. Selamat bersara, Datuk. Semoga segera sembuh, dan bahagia di samping keluarga tersayang. Doa kami mengiringi perjuangan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print